Siri 228-Dendam Wanita Hodoh

1.2K 22 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 Dan dalam sekelip mata juga, rangka tersebut kembali kepada keadaan asal. Kemudian bertukar semula menjadi rangka. Bertukar balik menjadi tubuh manusia. Begitulah seterusnya, sering bertukar ganti rupa dan bentuk. Semasa proses penukaran itu suasana dalam ruang bilik diterangi dengan kilauan cahaya merah dan hijau, gerakan cahaya itu tidak ubah macam pancaran kilat. Bila terpancar warna hijau, tubuh wanita hodoh menjadi rangka, tengkorak kepalanya putih berkilat, lubang mata dan hidungnya terpelohong. Bila bergerak seluruh sendinya berbunyi macam bunyi tayar lori melanggar batu kerikil dijalan baru. Bila pancaran hijau bertukar merah, rangka wanita bertukar menjadi tubuh manusia yang cukup sempurna. Pancaran warna yang sering bertukar menyebabkan pandangan menjadi silau. Mata menjadi pedih dan perit. Seiring dengan pancaran warna itu, terdengar suara lelaki mengerang, merintih menahan rasa sakit yang amat sangat serta diselang seli dengan suara perempuan ketawa dan mengilai panjang. Apa yang terdaya kami lakukan adalah pasrah pada keadaan. Bersedia menghadapi apa saja yang datang. Jauh di sudut hati, masih berbunga harapan yang datuk tidak akan berdiam diri, jika terjadi sesuatu yang tidak diingini. Ali Usman kelihatan tidak tenang sekali. Wanita hodoh terus mengusap-usap kepala bayi yang dipangkunya, Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai terus bergema. "Kita hadapi apa saja yang terjadi," dalam keadaan yang tidak menentu itu, datuk masih sempat melafazkan pesanan. "Saya faham dan bersedia," balas Ali Usman. Dan saya hanya angguk kepala. Tiba-tiba secara mengejut, pancaran cahaya hijau merah berhenti. Sekujur tubuh wanita berwajah hodoh kembali dalam bentuk asal, tidak lagi bertukar menjadi rangka. Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai turut lesap. Keadaan kembali tenang. "Kenapa senyap dan sunyi," bergema persoalan dalam kalbu, bila berdepan dengan situasi yang saya kira cukup ganjil sekali. Rasa sepi menguasai sekitar. Ruang bilik yang tadi riuh rendah dengan berbagai-bagai bunyi, bertukar rentak terasa sunyi dan kosong. Gegendang telinga bagaikan hilang kuasa untuk menangkap sebarang kesan bunyi yang terjadi dalam bilik. Rasa cemas dan takut bersarang di dada. Kami saling berpandangan dan mengharapkan salah seorang daripada kami dapat memberikan idea untuk memecahkan kebuntuan yang sedang dialami. Wanita berwajah hodoh tahu masalah yang sedang kami hadapi, Dia tersenyum dan akhirnya ketawa. Dia melafazkan sesuatu ke arah kami. Sayang, apa yang dituturkan tidak mampu ditangkap oleh anak telinga kami. Wanita berwajah hodoh makin menjadi-jadi, dia menari-nari sambil mengoyang-goyangkan punggungnya. "Allah hu Akbar." Datuk bertempik sambil tangan kirinya memukul lantai bilik. Serentak dengan itu gegendang telinga kami berfungsi kembali, semuanya dapat didengar dengan jelas dan terang. Rasa sepi yang menguasai segera berakhir. Bunyi bising dan hinggar binggar datang kembali. SENYUM Muka Ali Usman segera saya lihat. Ada senyum berlari di kelopak bibir. Datuk juga saya renung, orang tua itu masih membongkok, telapak tangannya kelihatan melekat di lantai seperti kena gam.

Datuk kerah seluruh tenaganya untuk memisahkan telapak tangannya yang melekat. Urat leher dan di lengannya nampak timbul. "Dia mula memperdayakan aku ," cetus datuk dengan muka berkerut. "Itu satu permulaan," wanita berwajah hodoh menyindir. "Aku tahu, jangan fikir aku mahu menyerah begitu saja," keras nada suara datuk. Benih-benih peluh mula meruap di dahi dan pangkal leher. Tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyerah. Segala kekuatan tenaga dan ilmu mula dimanfaatkan. "Allah hu Akbar," Suara kemenangan menguasai seluruh ruang bilik. Telapak tangan yang melekat di lantai terpisah. Datuk berdiri gagah dan wanita berwajah hodoh tercengang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. "Mengapa aku harus menjadi mangsa kamu," satu pertanyaan yang garang dari datuk. "Tanpa kamu, semua angkara ini tidak terjadi." "Aku sekadar menolong." "Pembohong, kamu mahu menjahanamkan apa yang ada pada aku." "Biar aku jelaskan." "Diam......." jerit wanita berwajah hodoh. Datuk terdiam tetapi, sepasang bola matanya tidak bergerak dari menatap seluruh tubuh wanita tersebut. Datuk tahu, kalau renungannya dialihkan ke arah lain dia akan menerima akibat buruk. Jeritan yang bergema sebentar tadi bertujuan untuk mengalihkan perhatian datuk. Secara lojiknya, tidak ada sebab wanita tersebut mesti menjerit kerana datuk bercakap dalam nada suara yang lembut, penuh persahabatan. "Kamu orang tua sial." Jari telunjuk wanita hodoh menuding ke arah batang hidung datuk. Darah saya tersirap kerana datuk tidak bertindak balas. Masih tenang, seolah-olah kata-kata itu tidak memberikan sebarang kesan pada dirinya. "Bummmmmmm....." Satu ledakan kecil terjadi di depan wanita berwajah hodoh. Seluruh ruang bilik mula dikuasai bau hangit dan hapak. Kepulan asap kecil dan nipis muncul di kiri kanan wanita tersebut. Asap nipis sedikit demi sedikit bertukar warna menjadi hitam tebal hingga tubuh wanita yang memangku bayi hilang dari penglihatan kami. "Kita keluar dari rumah neraka ni," satu usul dari Ali Usman. "Ayuh," sahut saya. Tdak ada sebarang bantahan dari datuk. Serentak kami memusingkan tubuh menghala ke pintu untuk keluar. Sebelum langkah sulung dimulakan, terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Badan terasa bergegar, dan terangkat secara perlahan-lahan. TERHEMPAS Sebelum pun sempat kami mengatur strategi, tubuh kami berpusing-pusing dalam ruang bilik yang hangit dan hapak. Akhirnya terhempas ke dinding dengan kuat, seluruh sendi bagaikan mahu tercabut rasanya. Sakitnya tidak boleh di ceritakan. Lebih dari lima minit kami terkapar di situ. "Hei kamu semua, mahu ke mana?" Wanita berwajah hodoh tercegat di depan kami. Bayi yang dipangku berubah tempat. Kini berada di atas bahu dengan kedua belah kakinya terjuntai ke dada hampir mencecah hujung puting payu dara. Kedua dua belah tangan bayi memeluk dahi ibunya. "Bagaimana? Masih macam tadi juga?" Ternyata pertanyaan itu ditujukan kepada Ali Usman yang baru saja menyandar tubuh ke dinding. Datuk terus memicit hujung sikunya. Bunyi deru angin sudah mati, digantikan dengan bunyi bising yang tidak menentu. "Bagaimana, masih mahu berkeras?."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)Where stories live. Discover now