"EMY!" Jeny berlari mendapatkan temannya di dalam bilik.
"Ada apa?"
"Tengok berita. Cepat!" Jeny terus menarik Emily ke ruang tamu.
Emily berdiri kaku di ruang tamu sambil menelinga berita di TV3 tentang seorang lelaki yang telah ditikam di suatu tempat.
"Mangsa yang bernama Mohd Syafiq Bin Bakar, 33 tahun dilaporkan kritikal dengan 21 tikaman pada tubuhnya. Polis masih menyiasat motif kejadian."
Emily berpandangan dengan Jeny.
"Tu si Syafiq yang kau kata perangai macam iblis tu kan?"
Emily terus mengangguk. Minggu lalu lelaki itu cuba memperkosanya. Dia masih tidak dapat melupakan kejadian itu.
"Siapa yang buat dia macam tu ya?" tanya Jeny.
"Entahlah..." jawab Emily lantas melabuhkan duduk di sofa. Terkejut dan bingung. Banyak peristiwa buruk berlaku minggu ini. Dia masih terkejut.
"Kes kau macam mana?" tanya Jeny pula.
"Tunggu naik court ajelah," jawab Emily lemah. Dia didakwa memandu secara cuai sehingga mengakibatkan kematian. Emily tunduk meraup wajahnya.
"Sabarlah, Emy. Aku ada dengan kau," ucap Jeny penuh simpati. Kasihan dengan nasib Emily. Selepas kematian ibunya, Emily tinggal bersama ayahnya yang dikatakan tidak pernah ditemuinya semenjak kecil. Namun sudah beberapa tahun hubungan antara anak dan ayah itu sangat renggang. Emily dan ayahnya sudah lama tidak bertegur sapa dan Emily beritahu apa sebabnya.
"Aku sedih, Jen. Sebab aku baby yang tak berdosa tak dapat teruskan hidup. Aku tak dapat lupakan semua tu," ujar Emily perlahan.
"Aku faham. Tapi bukan kau minta keadaan jadi begini."
"Mungkin betul aku yang cuai. Kereta aku dah lama. Aku tak selenggara kereta baik-baik."
"Tapi aku masih ingat pegawai penyiasat yang jumpa kita tu. Inspektor Ramli kata macam ada unsur khianat. Sebab dia kata wayar brek macam diputuskan. Tapi lepas tu dia cakap lain pulak," ujar Jeny.
"Itu cuma siasatan awal saja. Wayar brek mungkin boleh putus sebab lain juga. Lagipun siapa nak khianat aku," jawab Emily perlahan.
Jeny segera memandang ke arah tv. Dia hanya terfikir seorang saja... Syafiq punya kerja! Entahlah. Semua itu benar-benar merumitkan keadaan. Bimbang Emily tidak terdaya menanggungnya.
"Aku teringin nak tanya mekanik yang aku kenal tu."
"Pasal apa?" balas Jeny.
"Pasal apa yang polis cakap tulah. Betul ke brek putus boleh jadi ada unsur khianat atau sebab lain," ujar Emily. Dia mana tahu tentang semua itu. Dia perlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk memberitahunya.
"Mungkin kau boleh tanya dia."
Emily mengangguk sedikit. Dia hanya terfikirkan Norman saat ini.
"HAI..." sapa Norman lantas tersenyum saat terpandangkan kehadiran Emily. Sempat memandang ke arah wanita lain yang bersama dengan Emily.
"Hai... I nak minta tolong you, boleh tak?"
"Sekejap. Saya basuh tangan dulu. Kereta rosak lagi ke?" tanya Norman lantas meninggalkan kerjanya.
"Nanti I beritahu."
Norman berlalu ke sinki. Kemudian dia bertemu bosnya sebelum mendapatkan Emily yang berdiri di luar bengkel.
YOU ARE READING
KHIANAT
RomanceEMILY, DENDAM LAMA TIDAK AKAN PERNAH TERPADAM BIARPUN SEDALAM MANA AKU MENCINTAIMU