Bab 9

1.7K 29 0
                                    

Jam menunjukkan pukul lapan pagi sewaktu Hafiy mengajak Farha ke taman permainan yang disediakan di perumahan Erin. Tidak sampai hati nak menghampakan permintaan anak kesayangannya itu, Farha turutkan jugalah. Lagipun dia ada masa dua jam lagi sebelum bersiap-siap ke Sunshine.

Tangan comel Hafiy dipimpin menghampiri lif. Wajah Hafiy kelihatan riang pagi itu. Teruja nak bermain di taman permainan.

"Hafiy suka rumah Auntie Erin?" soal Farha ketika mereka sedang menunggu lif.

Hafiy mendongakkan kepalanya, memandang Farha. Kepalanya diangguk-anggukkan.

"Suka. Hafiy suka. Rumah Auntie Erin cantik."

"Mama pun nak ada rumah macam Auntie Erin."

"Tapi Hafiy lagi suka rumah mama..."

Terukir senyuman nipis di bibir Farha. Tangannya menjalar ke rambut anak kecil itu, lalu diusap manja.

"Itu bukan rumah mamalah, sayang. Itu rumah atuk dengan nenek. Mama tak mampu nak ada rumah sendiri lagi. Kesian kan, mama?" soal Farha dengan nada berseloroh.

"Mama jangan risau. Hafiy akan belikan rumah yang pwetty untuk mama," kata Hafiy. Kedengaran cukup yakin dan bersemangat.

"Pretty la, sayang. Bukan pwetty."

Sebutan anak kecil itu dibetulkan bersama tawa kecil di hujung bicaranya.

"Hafiy nak belikan rumah yang pretty untuk mama, ya?" soal Farha. Melayan angan-angan Hafiy.

Hafiy angguk yakin. Siap dengan mimik muka.

"Bila tu? Tak sabarnya, mama... Mama nak rumah macam Auntie Erin tau."

Jeda sesaat.

"Eh, tak naklah. Mama tak suka duduk kat kondo. Mama nak rumah banglo dua tingkat," pinta Farha. Sengaja berseloroh dengan anak kecil itu.

"Okey, mama. Tapi kena tunggu Hafiy besarlah. Sekarang Hafiy mana ada duit," balas Hafiy.

"Okey, sayang... Mama tunggu. Jangan lupa tau!"

Pintu lif yang dinanti-nanti terbuka.

Farha menghalakan pandangan matanya ke hadapan, ke arah lif yang sedang menjemput mereka masuk.

Zap!

Tangkai hati Farha bagaikan direntap. Sisa senyuman yang terukir di bibir terus mati. Riak wajah yang manis sewaktu melayan Hafiy hilang. Diganti dengan riak wajah terkejut. Tubuh badan serta-merta mengeras. Pandangan matanya terpaku ke arah seorang lelaki bersut kelabu yang sedang ralit bermain dengan telefon.

Lelaki semalam.

Lelaki yang tidak mahu ditemui sepanjang hayat ini.

Farha terkaku di situ. Tergamam. Terkejut. Terkesima.

Ini pertemuan yang kedua. Kenapa mereka asyik dipertemukan?

Lelaki bersut kelabu itu mengalihkan tumpuan daripada telefon, memandang Farha yang masih tercegat di depan pintu lif. Pandangan mereka bersatu. Si lelaki dengan riak wajah kosong dan bersahaja sementara Farha dengan riak wajah yang sukar untuk diungkapkan.

"Mama..."

Hafiy yang sudah berlari masuk ke dalam lif, memanggil Farha.

"Mama tak nak masuk ke?"

Mata Farha masih terlekat pada wajah lelaki bersut itu. Lelaki itu menjongketkan sedikit keningnya, seolah-olah bertanyakan soalan yang sama seperti Hafiy. Jari telunjuk lelaki itu sudah menekan punat buka untuk memastikan pintu lif tidak akan tertutup. Sama seperti apa yang dia lakukan malam tadi.

Yang Tertulis Untuk KitaWhere stories live. Discover now