Kongsi

262 25 8
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


KRIIINGGG!!

Bunyi alarm pada fon mengejutkan dia. Terus, matanya terbeliak memandang siling. Rengekan anaknya dari bilik sebelah segera menyapa telinga. Mahupun badannya letih dan lenguh diajak 'bekerja keras' semalam, digagahkan juga tubuhnya untuk bangun dan menjalankan kerja harian. Kerja harian yang sudah dilakukannya setiap hari tanpa cuti sejak lima tahun yang lepas. Sejak umurnya cecah 24 tahun.


Dia tidak bangun terus, hanya duduk di birai katil. Ditolehnya ke kiri. Suaminya masih enak berdengkur, lena tidurnya. Untunglah, hari ini hari minggu. Bolehlah suaminya itu rehat dengan lebih lama. Tapi tidak dia. Hari bekerja dia letih. Hari dia cuti juga lebih kurang sama saja letihnya. Bagaikan istilah 'cuti' itu tidak membawa apa-apa makna bagi dirinya. Tangan diangkat ke kepala, meraup rambut-rambut yang sudah lari dari ikatan. Dikemaskan semula supaya selesa. Mindanya kembali menerawang, memikirkan entah apa.


"Ibu... Ibuuu!"


Panggilan anaknya yang merengek sejak tadi seakan menarik semula tubuhnya keluar dari lamunan. Diatur langkahnya ke bilik sebelah.



"Ibu... yak..."


Mendengarkan itu, tahulah dia bahawa anaknya itu sudah buang air. Matanya meliar ke sisi kiri dan kanan, melihat anak-anak yang lain masih nyenyak tidur. Langsung tidak terganggu dengan suara adik mereka. Dibawa si kecil Nuraini yang berumur tiga tahun itu ke tandas untuk dicuci apa yang patut, sekaligus dimandikan. Setelah Nuraini dililit dengan tuala pada badannya, anak itu berlari riang ke ruang tamu. Menunggu ibunya mengambil baju. Tapi belum sempat pun baju diambil, ada suara riang yang memanggil.



"Lina... Lina... nenok (tengok) ni. Shalji." Anaknya yang berumur empat tahun mengunjukkan tisu dapur yang sudah berderai dikoyak-koyak. Cebisan-cebisan tisu melata di sekitar dapur hingga ke ruang bilik.



"Bukan Lina. Ibu lah, Rafi. Ibu." Sabarnya tebal. Langsung tidak dimarah anaknya yang sudah buat sepah. Sebaliknya bibir masih dihias senyum sambil membetulkan panggilan anaknya kepada dirinya. Iya, dia letih melayan karenah anaknya sehari-hari. Dengan beban kerjanya lagi sebagai seorang guru. Tapi ditelan dan ditahan saja semua itu. Demi menggalas tanggungjawab.



Dipakaikan baju pada Nuraini sebelum dia bangun ke belakang rumah, mencapai penyapu dan penyodok buat kemas semula segala tisu yang bersepah.



Sedang dia menyapu cebisan tisu, otaknya ligat berfikir tentang sarapan yang masih belum dia sediakan. Sebelum suaminya dan dua anaknya yang lain terjaga, lebih baik dia cepat-cepat sediakan apa yang patut. Nak diharap dengan suaminya? Mana mungkin.



"Apa guna saya bayar hantaran sampai RM10 ribu kalau semua benda pun awak nak minta tolong saya buat?"



"Awak kan perempuan. Semua tu kerja perempuan. Itu semua tanggungjawab awak. Bukan saya!"



"Saya tengok mak saya dulu elok je buat semua kerja rumah. Tak minta tolong dengan ayah pun. Kalau mak saya boleh buat, maknanya awak pun boleh!"



"Penat, penat, penat! Itu saja awak rungut. Mak saya tak pernah merungut macam awak pun!"



Ayat-ayat itu kembali menerpa gegendang telinganya. Seakan-akan ayat itu semuanya diucap pada saat ini. Padahal sudah lama tersimpan dalam kotak fikirnya. Dia maafkan. Tapi untuk melupakannya, mungkin tidak. Otaknya seakan enggan.

*****


Tangannya perlahan-lahan mengacau gulai lemak pisang muda di atas dapur, supaya santannya tidak jadi 'mata ikan'. Kuahnya yang kuning berlemak itu menggelegak, menerbitkan aroma enak yang membangkitkan selera. Tangannya diangkat menyentuh perutnya yang menggelodak. Pagi tadi dia tidak sempat bersarapan kerana mengurus empat orang anaknya, sambil memasak sarapan.



