JEMARI terasa dingin saat buku lima dikepal untuk mengetuk pintu. Tiada jawapan yang dia dengar dari dalam. Lantas tangan memegang tombol dan menolak daun pintu. Kepala dijengulkan. Dia nampak Sari sedang berdiri di tepi tingkap, merenung ke luar tanpa sekali pun berkelip.
Waji menelan liur sambil melangkah masuk. Pintu ditutup semula. Dia berdeham sekali untuk meraih perhatian Sari, tapi gagal. Atau mungkin Sari sengaja buat-buat tak dengar.
"Sa... Sari?" tegur Waji.
Masih tiada reaksi.
"Ni aku, Waji. Kau ingat aku, kan?" Waji sengaja menceriakan suara.
Perlahan-lahan, Sari berpaling. Melihat dua garis parut pada wajah gadis itu, sekali lagi Waji tertelan liur. Ketakutannya bertambah dua kali ganda.
"Aku... Aku terkejut masa aku dengar berita pasal kau. Betul, aku memang tak sangka yang kau akan balik semula," ujar Waji sambil mencuba sedaya upaya untuk terus tenang.
Sari merenung wajah Waji. Sesekali matanya berkelip.
"Berita?"
"Oh, ada berita pasal kau kat TV." Waji tersenyum lagi. "Itu yang aku dengan ibu dan ayah aku terus balik sini. Oh ya, Umai dengan Nas pun ada."
Waji mencari reaksi pada wajah Sari namun tiada apa yang dia dapat. Mustahil untuk dia baca apa yang sedang bermain di fikiran gadis itu.
"Umai... Nas..." Dua baris nama itu disebut Sari perlahan.
Waji mengangguk-angguk. "Kau ingat Umai dengan Nas?"
Tiada jawapan.
Waji melangkah ke depan dengan berani. "Dia orang berdua ada dekat bawah. Dia orang ingat nak naik jenguk kau, tapi takut kau tak selesa pula ramai-ramai."
Tiada reaksi.
"Apa kata kalau kau cerita dengan aku apa yang jadi? Aku nak tahu semuanya."
Kedua-dua tangan Sari dipegang. Bagaikan terkena renjatan, Sari pantas menarik tangannya semula. Dia bergerak ke belakang setapak demi setapak sehingga belakang badannya terlanggar dinding bilik. Dan barulah Waji nampak reaksi pada wajah Sari. Bukannya marah atau dendam seperti yang dibayangkan, sebaliknya ketakutan yang tidak terperi. Seakan-akan takut dirinya bakal diapa-apakan.
"Err... Okey, okey... Aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak..." Waji menarik nafas panjang. Menggelabah.
"Sorry. Aku cuma... Aku cuma nak tahu apa yang jadi kat kau..."
"Dar..."
"Dar?" Waji terpinga-pinga.
"Dar... Dar lapar... Dar nak makan..." Sari meracau-racau. "Dar nak makan..."
Waji berdebar-debar. Dar? Siapa Dar? Atau, apa itu Dar?
"Dar tentu lapar... Dar nak makan..."
"Err... Sari, kau okey?" Cemas.
"Dar lapar... kena makan..."
"Sari?"
Sari merenung cermin tingkap semula. Renungan matanya tembus, terus ke arah sebatang pokok berakar besar di pinggir hutan. Lama dia diam sebelum berpaling semula memandang Waji yang sudah pucat wajah.
"Waji?"
Waji terkebil-kebil ketakutan. "Ya?"
"Aku ingat kau..." kata Sari perlahan. Nadanya lembut. Malah ada satu senyuman nipis terukir di bibir yang hampir tidak kelihatan di mata kasar.
YOU ARE READING
NAFSU
Mystery / ThrillerNOVEL SERAM THRILLER TERBITAN DISEMBER 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069