SELESAI urusan di balai polis, Emily pulang ke rumah Jeny bersama anak kecilnya. Bersumpah tidak akan pulang ke rumah Norman lagi.
"Kau okay?" tanya Jeny setelah meletakkan mug air di hadapan temannya.
Emily tidak menjawab sebaliknya dia terus ralit merenung anak perempuannya itu.
"Kau jangan banyak fikir. Polis pasti akan tangkap dia," ujar Jeny lembut.
"Aku tak tahu macam mana nak teruskan hidup macam ni," balas Emily perlahan.
"Kau rasa dia bunuh ayah kau, Roger dan Datuk Mansur? Tak ada bukti, Emy. Entah-entah andaian kau saja."
"Jadi, kenapa dia menipu tentang diri dia?"
"Mungkin sebab lain. Kita mana tahu. Kau kata dia tak sempat jelaskan. Kau dah lari."
"Tiga tahun aku kahwin dengan dia. Tiga orang mati. Takkan itu kebetulan?"
"Tapi selain Dato Mansur, polis sahkan kematian tu kematian mengejut. Uncle Roger bunuh diri. Ayah kau pula..."
Jeny tidak jadi hendak meneruskan bicara. Pandangan Emily membuatkan bicaranya terkulum. Tidak seharusnya dia berkata yang tidak-tidak tentang kematian ayah Emily.
"Aku tak kisah pun Roger dan Mansur tu mampus," balas Emily.
Jeny mengerut kening. Tidak faham apa maksud Emily.
"Kenapa? Mereka tu kawan baik ayah kau."
"Kawan baik ayah aku. Bukan bermakna aku kena suka mereka!" tegas Emily.
Jeny terdiam melihat reaksi Emily berubah ketika bercakap tentang dua manusia itu. Sesuatu yang aneh menerpa ke hati Jeny.
"Ada apa-apa yang aku patut tahu?"
"Tak ada apa-apa." Emily memejamkan mata rapat-rapat. Enggan mengenang Norman atau Idrus atau sesiapa pun dia! Enggan mengenang kisah lalunya juga. Perit!
"So, sekarang... apa plan kau?"
"Aku kena cari rumah. Rumah yang dia tak akan mampu cari aku."
"Kau kena pergi jauh dari sini kalau kau nak lari dari dia, Emy. Kau tahu dia bekas tentera. Dia boleh cari kau dengan mudah. Tapi kita patut tunggu dulu. Bukan ke kita dah buat laporan polis? Polis mesti dah tangkap Norman."
Emily mengangguk. "Aku nak pindahkan Erdina ke bilik."
"Come," ajak Jeny lantas bangun.
NORMAN menekur lantai entah untuk berapa lama. Tidak sedar kehadiran satu kenderaan polis di hadapan rumah.
Norman mengangkat pandangan setelah terdengar loceng di petik. Fail di atas lantai itu segera diambilnya.
"Norman Bin Jamil?" tanya salah seorang pegawai itu setelah Norman berada di hadapannya.
"Ya, saya."
"Ada aduan telah dibuat oleh isteri tuan ke atas tuan. Pegawai telah membuka kertas siasatan. Saya minta tuan beri kerjasama untuk hadir ke balai bagi mengambil keterangan."
"Ya. Saya tahu. Kami ada bergaduh tadi." Norman menjawab pantas.
"Silakan, tuan..."
Tanpa perlu digari, Norman dibawa dengan kenderaan polis. Pegawai penyiasat segera datang untuk mendapatkan penjelasan darinya mengenai apa yang diadukan Emily. Namun bibir pegawai penyiasat itu terkunci apabila melihat satu fail yang dibawa oleh Norman.
Emily pernah dirawat mengenai masalah enxiety selama beberapa tahun.
"Dia pernah mereka cerita kononnya dia diperkosa ayahnya. Silakan semak sendiri. Saya rasa fail siasatan masih ada. Tan Sri Elbar tidak bersalah," ujar Norman.
Inspektor Roslan menghela nafas perlahan. Masih menunggu sementelah beberapa pegawai ditugaskan menggeledah rumah Norman bagi mencari fail yang dimaksudkan oleh Emily.
Beberapa jam kemudian, dia mendapat panggilan dari pegawai yang pernah menjadi pegawai pemerintah kepada Laftenan Muhammad Idrus.
"Semua fail itu masih ada dalam simpanan kami. Tidak mungkin dia dapat menyimpannya kerana itu rahsia sulit."
"Terima kasih atas maklumat dari tuan," jawab Inspektor Roslan. Keningnya berkerut. Ada sesuatu yang aneh di sini. sesuatu yang memeningkan kepalanya. Jika benar, fail itu masih ada dan wujud dalam simpanan TLDM, bagaimana Emily boleh tahu tentang pegawai komando bernama Muhammad Idrus melainkan dia memang telah melihatnya.
"Lepaskan dia. Kita tak ada sebab untuk tahan dia," ujar Inspektor Roslan kepada pegawai bawahannya.
Norman tersenyum lebar setelah diberitahu dia telah dibenarkan pulang. Namun setelah dibiarkan bersendirian oleh pegawai polis, senyumannya lenyap.
"Tak guna kau, Emy! Aku akan cari kau!" desisnya seorang diri.
YOU ARE READING
KHIANAT
RomanceEMILY, DENDAM LAMA TIDAK AKAN PERNAH TERPADAM BIARPUN SEDALAM MANA AKU MENCINTAIMU