"ERR... Mak Edah ada?"
Ghazi meluaskan kuakan pintu. Sebelah tangan didepangkan, menjemput Shita masuk.
Shita menanggalkan kasut. Melihat Mak Edah ada menunggu di dapur, satu senyuman manis diukirkan.
"MASA Cik Sari tiba-tiba sampai depan rumah semalam, Mak Edah betul-betul terkejut. Ingatkan siapalah yang datang tiba-tiba dengan gaun yang comot dan koyak sana sini. Belum lagi dengan rambut yang langsung tak terurus. Kaki pula berdarah-darah."
Shita tekun mendengar. Telefon pintar setia dalam genggaman, merakam setiap satu cerita dan gambaran dari mulut Mak Edah.
"Bila Mak Edah pergi dekat, Mak Edah dengar dia minta tolong. 'Tolong saya... Tolong saya...'" Mak Edah mengeluh panjang. "Mak Edah risau takut orang tak betul ke apa... Tapi bila dia sebut 'atuk' dengan 'nenek', siap dengan nama mereka lagi... Mak Edah tahu yang dia bukan orang asing. Jadi Mak Edah bawak dia masuk dalam rumah."
"Macam mana semua orang akhirnya tahu yang dia Sarirah Faisal, budak perempuan yang hilang sepuluh tahun lepas?" soal Nashita.
"Mak Edah telefon Tuan Haji, bagi tahu ada seorang perempuan yang datang dari hutan. Tuan Haji cuma pesan supaya Mak Edah jaga dia elok-elok. Petangnya, dia sampai sekali dengan Puan Hajah dan Puan Suria dan Encik Faisal. Puan Suria dan Encik Faisal yang sahkah itu memang Sarirah, anak mereka yang hilang sepuluh tahun lepas."
"Tuan Haji dan Puan Hajah percaya?"
Mak Edah mengangguk. "Kalau dah orang tua sendiri kata itu anak mereka, dah tentulah percaya."
Fokus Shita terganggu apabila Ghazi masuk ke dapur tiba-tiba. Peti ais dibuka. Satu botol minuman diambil dan dalam beberapa saat saja kelibatnya sudah hilang semula.
"Maaflah, itu anak Mak Edah. Dia memang tinggal sini untuk jaga Mak Edah, sambil tolong tengok-tengokkan rumah ni jugak," jelas Mak Edah.
"Oh." Shita terangguk-angguk. "Okey, berbalik ke cerita kita tadi. Hmm... Mak Edah percaya?"
Soalan itu buat Mak Edah terdiam. Matanya berhenti berkelip.
Shita tersenyum segan. "Maksud saya, Mak Edah tak rasa ragu walau sikit pun yang itu memang Sarirah?"
Mak Edah menarik nafas dalam. "Bukan tempat Mak Edah nak bagi pendapat, Cik Nashita. Kalau Puan Suria sendiri yakin, betullah tu."
Shita terangguk-angguk. "Sarirah ada cerita tak apa yang jadi sepanjang sepuluh tahun dia hilang? Maksud saya, kat mana dia selama ni? Dengan siapa dia tinggal? Macam mana dia akhirnya jumpa jalan balik semula?"
Agak lama Mak Edah diam, sebelum mulut dibuka semula. "Setahu Mak Edah, Cik Sari belum cakap dengan sesiapa pun. Doktor yang datang semalam cakap yang dia masih lagi trauma. Tak boleh dipaksa. Satu keluarga kena beri masa dan sokongan yang secukupnya."
"Mak Edah ada teori sendiri?" Shita masih belum puas mengorek.
"Teori?" Mak Edah ketawa kecil. "Mak Edah ni dah tua sangat nak buat teori-teori semua tu. Cik Sari akhirnya balik pun, Mak Edah dah cukup bersyukur sangat."
Shita mengangguk dan tersenyum. Rakaman ditamatkan.
"Terima kasih banyak, Mak Edah. Kalau ada perkembangan terkini, Mak Edah jangan lupa beritahu saya ya? Talian telefon saya sentiasa terbuka untuk Mak Edah," kata Shita sambil bangun dan mengemas begnya.