Buih-buih didihan gulai lemak itu bagai menjemputnya ke alam lamunan. Matanya terus terpaku, mulutnya diam memerhati. Tetapi mindanya tidaklah dipenuhi imej kuah lemak yang mendidih itu. Sebaliknya memikirkan tentang apa yang diucapkan suaminya waktu bersarapan tadi.



"Lepas Asar nanti awak bersiap. Kita hantar anak-anak kat rumah mak saya, minta mak tengok-tengokkan. Saya nak keluar berdua dengan awak hari ni."



Bibirnya menguntum senyum. Sudah lama dia tidak keluar berdua dengan suaminya. Kenangan-kenangan lama mula menyapa ruang minda. Hatinya berbunga-bunga, melebar senyumannya. Mungkinkah suaminya itu cuba memperbaik hubungan mereka? Dia mengharapkan hubungannya bertambah baik, tidak lagi asyik ditengking dan dimarah seperti sebelum ini.



Iya, dia tahu suaminya makin sibuk sejak dinaikkan pangkat. Sebab itulah dia faham jika suaminya selalu marah-marah. Mungkin itu semua akibat tekanan di tempat kerja. Apa-apa juga, sayangnya dia tetap pada suaminya. Terima baik buruk, itu yang dia sematkan dalam diri sejak dulu. Sejak dia dan suaminya jadi pasangan yang sah. Mungkin doanya sehari-hari dan segala harapannya mula menunjukkan hasil. Buktinya, petang ini dia akan dapat bertemu janji bersama suami.

*****


Tangannya berlumur cecair yang pekat dan likat. Merah warnanya menambah sengihan. Ketawanya bergema di seluruh ruang. Tak lama, dia menangis. Ketawa. Menangis. Ketawa semula. Kepala yang sudah bercerai dari badan tergeletak di lantai. Diangkat kepala itu dan diletak atas meja.



PTUIHH!


Berselepat air ludahan jatuh tepat atas kepala yang matanya masih terbeliak itu.



"HAHAHAHA!! PADAN MUKA! PADAN MUKA KAU!!"



Dia duduk di lantai, berhadapan dengan kepala itu. Kemudian, dilentangkan badannya baring di lantai. Tak semena-mena dia bangun semula.



"Kau memang tak guna! Aku banyak bersabar dengan kau, buat macam-macam untuk kau. Tapi kau buat apa untuk aku? KAU CUMA TAHU NAFSU KAU JE! Sekarang kau duduk situ, kau tengok macam mana aku siat badan kau!" Jarinya keras menuding ke arah kepala itu. Tanpa diminta, otaknya kembali memainkan kejadian waktu petang semalam.



"Emm... Abang..." Malu-malu dia menyebut panggilan itu. Sudah lama dia tidak memanggil suaminya dengan panggilan manja 'abang' seperti sekarang ini.



"Iya... Kenapa?"



"Terima kasih sebab bawa saya keluar jalan-jalan hari ni. Siap bawa saya makan dekat tempat mahal macam ni." Matanya memandang sekeliling restoran itu. Menikmati rias sekelilingnya yang menyejukkan mata. "Lama kita tak macam ni kan, bang?"



Suaminya hanya tersenyum seraya berkata, "Lina, saya ada hadiah untuk awak." Kata-kata itu mengundang senyum di bibir Lina. Jelas dia bahagia saat ini. Terlupa segala penat-lelahnya. Matanya setia memandang sang suami, sambil sang suami menyeluk saku mengambil sesuatu.



"Tutup mata," arah suaminya.



Matanya ditutup, bibirnya masih tersenyum. Mindanya tertanya-tanya apakah agaknya hadiah yang ingin diberi suaminya. Apa saja, dia terima. Terasa rambutnya diselak, lehernya dipakaikan sesuatu. Tangannya meraba-raba leher sendiri. Terus matanya terbuka. Suaminya kembali duduk di kerusi.



"Suka?" Suaminya bertanya.



"Sangat!" Jawabnya, ceria. "Terima kasih, Abang... Saya happy sangat hari ni."



"Eloklah macam tu. Anak-anak kita tinggal dulu kat rumah mak. Hari ni dengan esok saya nak awak rehat je dengan saya. Okey?"



Namun gembiranya tidak lama. Senyuman tak selamanya di bibir. Terpinga-pinga dia malam itu apabila suaminya membawa dia ke sebuah rumah. Ditanya tapi tidak dijawab. Cuma diajak keluar dari kereta. Katanya, ada seseorang yang sedang menunggu.

KELAMWhere stories live. Discover now