Sebaik saja kereta diparkir di kawasan yang disediakan berdekatan Jeti Batu Musang, mereka melangkah ke kawasan tempat menunggu bot. Oleh sebab bot belum tiba, Razin dan Khalil duduk di atas kerusi yang disediakan sambil menjamu mata dan telinga dengan keindahan pemandangan di samping bunyi deruan ombak yang menenangkan.
Senyuman tak lekang di bibir Razin. Tak sabar rasanya untuk berjumpa dengan Encik Ahmad dan Puan Fatimah. Dia suka suasana di pulau itu. Tenang. Segala apa yang terbeban bagaikan hilang. Ya, memang ia tak sehebat pulau-pulau lain, tapi tidak mengapa, itu sudah cukup baginya. Dia hanya perlukan sikit, bukannya banyak.
Apa guna berada dalam kalangan ramai manusia tanpa disayangi? Kualiti lebih penting dari kuantiti. Dia rasa disayangi di sini. Rasa yang sudah lama hilang dari hidupnya dahulu. Encik Ahmad dan Puan Fatimah memberikan kasih sayang umpama seorang ibu dan ayah. Sedikit pun dia tidak rasa terasing.
Tak lama selepas itu bot tiba. Ini bot yang terakhir untuk ke Pulau Aman pada hari ini. Hanya ada enam orang penumpang saja termasuk mereka. Kurang beberapa minit, sampailah nanti. Bukan jauh mana pun.
"Kau tak risau ke?" soal Khalil tiba-tiba.
Berkerut dahi Razin. Dia membetulkan duduknya. Rambut yang diselak kasar angin diraup perlahan.
"Risau pasal apa pula?"
"Kut la sampai rumah nanti ada keluarga Sara datang nak minang kau..." Tawa Khalil meledak usai ayat menemui noktah. Sengaja mahu mengenakan Razin.
Razin menayang buku lima. Tanpa suara, mulutnya menyebut 'aku tumbuk kau'. Geram betul apabila Khalil asyik pasangkan dia dengan Sara. Dan Si Sara pun satu, entah apalah yang gadis itu nampak dalam dirinya.
"Kau jangan macam-macam, dah nak maghrib ni tak pernah dibuat orang la!"
"Jadi kalau tak datang sekarang, datang esok ke, kau nak la?"
"Oi, kau jangan buat aku takut, eh? Tapi, kejap... Ni ke sebab kau nak bawa aku balik kampung?" Riak wajah Razin bertukar panik.
"Taklah, aku saja tanya aje..."
Dengusan kasar dilepaskan apabila melihat Khalil tertawa. Sedar yang Khalil berjaya mempermainkan dia. Razin kembali membuang pandang ke arah langit yang sudah bertukar warna jingga. Namun tatkala dia terpandang jambatan kedua Pulau Pinang, bunyi suasana sekeliling bagaikan tenggelam. Masa juga seakan terhenti.
Selalunya dia akan melarikan pandangan. Tapi entah kenapa, kali ini dia kekal memandang ke arah itu. Dia rasa, perasaan itu harus dilawan. Soalan 'sampai bila?' kini berlegar-legar di dalam kepala.
Namun, seakan-akan terkena renjatan elektrik apabila perkara itu terbayang di kepala. Degupan jantung kian rancak.
Pegangan pada besi yang berada di sisi bot menjadi kuat. Tangan kanan pula mencengkam dada. Mata dipejam rapat. Nafas menjadi tidak sekata.
Segalanya memori hitam berlegar-legar di dalam kepala. Umpama video memaparkan kisah-kisahnya. Semakin lama apa yang tertayang semakin laju. Itu amat memeningkan kepalanya.
Lekas-lekas Razin menggeleng. Dia mahu lupakan semuanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata si dia. Api... Air. Argh!
Wajah Khalil berubah riak apabila dia yang sedar apa yang berlaku. Wajah beberapa orang penumpang lain dipandang sepintas lalu. Mereka masih dengan hal mereka. Dia harus sedarkan Razin. Dia segera bangun dan cuba menyentuh bahu Razin.
Sepantas kilat, Razin menepis. Dia mengilas tangan lelaki itu sebelum dia berubah tempat dengan menolak Khalil agar menghadap tempat duduk dan dia berdiri di belakang lelaki itu. Sebelah tangan lagi menolak kepala Khalil dari belakang agar kepalanya mencium kerusi.
YOU ARE READING
Silhouette
Random"Eh, aku ada banyak duit. Berapa banyak kau nak aku boleh bagi. Semua benda aku boleh beli, faham?" - Thalea Aleesya "Kalau macam tu, kau pergi beli otak yang pandai sikit, ganti otak sekarang. Bodoh sangat." - Razin Qayyim Pertemuan mereka bermula...