Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin
Sesungguhnya saya tidak dapat menduga atau membaca perasaan Ali Usman di saat itu.
Gegendang telinga dapat menangkap suara datuk seperti membaca sesuatu. Makin lama, makin jelas kedengaran, saya pasti datuk sedang membaca petikan ayat Al-Quran. Semakin keras suara datuk, semakin galak ular tedung sebesar batang pinang itu mengerak-gerakan badannya.
Ular itu seperti mahu memperlihatkan kekuatan dan kehebatannya kepada kami. Mulutnya dibuka luas mempamirkan dua siung yang tajam. Lidahnya yang bercabang dijulurkan ke kiri dan ke kanan, sesekali terkena kepala Ali Usman.
Semuanya mencemaskan penuh dengan debaran. Bila saya melihat kelopak mata si ular tedung berkedip, semakin kuat saya mengatakan ular tersebut adalah ular jadian.
"Syukur."
Itulah berdetik dalam hati.
Ular yang tegak berdiri, Nampak lemah sedikit. Tidak sehebat tadi, ekornya yang menjadi tunjang berdiri bergerak lembik, secara beransur-ansur badannya merendah separuh pucuk lalang. Kemudian merendah lagi dan akhirnya melata di permukaan jalan.
Kepalanya masih bergerak ke kiri dan ke kanan dengan mulut ternganga. Lidahnya yang bercabang halus, sekejap terjulur keluar sekejap tersentap kedalam. Suara datuk masih kedengaran melafazkan surah pilihan dari Al_Quran. Saya dan Ali Usman masih tegak kaku, macam tunggul ayu buruk di muara sungai. Gelora hati, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Di bawah sinar matahari, sisik ular tedung nampak bermanik-manik dan bercahaya kuning keemasan, sungguh menarik sekali. Tanpa disangka-sangka ular tedung itu mendesis sambil membentuk lingkaran. Beberapa minit berikut, lingkaran itu dibuka perlahan-lahan. Sungguh menhejutkan bila ekornya melibas dengan ganas rerumpun lalang sekitarya.
"Kamu berdua bergerak dengan segera mengundur perlahan-lahan. Kemudian, seorang berdiri di kanan dan seorang lagi di kiri. Ikut seperti apa yang aku lakukan," itu arahan datuk dalam suasana cemas dan mendebarkan. Apa yang diarahkan segera kami patuhi.
Datuk berdiri dalam keadaan yang agak berbeza dengan kami. Kaki kirinya dihulurkan agak ketara kehadapan. Kaki kanan ditarik ke belakang. Sepasang kelopak matanya dalam keadaan separuh pejam. Sepasang tangan memeluk tubuh.
Tangan kiri menindih tangan kanan dengan telapak tangan kiri mengampu siku tangan kanan. Semua yang datuk lakukan segera kami turuti.
"Jangan pejamkan mata kamu berdua, lihat apa yang terjadi,"
"Haaaa.........."Ali Usman bersuara.
"Kamu berdua ikut saja, jangan banyak haaaaaaa dan jangan banyak eeekkkkk," satu amaran dari datuk.
Kelopak mata yang separuh pejam segera kami buka.
Ada debaran dalam dada, bila menyaksikan ular tedung terus melibas-libaskan ekornya ke arah rerumpun lalang hingga rebah ke permukaan bumi. Tidak memadai dengan semuanya itu, si ular tedung membalik-balikkan diri dan menghempas-hempaskan badan di bumi seperti bergelut dengan sesuatu. Suara desis si tedung jelas kedengaran.
Datuk tetap dengan keadaannya, si tedung terus menghempaskan badan hingga tanah jalan yang agak keras menjadi lekuk. Dari rerumpun lalang yang rebah dan melata, keluar asap nipis macam kabus. Beberapa saat berikutnya asap nipis bertukar menjadi api dan kebakaran kecil pun berlaku.
Saya lihat datuk masih tenang dan saya yakin datuk dapat melihat apa yang berlaku, walaupun kedua-dua belah kelopak matanya dalam keadaan tertutup.
TERBAKAR
Rerumpun lalang terus terbakar dan seluruh kawasan dikuasai oleh asap yang tebal. Saya dan Ali Usman tersedak. Mata mula terasa pedih dan perit. Menarik dan melepaskan nafas terasa sukar sekali.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 1)(COMPLETE)
УжасыSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...