Dari arah belakang sana, aku dapat mendengar bunyi sepasang lagi kaki yang memijak daun-daun kering di atas lantai hutan. Aku jadi makin cemas. Mungkinkah itu pembunuh? Memikirkan kemungkinan itu, aku jadi makin seriau. Terasa darah naik ke kepala dengan serta-merta. Jantung mengepam darah dengan lebih laju, berdetak dengan rima entah apa. Kaki masih melangkah laju mencari arah keluar dari hutan ini. Memang satu pagi yang aneh bagi aku. Cukup untuk aku katakan, pagi yang tidak langsung aku jangka jadi begini.
Tak semena-mena kaki aku tersadung akar pokok yang melata di atas tanah. Maka bergulinglah aku. Sempat juga aku mencarut satu dua patah. Disebabkan aku tidak melepaskan tangan perempuan itu, dia juga ikut terguling sama. Terguling sampailah aku terpeluk dia. Maafkan aku!
Tapi bukan itu yang patut aku risaukan. Bunyi sepasang kaki yang meranduk semak masih kedengaran. Otak laju memberi arahan, menyuruh supaya aku cepat-cepat mencari ruang sembunyi. Melilau pandangan mencari tempat. Pandangan tertancap pada pokok besar dengan tumbuhan semak yang agak renek di tepinya. Segera aku angkat badan sendiri yang sudah menindih dia, aku tarik tangan dia dan berlari ke belakang pokok itu.
Aku dapat dengar bunyi nafas dia yang agak kuat. Sampaikan suaranya sesekali terbit, membuat aku risau. Aku tekup mulut dia dengan tangan kanan supaya tidak terlalu bising. Nafas aku juga laju. Namun aku cuba menahan nafas seketika sebelum cuba menstabilkannya semula. Tarik nafas, tahan sekejap. Hembus.
Tak lama, mataku menangkap sesusuk tubuh dengan jarak hanya 100 meter dari tempat kami bersembunyi. Seorang lelaki dalam lingkungan 40an, berbadan gempal, berseluar jeans dan tshirt kuning yang bertompok merah. Aku percaya itu darah berdasarkan warna merahnya yang agak gelap. Seperti darah kering. Di tangannya terselit sebilah parang yang hujungnya berkilat. Sekali lagi aku rasa darah berderau naik ke kepala.
Lelaki itu kalut menoleh ke kiri dan kanan bagai mencari sesuatu. Nafas perempuan yang di sebelah aku sekarang ini jadi makin tidak keruan saat susuk tubuh lelaki itu muncul. Tanganku tidak lepas dari menekup mulutnya, malah makin aku rapatkan. Takut jika suaranya terkeluar.
"WAAARGHHH!!"
" AARGHH!!"
"HEEERGHH!!!"
Terjungkit bahu aku akibat suara kuat lelaki itu yang terjerit-jerit sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Seakan kesal. Parang di tangannya tiba-tiba dibaling secara rawak. Kegilaan apakah ini?
Parang itu terpacak pada sebatang pokok yang agak besar batangnya. Mujurlah parang itu tidak terbang sampai ke tempat kami bersembunyi. Namun aku masih belum lagi berasa selamat. Masih terlalu awal untuk kami merasa lega. Lelaki itu mula berjalan-jalan ke kawasan sekitar dan memukul-mukul semak dan daun-daun serta lalang.
Bunyi daun-daun yang dipukulnya makin membuat aku rasa cemas. Apatah lagi jarak kami dengan lelaki itu semakin lama semakin hampir. Kami tidak boleh kekal bersembunyi di sini. Terlalu berbahaya. Kepalaku menoleh ke serata arah, mencari-cari tempat lain untuk kami pindah bersembunyi.
Sebelah tangan aku pegang pipi dia, meminta dia toleh pada aku. Kemudian aku angkat satu jari dan letak atas bibir, mengisyaratkan dia supaya terus senyap. Matanya memerah dan berkaca-kaca. Mungkin terlalu takut. Dia mengangguk tanda faham. Aku harap dia juga faham bahawa aku tak nak dia buat apa-apa bunyi pun sekejap lagi. Termasuk bunyi daun bergeser kena kaki. Aku mahu kami berdua kekal senyap supaya tidak menarik perhatian lelaki gempal yang masih giat memukul-mukul semak. Aku buka tekupan pada mulut dia. Aku dekatkan bibir pada telinga dia.
"Ikut aku." Aku berbisik seperlahan yang mungkin. Sekali lagi dia mengangguk.
Perlahan-lahan, aku merangkak ke arah serumpun buluh yang jaraknya kira-kira 50 meter. Agak jauh, tapi aku perlu mencuba. Kemungkinan untuk aku mati di tangan lelaki itu, tidak mustahil. Pastilah aku tidak mahu itu! Sedaya-upaya aku tahan lutut dari menyeret daun-daun.
Sesekali aku menoleh ke belakang, memantau jarak perempuan itu dengan aku. Juga melihat kalau-kalau lelaki itu tiba-tiba muncul dekat kami. Peluh yang merenik di dahi sejak tadi kurasakan mengalir di pelipis, turun ke pipi dan ke dagu. Tidak ada masa untuk aku menyeka peluh. Aku terasa bagaikan nyawa berada di hujung tanduk!
Perjalanan ke arah rumpun buluh dirasakan terlalu lama. Aku lepaskan nafas waktu aku sampai di sebalik rumpun buluh, dengan mata masih meliar ke arah lelaki itu yang kini berhenti memukul semak. Sebaliknya hanya berdiri. Seakan cuba mendengar sekiranya ada bunyi yang asing. Dia seakan-akan tahu yang kami masih ada di sekitar. Perlahan-lahan, aku cuba berdiri, bersembunyi di sebalik batang-batang buluh.
"Aaa!"
Serentak dengan jeritan itu, pandangan aku dan pandangan lelaki itu serta-merta tertancap pada punca suara.
Mati. Memang mati.
YOU ARE READING
KELAM
Short StoryHimpunan cerpen thriller dan seram yang pernah tersiar di page Facebook dan yang aku siar di akaun Facebook peribadi. Segala rasa trauma, fobia, jijik, geli, takut, loya, terbayang-bayang dan segala macam adalah atas tanggungan korang sendiri. Nak b...