Keesokan harinya, Farha bekerja seperti biasa memandangkan suhu badan Hafiy sudah kembali normal. Mujur demam Hafiy tidak lama. Mujur juga Hafiy tidak menyebut pasal papanya lagi. Kalau tidak, Farha tak tahu nak jawab apa.
Sedang Farha menyusun kek di kaunter, ekor matanya menangkap kelibat Heidry yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafe. Gadis itu terus menoleh, memandang lelaki itu. Sebuah senyuman yang cukup manis tersungging di bibir.
"Morning."
Farha menyapa ceria.
Namun, sapaan dan senyumannya tidak bersambut. Heidry berjalan laju menuju ke tangga tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
Farha ketap bibir. Terkesima dengan kedinginan Heidry pagi itu.
"Abang Heidry bad mood daripada semalam," beritahu Syirah, memberi penjelasan tentang sikap Heidry pada pagi itu.
Farha menumpukan pandangan ke arah Syirah.
"Kenapa?"
"Malam tadi famili dia datang dinner di sini."
"So?" soal Farha bersama kerutan di dahi. Tidak faham hubung kait pada bicara Syirah.
"Abang Heidry tak suka. Sebab mak tiri dengan abang dia pun ada sekali."
"Oh..."
Terus Farha faham. Dia tahu hubungan Heidry dan keluarga tirinya tidak berapa baik.
Fikiran Farha mula terkenangkan hubungannya dengan ayah dan ibunya. Hubungan dia dan ibu bapanya juga kurang baik. Sama seperti Heidry. Cuma situasi mereka berbeza. Pun begitu, sedikit sebanyak dia boleh faham apa yang Heidry rasa.
"Muka Abang Heidry tegang gila semalam. Suasana kat meja dia orang masa tu sangat menyeramkan. Syirah tak berani nak ambil oder. Nasib baik Abang Razi ada. Dia yang layan," cerita Syirah dengan nada perlahan. Seakan-akan berbisik.
"Lepas tu, tiba-tiba Abang Heidry blah. Keluar terus dari kafe. Syirah tak tahulah dia orang cakap pasal apa tapi Abang Heidry nampak bengang."
Farha diam. Membisu.
Kisah hidup Heidry lebih rumit daripadanya. Ayah lelaki itu berkahwin lain selepas beberapa bulan bernikah dengan Mummy Laily. Beberapa bulan, ya? Bukan selepas beberapa tahun. Setahun pun tak sampai.
Tidak semena-mena, Farha terbayangkan wajah lembut Mummy Laily. Wajah yang penuh keibuan. Yang telah menganggapnya seperti anak sendiri. Yang menyayanginya seperti anak sendiri.
Farha tak faham kenapa wanita sebaik dan secantik Mummy Laily dimadukan. Sungguh, dia tidak faham. Sehingga sekarang dia tidak faham. Mummy Laily tak pernah bercerita kepadanya kenapa dia dimadukan. Farha juga tidak pernah bertanya. Tidak mahu menyentuh hal-hal yang sensitif.
Gadis itu melepaskan keluhan dalam hati. Mummy Laily dimadukan selepas beberapa bulan pernikahan. Kembarnya pula ditinggalkan selepas beberapa bulan pernikahan. Dia tak tahu mana satu yang lebih sadis. Bagi Farha, kedua-duanya sadis.
Farha faham kenapa hubungan Heidry dengan Dato Hamzah kurang baik. Barangkali Heidry menyimpan perasaan benci pada lelaki itu. Farha tak salahkan Heidry jika lelaki itu ada perasaan sedemikian. Dia faham. Dan sebab itu Farha memilih untuk merahsiakan tentang papa Hafiy daripada Hafiy. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan lelaki durjana itu.
Farha tak ada pilihan lain. Apa yang boleh dia cerita dekat Hafiy tentang papa Hafiy? Takkan Farha nak cerita dekat Hafiy yang papa dia dah tinggalkan mama dia masa mama dia tengah mengandungkan dia? Tak. Farha tak akan beritahu. Dia tak sanggup nak lukakan hati Hafiy.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Untuk Kita
Ficção GeralTajuk: Yang Tertulis Untuk Kita Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-110-3 Halaman : 768 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2019