part 4💫⚘

212 13 0
                                    

Perlukah dia terus menyakiti Yura hanya semata-mata perasaan takut yang menghantuinya? Takut untuk mencintai seorang wanita. Tetapi Yura bukanlah wanita itu. Yura tidak seperti Dahlia. Yura Zahrah ialah Yura Zahrah dan Dahlia ialah Dahlia. Rezqan takut kisah dahulu terjadi lagi. Peristiwa hitam itu masih utuh dalam ingatannya. Perisitiwa di mana dia hampir dibunuh oleh Dahlia, wanita yang pernah bergelar tunangannya sendiri.

"Kau akan mati Rezqan, malam ni jugak! Kau akan menyesal sebab tak bagi apa yang aku mahukan!" Kata-kata Dahlia bertandang di gegendang telinga Rezqan. Belakang kepala Rezqan terasa sakit akibat dipukul. Seingatnya, sewaktu dia tiba di bangunan terbengkalai ini, kepalanya dipukul dengan benda yang keras sehinggakan dia rebah dan tidak menyedarkan diri.

"Kau gila Dahlia! Kau gila!" marah Rezqan. Dahlia memang sudah gila. Ternyata Dahlia memang bijak berlakon. Memang patut Dahlia diberi anugerah pelakon wanita terbaik. Memang patut pun Rezqan memutuskan hubungan pertunangan di antara mereka. Dahlia menyatakan bahawa dia ingin bertemu dengannya di bangunan ini buat terakhir kalinya. Namun ini hanyalah helah Dahlia. Helah untuk membunuhnya.

Ternyata, benar kata mamanya. Dahlia ialah seorang wanita yang bijak bermain helah untuk mempergunakan lelaki. Mempergunakan lelaki bagi memuaskan nafsunya. Mujurlah dia tidak menjadi mangsa. Biarpun lahiriah Dahlia kelihatan manis dan lemah lembut namun Dahlia mempunyai sisi dalaman yang tiada sesiapa pun yang akan jangka kecuali Datin Yusmira, mama Rezqan. Hanya Datin Yusmira yang mengenali Dahlia sepenuhnya.

Kedengaran hilai tawa Dahlia yang semakin perlahan seiring dengan langkahnya yang menjauhi Rezqan. Pintu bilik yang sudah usang itu dihempas kuat. Rezqan menjerit sekuat hatinya. Tangannya yang diikat ke belakang masih ligat bergerak. Namun ikatan itu masih tidak terlerai. Dalam hatinya, tidak henti-henti dia meminta pertolongan daripada Allah SWT. Tatkala dia sedang runsing, matanya terpandangkan sebilah pisau lipat yang kelihatan masih baru. Pantas dia mengengsot bagi mendapatkan pisau tersebut.

'Bodohlah kau Dahlia tinggalkan pisau lipat yang masih baru ni dekat sini,' gerutu Rezqan di dalam hatinya. Namun, bagaikan terdengar-dengar suara lain berbicara.

'Bersyukurlah dan anggaplah kehadiran pisau lipat itu adalah salah satu bentuk pertolongan daripada Allah SWT,' kata suara itu. Pantas Rezqan beristighfar, menyedari kekhilafannya.

Tali setebal 5 milimeter itu berjaya dipotong oleh Rezqan seraya lafaz syukur dipanjatkan. Tali yang melilit tangannya itu dibuka. Setelah itu, Rezqan membuka pula tali yang mengikat kakinya. Pisau lipat tadi dimasukkan ke dalam sakunya. Pintu usang itu dibuka dengan mudahnya lantas Rezqan membuka langkahnya keluar daripada bangunan terbengkalai itu.

Rezqan memboloskan dirinya ke dalam keretanya. Mujurlah keretanya masih ada. Baru sahaja dia ingin menghidupkan enjin kereta, kedengaran suara Dahlia menjerit memanggil namanya. Enjin kereta dihidupkan lantas dia memecut laju. Geseren yang terhasil di antara tayar keretanya dengan jalan tar menghasilkan bunyi yang bingit.

Rezqan sedar bahawa Dahlia mengekorinya. Pandangan Rezqan terhala pada cermin pandang belakang seraya dia menekan pedal minyak untuk memecut.

Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Kemalangan yang menimpa diri Rezqan adalah kerana Dahlia. Masih segar dalam ingatan Rezqan kata-kata Dahlia pada malam itu.

"Matilah kau. Tak payah susah-susah aku nak bunuh kau!" Itulah yang sempat dia dengar sebelum dia sudah tidak menyedarkan dirinya. Masih jelas di matanya bagaimana Dahlia tersenyum sinis ke arahnya walaupun pandangannya pada ketika itu agak kabur. Kemalangan itu menyebabkan dirinya mengalami koma selama tiga bulan.

『𝙼𝚊𝚐𝚒𝚜𝚗𝚢𝚊 𝙲𝚒𝚗𝚝𝚊⊰♥⊱』Where stories live. Discover now