"Insya-Allah," balas Mak Edah sambil menyambut huluran salam Shita.
Ketika berjalan ke pintu, Shita terdengar bunyi enjin kereta menderu masuk ke halaman rumah.
"Ada ahli keluarga yang baru sampai ke?"
"Mungkin sepupu-sepupu Cik Sari dah sampai."
"Sepupu-sepupu?"
"A'ah. Malam Cik Sari hilang, mereka bertigalah orang terakhir yang nampak Cik Sari."
Ada sesuatu terdetik dalam hati dan fikiran Shita. Sesuatu yang dipenuhi dengan penasaran dan curiga.
"Okey. Kalau macam tu saya balik dulu. Terima kasih, Mak Edah. Assalamualaikum."
Sambil menyarung kasut, satu idea muncul dalam kepala. Dia sudah dapat klu yang seterusnya.
SHITA menyelinap masuk ke dalam kereta menggunakan laluan sama untuk mengelak diri jadi perhatian yang lain-lain. Nasib baiklah vila tu besar lain macam jadi tak ada masalah untuk 'menyorok'.
Dari dalam kereta, Nashita memerhatikan tiga orang sepupu Sari yang dimaksudkan Mak Edah tadi. Seorang lelaki dan dua orang perempuan, dan salah seorang daripada dua perempuan itu nampak familiar di matanya. Mereka bertiga nampak gelisah seolah-olah takut untuk melangkah masuk ke dalam rumah. Dan keresahan mereka bertambah apabila salah seorang wartawan datang menegur. Si lelaki marah-marah, sementara kedua-dua gadis buru-buru masuk ke rumah.
Nashita memandu meninggalkan pekarangan Vila Mandura dan seluruh kawasan hutan itu. Dia perlu cari satu tempat di mana dia boleh dapat akses Internet yang kuat dan ketenangan yang akan membantu otaknya untuk berfikir.
Hampir sejam kemudian, dia tiba di sebuah kafe. Selepas memesan secawan kopi, komputer riba dihidupkan dan buku nota dibuka luas-luas di atas meja.
Satu ayat ditaip pada ruang pencarian Google.
Kes kehilangan Sarirah Faisal 2008
Satu artikel dipilih dalam senarai yang keluar pada skrin. Artikel itu ada menyebut tentang tiga orang saksi kehilangan Sarirah Faisal – tiga orang sepupu yang dimaksudkan Mak Edah tadi. Umairah, Wajihah dan Naseem.
Tak banyak rekod cerita tentang Umairah dan Naseem. Namun Wajihah – pengasas produk kecantikan W's yang semakin menempa nama, agak banyak ditulis di akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan. Patutlah tadi dia rasa macam kenal salah seorang daripada mereka bertiga.
Shita fokus dengan artikel tentang malam kehilangan Sarirah. Kata mereka, kali terakhir mereka nampak Sarirah ketika mereka bertiga berkumpul di ruang tamu untuk menonton TV yang sedang menyiarkan satu filem Inggeris dan mereka nampak Sarirah turun dari biliknya menuju ke pintu rumah. Apabila ditanya, Sarirah berkata ada sesuatu yang perlu dilakukan di pinggir hutan. Dan tidak lama kemudian, ketiga-tiga mereka terdengar satu bunyi jeritan yang sayup-sayup datang dari hutan yang sama. Masing-masing bergegas mendapatkan ibu bapa mereka juga datuk dan nenek untuk memaklumkan apa yang telah berlaku.
Shita tersandar di kerusi. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan cerita itu. Nalurinya kuat mengatakan yang ada perkara lain yang terjadi malam itu – malam yang mengubah hidup Sarirah Faisal selama-lamanya. Selama ini pun dia banyak laporkan cerita berdasarkan nalurinya, jadi kali ini dia memilih untuk terus percaya dengan diri sendiri.
Dia akan terus bongkar kisah yang sebenar.
YOU ARE READING
NAFSU
Mystery / ThrillerNOVEL SERAM THRILLER TERBITAN DISEMBER 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069