Heidry mengurung diri di dalam studio lukisan selepas Naura keluar dari biliknya. Menenangkan dirinya dengan melukis. Tangannya lincah bergerak ke sana sini di atas kanvas putih, melukis sesuatu yang Heidry sendiri tidak pasti. Jari-jemarinya bergerak mengikut kata hati. Fikiran lelaki itu terlalu serabut sehingga dia tidak sedar apa yang dia lukis.
Pergerakan tangan Heidry terhenti. Seakan-akan tahu yang lukisannya sudah siap. Mata lelaki itu merenung kanvas di depan mata. Dan tidak semena-mena mata lelaki itu berair.
Mummy.
Wajah itu yang terhias di kanvas lukisannya. Lukisan yang dilukis ikut gerak hati dan di luar sedarnya. Cukup jelas menunjukkan rasa rindunya pada wanita itu.
"I tak takut. You yang takut. Sebab tu you suka larikan diri. Dan sekarang ni you marah I pasal kereta you sebab you takut nak berdepan dengan kebenaran. You takut nak berdepan dengan apa yang berlaku lima tahun lalu. Kan? You takut nak tengok, nak pandu kereta yang dah ragut nyawa mummy you."
Heidry ketap bibir kuat saat bicara Naura menerpa di ruang minda. Tangannya digenggam kuat. Peristiwa hitam yang berlaku lima tahun lalu kembali terlayar.
Gelap.
Malam.
Hujan.
Treler.
Dan...
Nafas Heidry mula tidak teratur. Dadanya berombak kuat. Peluh sudah merecik di dahi. Tubuhnya menggigil.
Heidry pejam mata. Kepalanya digeleng-gelengkan. Cuba mengusir bayangan lama. Tidak mahu memori yang cuba dilenyapkan kembali.
Ya, Naura. I takut. I takut nak tengok kereta yang dah ragut nyawa mummy I. I tak nak tengok kereta tu. I tak nak ingat apa yang berlaku lima tahun lalu.
Heidry hela nafas berat. Matanya yang pejam dibuka semula. Wajah mummynya di kanvas lukisan menyapa pandangan. Senyuman di bibir wanita itu menenangkan hatinya yang sedang huru-hara.
Heid rindukan mummy, bisik hati Heidry. Lemah.
Lelaki itu bangkit dari duduk. Keluar dari studio. Kembali ke ofis. Pandangan matanya terhala ke arah Victoria Sandwich Cake yang masih terletak elok di atas meja. Masih tidak berusik.
Lambat-lambat dia menghampiri kek itu. Piring kek dicapai. Kek itu direnung lama. Tanpa lelaki itu sedar, tangannya sudah mencuit kek itu dan disua ke dalam mulut. Mata Heidry membulat. Tersentak. Kek itu disua lagi ke dalam mulut.
Satu kali.
Dua kali.
Tiga kali.
Dan sehingga ke suapan yang terakhir.
Mata Heidry kelihatan bersinar-sinar. Tampak teruja. Entah kenapa, hatinya disapa rasa bahagia. Nikmat.
TELEFON PINTAR di poket seluar Farha bergetar. Tangan yang mengelap kaunter kek terus terhenti. Diseluk tangan ke dalam poket lalu telefon pintar dikeluarkan. Nampak sahaja wajah Hafiy di skrin telefon, bibir gadis itu terus melakarkan senyuman.
Mata meliar ke sekeliling sebelum dia menghilangkan diri ke dapur bakeri. Panggilan video daripada Hafiy dijawab bersama hati yang riang. Meskipun baru sahaja berpisah beberapa jam, dia sudah rindu pada si comel itu.
"Helo, anak mama," sapa Farha. Ceria. Dengan nada yang terkawal.
Hafiy melompat kegirangan apabila Farha menjawab panggilannya.
"Helo, mama..." balas Hafiy.
"Mama tengah buat apa?"
"Mama tengah kerja, sayang."
YOU ARE READING
Yang Tertulis Untuk Kita
Ficción GeneralTajuk: Yang Tertulis Untuk Kita Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-110-3 Halaman : 768 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2019