BAB 2

3.9K 44 0
                                    

"SHITA!"

Shita menarik pintu kereta. Tapi belum sempat dia masuk, Arsyad sudah menutupnya semula dengan kasar.

"What is going on?" tanya Arsyad dengan suara yang agak kuat. Sudahlah tadi datang lambat, lepas tu nak pergi hanya selepas dapat satu panggilan telefon. Dia yang penyabar pun boleh jadi marah.

Shita berdecit. "I'm sorry, saya kena pergi. Sekarang jugak!"

"Kenapa? Apa yang dah jadi?" desak Arsyad.

Tiada pilihan, Shita terpaksa jelaskan juga.

"Pasal kes tu. Vila Mandura. Ingat lagi?"

Arsyad urut dahi sendiri. Inilah yang paling dia risaukan.

"Tadi pembantu rumah kat vila tu yang telefon, bagi tahu yang budak perempuan yang hilang dulu tu dah balik semula ke rumah. Sebab tu saya kena pergi. I need to talk to her."

"No." Arsyad menggeleng-geleng.

"What?" Shita mula bengang. "Saya tak minta izin awak."

"Shita, please..."

Shita menarik semula pintu.

"Kenapa kes tu penting sangat untuk awak?" Terlepas juga satu soalan itu dari bibir Arsyad.

Shita mengeluh berat. Sebelah tangan kejap memegang pintu. Anak matanya mencari wajah Arsyad.

"Awak tahu kenapa."

"Tak. Sebenarnya, saya tak tahu," jawab Arsyad. "What happened to you, happened a long time ago. Benda tu dah berlaku lama dulu. Tak mungkin ada kaitan dengan kes budak perempuan tu."

Shita tidak membalas. Dia sangkakan Arsyad faham, rupa-rupanya dia silap.

"See you later," ujarnya perlahan dan terus masuk ke kereta. Enjin dihidupkan. Pintu dikunci. Dan dia mula memandu keluar dari tapak parkir.

"YOU have arrived at your destination..."

"Thank you!" jerit Shita kepada skrin telefonnya. Nasib baiklah masih ada rangkaian Internet di birai hutan itu walaupun sudah tak kuat dan hampir terputus terus. Stereng membelok ke kiri sebelum dia memberhentikan kereta. Ada sebuah kereta polis di halaman rumah, sebuah ambulans dan dua buah kereta lain. Shita menanggalkan tali pinggang keledar dan turun dari kereta.

Ketika berjalan untuk masuk ke rumah, seorang anggota polis tiba-tiba menahan langkahnya.

"Cik, maaf, cik tak boleh masuk ke dalam buat masa sekarang."

"Tapi, saya..."

"Maaf, cuma ahli keluarga yang dibenarkan masuk."

Shita menunjukkan kad yang tergantung dari lehernya. "Please, saya cuma ada beberapa soalan."

"Maaf, cik. Memang tak boleh."

"Tapi..."

"Wartawan tak dibenarkan masuk!"

Kuat suara seorang lelaki kedengaran dari dalam rumah. Shita berdecit geram. Dia sanggup memandu sejam lamanya untuk sampai ke sini, sudahnya dia tidak dibenarkan masuk. Dia berpusing semula untuk kembali ke kereta. Mundar-mandir di tepi pintu sambil mencari jalan untuk 'tembus' ke dalam. Beberapa minit begitu, satu mentol bersinar terang atas kepala. Kakinya bergerak perlahan-lahan ke bahagian kiri rumah. Ekor matanya memastikan tiada anggota polis yang nampak arah yang dituju. Yakin yang dia akan selamat, dia terus berjalan untuk ke belakang rumah.

Pintu di belakang tertutup rapat. Tak mahu putus asa, Shita mendekati tingkap rumah. Daun tingkap yang tidak berkunci diselak sedikit. Sambil duduk melutut, dia mengintai ke dalam rumah.

Dia nampak seorang wanita yang diyakini Puan Suria, sedang duduk di sebelah seorang gadis yang tubuhnya diselimuti kain tebal. Wajah gadis itu nampak pucat, tunduk merenung lantai. Rambutnya diselak-selak lembut ke belakang oleh Puan Suria.

