PROLOG

1.3K 100 3
                                    

Kepahitan realiti yang harus bersemuka.

*********

Adhia tersenyum melihat tangannya di dalam genggaman seseorang. Begitu hangat dan mendamaikan. Dia suka perasaan ini. Kepalanya mendongak, mahu melihat pemilik tangan yang hangat itu.

Sungguh kacak. Rambut hitam yang tersikat rapi menampilkan ciri seorang lelaki yang telah cukup dewasa. Kulit sawo matang yang tiada cacat celanya. Hidung mancung yang terletak elok, mata bulat yang membentuk cantik, dan bibir nipis yang kemas terukir bila tersenyum.

Terlalu sempurna. Tetapi siapakah lelaki ini? Apa hubungan mereka berdua? Dia mahu bertanya, tetapi mulutnya seakan terkunci dari berbicara sebarang kata. Malah tersenyum manis kepada lelaki itu. Dia turut mendapat senyuman Balas yang cantik dari lelaki itu.

Namun senyuman itu semakin hilang. Tangannya juga tidak digenggam lagi. Dia melihat tangannya yang telah dilepaskan itu. Entah kenapa dia rasa kehilangan. Hilang kehangatan yang bersamanya tadi.

Dia mendongak kembali melihat lelaki sempurna itu. Terlalu suram wajah kacak itu. Apa yang tidak kena? Kenapa dia rasa berbahang tiba-tiba? Perasaan marah menyerang hatinya tanpa dia duga.

"Saya sayangkan awak." Adhia ketawa sinis mendengarnya.

"Macam ni ke cara awak sayang saya? Hah?" Balasnya kasar tanpa sedar.

"Adhia.." Tangannya yang tiba-tiba diraih, dia merentapnya kuat. Dia dapat lihat riak lelaki itu terkejut dan kecewa sebelum mengawal air mukanya.

Adhia berundur ke belakang.

Dia sendiri terkejut dengan tindakan refleksnya itu. Dia tidak tahu apa sedang berlaku. Keadaan berlaku seperti sedang dikawal. Padahal ini antara dia dan lelaki itu. Dia, dirinya sendiri. Tetapi kenapa dia rasa seolah ada orang lain yang mengawalnya?

Perasaan marah yang meluap-luap di hatinya tadi telah bertukar sedih. Sekelip mata sahaja matanya telah berkaca-kaca. Hanya perlu menghitung detik sebelum air matanya jatuh.

"Adhia.." Panggil lelaki itu lagi sambil menghampirinya. Bahunya ditarik sebelum dia jatuh dalam pelukan lelaki itu.

Dia yang tidak tahu punca dia jadi begini membalas pelukan itu. Dia hanya mahu melepaskan kesedihannya. Entah kenapa hatinya seperti dibelit rantai kesedihan yang buatkan dia mahu menangis. Dia tidak mampu menyembunyikannya.

"Saya sayangkan awak, Adhia.."

Adhia menjatuhkan kepala. Dia tahu. Apabila pelukan semakin erat, dia juga mahu mengeratkan pelukannya. Namun lengannya ditarik kuat dari belakang buatkan dia jatuh dalam pelukan orang lain.

Tidak tahu kenapa, dia hanya menerima dan memeluk tubuh itu. Pelukan ditubuhnya terlalu erat, seakan tidak mahu melepaskannya. Kepalanya turut diusap perlahan.

"Pandang saya saja, Dhia." Ujar seorang lelaki yang dia pernah dengar suaranya sebelum ini. Perasaannya kini lebih tenang, sungguh pelukan ini berjaya menenangkannya. Dia menolak perlahan tubuh itu sebelum mengelap wajahnya yang telah basah.

Usai itu, dia mendongak, melihat lelaki yang tiba-tiba menariknya tadi. Dia mengigit bibir melihat lelaki itu turut menangis. Tidak segan silu menangis di hadapannya dengan kepala yang tertunduk ke bawah.

Walaupun di kepalanya terdapat tanda tanya, dia tidak menyuarakan malah dia mendongakkan wajah itu lalu hujung lengan baju digunakan untuk membersihkan wajah yang basah itu.

Geli hati yang menerpa di hatinya. Kenapa lelaki ini menangis sehingga begini teruk? Sedangkan dia menangis tidak sehingga sedu-sedan. Comel.

Adhia terkejut tangannya yang memegang wajah lelaki itu dipegang kejap oleh lelaki itu. Mata yang masih berkaca itu memandangnya. Terkelip-kelip dia membalas pandangan itu. Dia tidak dapat tapis emosi apa yang sedang lelaki itu alami kerana jantungnya tidak duduk diam.

Seketika wajah mereka hampir bertemu, tetapi dia tidak mengelak mahupun menahannya, seakan telah terpukau dengan pandangan yang berselirat emosi itu. Kemudian matanya jatuh pada seulas bibir yang terbuka sedikit itu gara-gara sedu dari menangis. Setelah itu lehernya terasa ditarik.

PAP!

Adhia menekup wajah apabila mimpi itu mengetuk pintu ingatannya semula. Dia menepuk-nepuk perlahan pipinya yang tiba-tiba rasa panas berbahang.

"Kenapa aku teringat mimpi tu? Aku ni perempuan miang ke sampai teringat-ingat mimpi macam tu?" Adhia menggeleng kepala perlahan. Tak, dia bukan wanita seperti itu. Lagi satu, dia tidak sepatutnya ingat mimpi aneh itu lagi.

Walaupun dia gembira memiliki mimpi seperti itu, tetapi dia tidak gila lagi sehingga mencampurkan realiti dengan mimpi. Sayang sungguh mimpi indah seperti itu hanya wujud di dalam mimpinya sahaja.

Kenyataan di mana realiti yang terpaksa dia hadap lebih menyakitkan. Terlalu berbeza dengan mimpinya yang indah dan gembira sentiasa.

Kenapa hidupnya harus begini? Dia tidak layakkah untuk bahagia? Kenapa bahagianya hanya berlegar-legar dalam mimpinya? Apa salah yang telah dia lakukan sepanjang dia hidup sehingga kehidupan realitinya seperti telah disumpah? Tidak pernah sekali merasa bahagia di dunia realiti ini.

Alangkah indahnya jika mimpinya dapat diserap masuk ke realiti. Dia tidak mahu bahagia itu berhenti. Namun dia harus terima suratan takdir untuknya. Kalau bukan dia, siapa lagi yang hidup untuknya kalau bukan dirinya sendiri?

Kalau bahagia tidak menjadi sebahagian dari perjalanan hidupnya, dia harus terima. Bukankah itu tugas manusia, sebagai hamba kepada yang Maha Esa? Menerima ketentuan Qada' dan Qadar.

Adhia senyum hampa. Hidup yang menyedihkan. Hidup seorang Nur Adhia.

[H] Lelaki Dari MimpiWhere stories live. Discover now