"Seterusnya, majlis menjemput ayahanda pengetua untuk memberikan sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya dipersilakan."
Pengetua berkepala botak, berbaju kemeja biru muda dan bertali leher hitam kotak-kotak lantas bangun dari kerusinya dan menuju ke rostrum. Riak wajahnya tampak ceria sekali. Seceria anak-anak muridnya yang dibaluti uniform dan azam yang baru.
"Aduh, sepatah dua kata pulak! Kalau pengetua yang berucap memang tak akan sepatah dua kata," rungut Rara. Mukanya berkerut seribu sambil memandang ke arah Bella.
"Ini ucapan yang paling dinanti-nantikan kot. Sebulan lebih aku tak dengar ayahanda punya ucapan. Rasa rindu pulak," ujar Bella sambil tersenyum penuh makna.
"Hotak kau rindu! Kalau kau tidur waktu dia berucap nanti, siap kau," Rara tahu Bella mengejeknya. Setiap kali sesi perhimpunan, automatik mata mereka akan layu apabila mendengar lelaki itu berbicara. Seolah-olah mendengar orang bersyair pula.
"Alhamdulillah, tahun ini sekolah kita telah diangkat sebagai sekolah kluster. Jadi, pihak sekolah menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai dana untuk melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan sekolah. Maka, saya mahu setiap tingkatan merancang aktiviti luar dari bilik darjah untuk memanfaatkan dana ini."
Seluruh dewan riuh dengan pengumuman tersebut. Ada yang tersenyum lebar sambil memikirkan aktiviti apa yang harus dilakukan. Pastinya mereka yang aktif dalam bidang ko-kokurikulum gembira dengan makluman ini. Tidak kurang juga rungutan daripada pelajar-pelajar yang tidak aktif untuk menyertai apa-apa aktiviti di luar waktu sekolah.
"Setiap pelajar wajib menyertai aktiviti ini. Rugilah kalau kamu tak gunakan peluang ini. Tak semua sekolah dapat dana ni, jadi bila dah dapat kita gunakan sebaik-baiknya. Kepada guru tingkatan, sila pastikan ada laporan berkenaan aktiviti tersebut pada hujung tahun ni," pesan pengetua sambil memandang ke arah semua guru yang berada di atas pentas.
"Bukan itu sahaja..." pengetua menyambung ucapannya.
"Kita juga akan mengadakan beberapa aktiviti tahunan seperti hari terbuka asrama, hari kantin dan lain-lain. Oleh itu, saya harap semua pelajar boleh memberi kerjasama dengan para guru untuk menjayakan aktiviti ini."
"Satu lagi..." pengetua menambah.
"Rara, dah berapa patah ni?" Bella merungut. Matanya kuyu keletihan, tubuhnya lesu kepenatan.
"Aik? Tadi bukan main cakap rindu nak dengar ucapanlah, apalah. Sekarang kau dengar. Jangan nak berkelip mata. Buka lubang telinga luas-luas..." balas Rara.
"Aku dah tak sanggup lagi nak duduk dalam dewan ni. Dah rasa macam dalam sauna dah ni. Sikit lagi nak tumbang. Bella, tolong..." Rara berlakon seperti mahu pengsan. Perlahan-lahan dia cuba menjatuhkan badan ke arah Bella yang berdiri di belakangnya.
"Eh, kau ni! Jangan nak main-mainlah. Kau tu berat macam tong gas. Kalau jatuh pandai-pandai bangun sendiri."
"Kau kata aku berat macam tong gas? Aku ni kurus keding je kot. Berat macam tong gas apanya."
"Shhh!" Tiba-tiba seorang pengawas menegur mereka yang dari tadi bercakap.
"Alahai... minah tu. Bajet-bajet," Rara berbisik.
"Kau tahukan dia tu macam mana? Memang suka bajet pun. Dia ingat elok sangatlah tu. Kau tahu tak satu cerita..."
"Cerita apa?"
"Dia dah breakup dengan Izzat tahun lepas..."
"Hah?"
"Betul, Rara."Terus sahaja mereka sambung bergosip tanpa menghiraukan lagi ucapan pengetua di atas pentas.
YOU ARE READING
ASPURI (Asrama Puteri)
TerrorDicelah-celah loker asrama puteri, tersembunyi seribu satu kisah yang tersimpan rapi. Ada yang gemira dan ada yang duka. Ada kisah mampu mengalirkan air mata dan tidak kurang juga menjadikan darah sebagai penyedap cerita. Jika tubuh dipenuhi najis...