PAGI yang cerah dan sejuk, nyaman dan menenangkan. Seperti pagi-pagi biasa hari cuti kerja. Kicauan burung waktu pagi seperti berkata 'hello, selamat pagi!' yang ceria. Tangan aku angkat waktu mulut mula terbuka makin luas, menguap meminta lebih oksigen. Aku bukan mengantuk. Bila menguap, aku anggap badan aku kekurangan oksigen.
"Hello! Selamat pagi juga!" Aku bersuara, merepek seorang-seorang sambil melambai ke arah burung-burung. Aku patut hentikan. Kalau ada yang melihat, pasti aku dicop tak waras. Nampak sangat aku kesunyian. Maklumlah, umur 35 pun masih bujang. Pagi-pagi yang sejuk macam ini sepatutnya tengah sedap berguling dengan bini. Hmm...
Kaki aku yang berlari-lari anak sejak tadi aku hentikan seketika di depan pohon besar yang rimbun. Aku meregangkan otot-otot lengan dan kaki. Memberi rasa yang lebih selesa untuk aku meredah trek jogging yang berbukit sekejap lagi. Sejak berpindah ke kawasan perumahan atas bukit ini, tak perlu lagi aku ke taman rekreasi untuk bersenam setiap pagi cuti. Trek jogging di sini pun sudah cukup mencabar bagi aku. Tidak ramai pun yang rajin bersenam. Apatah lagi masing-masing sibuk bekerja setiap hari. Kadang hari Sabtu Ahad pun aku tak nampak muka jiran-jiran. Hidup di kota, macam inilah.
Sedang aku meregangkan otot, mata meliar ke arah hutan tidak jauh dari trek jogging. Hari-hari jogging di tempat sama pun boleh jadi bosan. Mungkin aku patut cuba meneroka hutan itu. Mana tahu ada trek yang lebih menarik, boleh sambil-sambil cuci mata melihat keindahan alam. Kot-kot jumpa pokok petai ke apa, bukankah untung tu? Aku tersengih membayangkan nasi lauk ikan goreng dan sambal udang berulamkan petai. Lama tak makan! Ahh... Kalau petai belalang pun jadilah!
'Nak pergi ke tak? Nak pergi ke tak?' Aku bermonolog sendiri. 'Ahh..pergi sajalah!'
Kaki aku langkahkan ke arah kiri, bertentangan dengan trek jogging. Daun-daun kering berwarna coklat dan kekuningan di atas lantai hutan berkeriuk tatkala kakiku memijak. Daun paku-pakis dan tumbuhan yang meliar jadi penyek dihentam tapak kasut aku. Layu menerima tekanan berat badan aku yang tertumpu di kaki. Hidungku mula disapa bau-bauan hutan. Segar! Sudah lama juga hidungku tidak dibuai bauan ini. Bau pokok dengan bau hutan itu berlainan. Kalau tak percaya, boleh cuba masuk hutan. Dulu masa arwah datuk masih ada, bauan sebegini sudah lali di hidung sebab aku selalu ke kebun durian di belakang rumah datuk, seterusnya ke arah sungai yang agak jauh ke dalam hutan.
Mataku meliar melihat keindahan alam. Tumbuhan-tumbuhan di sini ada antaranya yang berlainan dengan apa yang aku pernah lihat di sekeliling kebun datuk. Rasa teruja meluap-luap untuk meneroka hutan ini. Daun-daun yang terlihat asing itu, aku sentuh-sentuh pakai tangan. Sempat aku toleh ke belakang. Risau juga kalau-kalau aku tak cam jalan balik. Mampuslah kalau kena duduk dalam hutan ni. Sudahlah aku memang tinggal seorang tanpa teman serumah. Yang tahu aku keluar rumah pun cuma kucing aku. Aku beritahu dia pagi tadi.
Setelah rasa yakin bahawa aku takkan tersesat, aku langkahkan kaki lebih jauh ke dalam. Lebih berani . Tujuan asal untuk hanya meredah denai sebagai salah satu senaman, aku lupakan sebentar. Sekarang ini, mata sudah terbuntang luas melihatkan buah-buah berwarna coklat kehitaman terbuai-buai ditiup angin. Jering! Pokoknya pun tidaklah terlalu tinggi. Kalau guna galah atau buluh, pasti sampai untuk pukul jering itu jatuh ke tanah.
Pandangan meliar ke kiri dan ke kanan, mencari-cari kayu yang boleh dibuat galah. Aku betul-betul nak ambil jering itu!
Aku melangkah ke kanan, mahu mencapai ranting kayu yang agak panjang. Namun belum sempat aku tundukkan badan ke tanah, telinga aku menangkap bunyi jeritan yang agak kuat. Badan aku tegakkan semula. Mata fokus memandang ke hadapan, ke arah bunyi tadi. Menunggu kiranya muncul lagi bunyi itu, atau hanya mainan minda aku saja.
"TOLOOONGG!!"
Kali ini jeritan perkataan 'tolong' pula aku dengar. Aku mula rasa seriau. Rasa seram, rasa tak sedap, rasa nak terkucil semua ada. Dalam otak aku, hanya perkataan 'hantu' yang terlintas. Tak pernah lagi aku dengar suara yang sebegini waktu aku jogging tiap-tiap pagi.
Niat untuk mengait jering tadi serta-merta mati. Aku berkira-kira untuk berpatah balik. Aku palingkan badan ke belakang, mula melangkah agak laju.
"AAARGHH!!" Aku terjerit sebaik terasa ada sesuatu yang menyentuh tangan kiri. Segera otak mengarah kepala untuk berpaling melihat ke belakang.
"Tolong saya! Tolong saya, Encik! Bawak saya keluar dari hutan ni. TOLONG!"
Aku seakan tidak dapat mencerna ayat yang keluar dari ulas bibir seorang perempuan yang kini sedang memegang tangan aku. Aku hanya diam terpaku sambil memandang pelik ke arah dia yang kelihatannya cemas, asyik mengalih pandang ke arah belakang dan ke arah muka aku berselang-seli.
"Encik! Kita tak banyak masa. TOLONG SAYA!"
Bagaikan tersedar dari mimpi, aku tarik tangan dia, aku bawa dia berlari sekuat hati. Dalam minda masih terfikirkan ayat.
'Siapa dia?'
YOU ARE READING
KELAM
Short StoryHimpunan cerpen thriller dan seram yang pernah tersiar di page Facebook dan yang aku siar di akaun Facebook peribadi. Segala rasa trauma, fobia, jijik, geli, takut, loya, terbayang-bayang dan segala macam adalah atas tanggungan korang sendiri. Nak b...