Shita menyeluk begnya untuk mengeluarkan gambar Sarirah sepuluh tahun yang lalu. Gambar dan wajah gadis itu dibandingkan. Ya, memang gadis itulah Sari.

Shita terus memerhati penuh minat. Lama begitu, Sari tiba-tiba mengangkat mukanya. Bola mata kini tertancap ke arah tingkap tempat Shita bersembunyi. Renungan mata yang tajam membuatkan Shita terperanjat. Dia terus menundukkan kepala dengan harapan tiada orang lain yang nampak kelibatnya di situ.

Shita duduk di kaki lima vila itu sambil melepaskan nafas panjang. Berita ini akan jadi satu berita yang menggemparkan satu negara. Dan dia akhirnya akan dapat buktikan yang cerita yang diburu selama ini benar, bukannya rekaan semata-mata.

Bunyi rusuhan dedaun dari dalam semak di pinggir hutan mengalih tumpuan Shita. Dia menoleh ke sebelah. Dalam gelap malam, dia nampak ada kelibat sedang melintas di belakang semak yang meliar. Penasaran, perlahan-lahan dia bangun dan berjalan ke arah semak itu. Lampu dari skrin telefon digunakan untuk menyuluh jalannya. Bukan tiada rasa takut, apatah lagi apabila hutan itulah yang menjadi saksi kehilangan Sarirah sepuluh tahun yang lalu, tapi dia tetap kuatkan hati. Mungkin dia akan dapat apa-apa klu, walau sekecil mana sekali pun, untuk cerita yang sedang cuba disempurnakan.

Setapak demi setapak dia masuk ke dalam semak itu. Matanya meliar ke sekeliling. Kelibat hitam tadi melintas laju di belakangnya. Pantas dia berpusing. Kosong. Tiada sesiapa.

Bunyi tapak kaki mendekat meremangkan bulu roma. Belum sempat dia angkat kaki, ada satu cahaya menyuluh dari luar semak. Seorang anggota polis sedang berdiri tegak sambil merenung tajam ke arahnya. Shita angkat kedua-dua tangan tanda mengalah, sambil melepaskan satu nafas panjang.

Lega.

Kembali ke kereta, Shita menoleh semula ke pintu vila. Jauh dia datang, mana boleh balik dengan tangan kosong. Mungkin esok dia boleh datang lagi.

"Excuse me, encik, hai..."

Seorang anggota polis yang berdiri tidak jauh berpaling.

"Boleh saya tahu kat mana saya boleh bermalam kat kawasan ni?" soal Shita.

"Jalan lurus, sampai jumpa dua simpang. Ambik yang kiri. Ada motel kat depan."

"Okey, terima kasih." Shita masuk ke kereta.

MOTEL separuh kayu dan separuh batu jelas kelihatan di depan. Ada rasa tidak sedap hati yang singgah, apatah lagi apabila dia sedar yang motel itu terletak di pinggir kawasan hutan yang sunyi dan gelap. Cuma ada satu lampu di atas pintu utama.

Tiada pilihan, Shita keluar juga. Sebuah beg yang terisi dengan beberapa helai baju dan barang-barang toiletries yang sentiasa tersimpan dalam but kereta diambil. Emergency bag yang dibuat lama dulu. Dia berjalan melepasi pintu utama.

"Assalamualaikum," ucap Shita sambil meliarkan matanya ke ruang lobi. Yang ada cuma satu meja kaunter dan seorang pekerja lelaki separuh abad yang sedang merenungnya tanpa kelip.

Shita telan liur dalam diam. "Umm... Saya nak sewa satu bilik untuk malam ni."

Pekerja lelaki itu menarik laci meja lalu mengeluarkan satu kunci. Tag yang melekat menunjukkan nombor bilik 13. Pen pula diambil untuk menulis harga di atas sekeping kertas.

Shita perasan ada tanda 'Tunai sahaja' di atas kaunter. Nasib baik dia ada bawa duit lebih. Selepas membayar harga yang diminta, kunci diambil dan dia terus naik ke atas, dengan anak mata si pekerja motel mengikuti setiap langkahnya.

Perasaan dia semata-mata, atau memang ada yang tak kena dengan tempat itu?

NAFSUWhere stories live. Discover now