SUDAH beberapa hari dia bertangguh tentang masalah keretanya. Entah kenapa, keretanya kerap mati ketika digunakan. Sekarang... enjinnya tidak dapat dihidupkan pula. Emily resah. Di ruangan parkir itu agak sunyi. Tiada pengawal keselamatan bertugas di kawasan itu.
Di tiang berhampiran dengan tempat keretanya dipakirkan, Emily terlihat iklan tentang perkhidmatan mekanik. Tanpa banyak fikir dia segera membuat panggilan. Seorang lelaki menjawab.
"Lokasi di mana?" tanya lelaki itu setelah Emily memberitahu masalahnya.
"Bangunan Mara lama."
"Yang ada KTV tu ke?"
"Ya, betul!" sambut Emily sedikit kelegaan.
"Okay. Lima minit saya sampai," jawab lelaki itu.
Berharap mekanik itu akan segera tiba kerana sudah lewat petang benar. Emily duduk berkurung di dalam kereta sehingga dia terlihat kelibat sebuah motorsikal bersama penunggangnya. Lelaki itu seperti sedang mencari seseorang.
"Cik Emily ke?" tanya lelaki itu setelah tiba di sebelah kereta Emily.
"Ya, saya yang call tadi."
Lelaki itu mengangguk sebelum turun dari motor bersama kotak peralatannya.
"Kereta lama. Tahun berapa?"
"Kereta tahun 2000. Kenapa?"
"Last service?"
"Saya tak pasti. Dah tiga atau empat bulan kut," jawab Emily.
Lelaki itu menunduk bagi melihat masalah enjin. Seterusnya dia berlalu ke motornya. Dari kotak di belakang motornya, dia mengambil sesuatu.
"Saya cuba tukar cable plug dulu ya? Plug pun macam tak okay tu."
Emily hanya memandang gelagat lelaki itu. Setelah memasang wayar yang dimaksudkan, mekanik itu cuba menghidupkan enjin. Enjin berjaya dihidupkan namun setelah beberapa kali percubaan.
"Dah ke?" tanya Emily agak resah. Enjin keretanya sudah berjaya dihidupkan. Tetapi lelaki itu dilihatnya menyuluh ke dalam enjin dengan lampu suluh.
"Cik Emily... sinilah. Saya nak cakap sikit pasal masalah kereta ni," ajak lelaki itu. Emily berdiri agak jauh darinya. Macam takut kepadanya.
Sedikit teragak-agak Emily bergerak mendekati keretanya. Namun dia tetap berdiri sedikit jarak dari mekanik itu.
"Plug ada masalah. Dah lama tak tukar. Tadi saya tengok cable plug pun dah nak putus. Saya tahu Cik Emily nak balik cepat. Jadi beginilah... ni dah boleh pakai. Tapi esok boleh datang ke bengkel saya. Saya tukar plug dan saya tengokkan masalah minyak tu. bawah tu bertakung. Lama kelamaan, akan jadi masalah besar. Boleh?"
Emily terus mengangguk.
"Ni kad... ada alamat kedai kat situ."
Emily menyambut kad yang dihulurkan lelaki itu.
"Nama you Husin?"
"Eh! Bukan. Itu nama tauke kedai. Nama saya yang bawah nama Husin," jawab lelaki muda itu.
Emily mengangguk sambil membaca nama mekanik itu. Norman? Bisik hati Emily.
"Berapa harga ni?" tanya Emily saat lelaki itu mengemas peralatannya.
"40 ringgit," jawab Norman lantas tersenyum.
Emily menyerahkan not 50. "Bakinya you simpan," ujar Emily.
YOU ARE READING
KHIANAT
RomanceEMILY, DENDAM LAMA TIDAK AKAN PERNAH TERPADAM BIARPUN SEDALAM MANA AKU MENCINTAIMU