Siapa Dia? (Bahagian 3)

254 25 2
                                    

Lutut perempuan itu rupanya tercucuk ranting kayu yang tajam. Aku dapat lihat dia sudah terduduk memegang lututnya, dengan muka berkerut menahan sakit. Aku angkat muka, aku lihat lelaki itu sudah mendapatkan semula parangnya. Kini dia tergopoh-gapah melangkah semak, menuju ke arah kami. Setiap langkahnya disertai dengan dengusan yang kedengaran pelik bagi telinga aku. Matanya memerah, riak wajahnya kelihatan marah.

"Awak!" Aku cuba meminta perhatian dari dia.

Dia mula meraung dan menangis. Aku tidak tunggu lama. Aku bergegas menarik lengan dia yang masih memegang lutut. Aku mencempung badannya dan mula berlari. Agak berat. Tapi kerana sayangkan nyawa, aku hiraukan saja beban yang menarik daya di tangan dan badanku ini. Sambil aku berlari, aku dapat dengar suara garau lelaki itu di belakang. Masih cuba mengejar kami.

"Tinggalkan saya! BIAR SAYA DEKAT SINI! ENCIK PERLU LARI!"

Aku hiraukan saja permintaan dia. Aku masih ada hati perut. Aku tidak akan membiarkan dia ditangkap dan dibuat entah apa oleh lelaki itu. Melihatkan darah dekat badan lelaki itu, aku cuma dapat fikirkan kemungkinan yang tidak baik saja. Hatiku kasihan melihat matanya yang terlihat sayu, basah dengan air mata. Suaranya masih lirih meminta aku meninggalkan dia dan mementingkan nyawaku sendiri. Tidak. Tidak sama sekali. Aku sudah mengambil keputusan.

"Kalau kau perlu mati, biarlah aku sekali mati!"

Kata-kataku itu membuat dia bungkam. Mungkin dia tidak sangka, orang asing yang baru dia jumpa dalam hutan ini sanggup menggadai nyawa menyelamatkan dia.

Jantung yang berdegup tak keruan sejak tadi, mula terasa makin lega sebaik terpampang pemandangan jalan yang berturap. Kami sudah hampir ke jalan keluar!

"Kita selamat!" Terhambur kata itu dengan sengihan kelegaan walau aku tahu lelaki tadi masih di belakang.

Tapi aku silap. Terlalu awal untuk aku rasa gembira apabila tiba-tiba terasa sesuatu menghentam belakang kepala. Kuat! Tanpa rela, aku rebah ke tanah bersama dia yang aku kendong sejak tadi. Aku mengumpul daya, mencuba untuk bangun. Namun pandanganku bertukar kelam, malap, kemudian gelap.

***********

Terasa bagaikan mahu pecah kepala aku waktu aku mula buka mata. Mataku juga terasa perit, bagaikan terkena perahan limau. Terpejam-pejam aku menahan perit. Hidungku diganggu bau hanyir yang meloyakan. Dengan kepala yang sakit dan bau yang mengganggu deria, hampir saja aku memuntahkan sarapan pagi tadi. Aku cuba mengangkat tangan. Fikirku, memicit kepalaku sendiri mungkin akan menghilangkan sedikit rasa sakit ini. Namun apa yang aku mahu lakukan itu tersekat. Aku sedang duduk di atas lantai, berlunjur dengan tangan yang diikat ke belakang.

Aku cuba buka mata. Perit itu aku cuba tahan. Pandangan di sekelilingku terlihat sangat asing, pelik dan jijik. Lantai hijau berlumut, ada sisa makanan dekat sudut dinding, juga selonggok tulang dengan cebisan-cebisan hitam di sebelah sisa itu. Dahiku berkerut, tertanya-tanya tempat apakah ini. Namun mataku terbuntang waktu pandangan tertancap pada sekujur badan tidak jauh dari tempat aku duduk. Perempuan itu! Dia juga sama terikat macam aku.

Aku tidak bodoh untuk rasa pasti bahawa kami sudah diculik lelaki gempal tadi. Mungkin kepalaku dibaling dengan sesuatu sampaikan aku rebah dan pengsan. Aku cemas. Namun rasa terkejut lebih memenuhi ruang fikir. Apatah lagi dengan tangan yang berikat begini, dengan belakang kepala yang terasa basah. Aku yakin kepala aku berdarah.

Pandangan beralih pada perempuan itu waktu aku lihat kepalanya bergerak-gerak. Matanya juga perlahan-lahan membuka. Waktu matanya terbuka luas, aku lihat dia begitu cemas. Kepalanya laju menoleh ke kiri dan kanan memeriksa badan sendiri yang kini sudah berikat.

"AARGHH! AAARGHHH!!"

Suaranya nyaring memecah suasana. Beberapa kali menjerit, dia mula meraung dan menangis. Kuat. Di wajahnya jelas tergambar kekecewaan dan rasa takut pada masa yang sama. Bagaikan pesakit wad gila. Dia yang tadinya sudah terlepas dari tangan penculik itu, kini berada di tempat ini semula. Sia-sia usahanya. Aku cuma mampu memandang dia. Terselit rasa bersalah di hati apabila aku tidak dapat menyelamatkan dia.

"Tiara! Tiara! TIARAAA!!"

Tak semena-mena dia menyebut nama itu dengan kepala yang tertoleh-toleh ke serata arah, bagaikan mencari sesuatu.

"Tiara...." Bicaranya diselangi esak tangis. "Maafkan aku... Maafkan aku sebab tinggalkan kau..."

Sempat aku bertanya diri sendiri. Siapa Tiara?

KELAMWhere stories live. Discover now