Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin
SAYA segera mendekati datuk.
Harun hanya memerhatikan saja tindak-tanduk saya. Barangkali, dia sedang memikirkan sesuatu. Kalau tindakan yang bakal diambil menguntungkan, dia sokong seratus peratus. Kalau merugikan, mungkin dia menyisihkan diri. Macam-macam yang tumbuh dalam kotak fikiran. "Bagaimana tuk? ."
Tidak ada sebarang reaksi yang datuk tunjukkan.
"Bagaimana tuk?" ulang saya cemas.
"Apa,dia?," sahut datuk dalam nada suara yang kurang menyenangkan. Muka Harun saya jeling, dia tunduk bersama senyum sinis.
Saya jadi serba salah menerima tempelak dari datuk bersama sinar mata yang tajam. Wajahnya, nampak bengis. dalam keadaan yang agak runcing itu, tanpa disangka-sangka Harun Fadilah campur tangan. Dia menerangkan kepada datuk apa yang mahu saya perkatakan secara terperinci. Usaha Harun berhasil, datuk tersenyum senang.
"Kita pergi, kamu dengan Tamar ikut sama," jawab datuk pendek tetapi, tegas.
Keriangan berpesta dalam diri, kerana bakal dapat melihat adat budaya di Kampung Raja Susuk.
"Tapi memanda........ ," muka Harun nampak cemas semacam."
"Apa dia Harun?"
"Ada kerja yang belum selesai di rumah, barang dalam bungkusan masih belum ditanam,belum dibuang," Harun mengingatkan datuk.
Dada saya berdebar dan bimbang, kalau ingatan itu boleh membuat datuk membatalkan rancangannya.
"Tak mengapa, kita ke Pengkalan Berandan dulu, selesaikan masalah jenazah, kemudian baru kita fikirkan tentang barang dalam bungkusan," datuk memberikan kata pemutus. Kebimbangan yang berputih di kalbu segera gugur.
Tetapi, hati kecil merasakan tindakan datuk itu sesuatu yang ganjil. Selalunya, dia tidak mahu menangguhkan atau membatalkan sesuatu rancangan yang sudah diatur, kerana perbuatan itu merupakan pantang larang baginya. Tetapi, kenapa kali ini kebiasaan itu ditukar. Mungkin, dia melakukannya atas muslihat atau tujuan tertentu.
Mana tahu, si mati yang dipanggil RAJA SUSUK itu ada hubung kaitnya dengan barang dalam bungkusan di rumah Harun. Boleh jadi, dari Pengkalan Berandan datuk mahu memulakan tugasnya menjejaki pengamal ilmu susuk. Semua persoalan itu berlegar-legar dalam peti otak saya.
"Kamu berdua naik kereta itu."
Jari telunjuk datuk menuding ke arah kereta Austin Mini berwarna merah. Arahan itu kami patuhi. Kereta mini yang dipandu oleh etnik Batak mula bergerak, terpisah agak jauh dari kereta yang dinaiki oleh Pak Imam, Datuk dan si ulama berbadan kecil, kira-kira dalam jarak lima buah kereta.
Anak muda empat puluhan, naik satu kereta dengan Syed Hamid AI-Hadad. Pak Imam dan datuk, mendahului kereta jenazah. Tidak ada jemaah yang mahu naik kereta Austin mini merah. Mungkin kerana mereka memikirkan kereta itu kecil dan kurang selesa untuk satu perjalanan yang jauh.
Kerana tidak ada orang lain, pergerakan kami terasa bebas. Boleh bercakap apa saja dengan pemandu beragama Kristian yang peramah dan periang.
"Saya sudah dua kali ke Penang. Seronok di sana" katanya bangga.
"Banyak duit kamu?" usik saya.
"Tuan Syed yang bawa, kalau harapkan saya entah bila sampai. Tapi, ada peristiwa menarik.....,"si pemandu berhenti bercakap. Dia ketawa lucu.
"Kenapa? Apa yang lucunya," Harun pula bertanya.
"Begini, salah seorang kawan rapat Tuan Syed telah menceritakan pada saya tentang sebuah gereja tua di Bukit Mertajam, kalau tak silap saya Gereja Stann. Saya ingin melihat dan sembahyang di gereja tersebut. Perkara itu saya ceritakan pada Tuan Syed," pemandu peramah berhenti bercakap. Stereng kereta dipaut kemas menempuh satu selekoh yang tajam.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)
TerrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...