Gelanggang Yang Telah Lama Mati

811 2 0
                                    

Gelanggang silat yang terbuka itu diam tidak berpenghuni; tiada tarian langkah yang diorak, tiada paluan beduk untuk mengira ritma, sedangkan di kelilingnya dipenuhi pelajar yang menunggu dengan nafas yang tersekat-sekat. Gelanggang yang ada orangnya, tapi tidak berpenghuni. Gelanggang yang masih ada jasadnya, tetapi rohnya telah merajuk pergi.

Sekali sekala, ada yang cuba masuk untuk menyeru semangatnya kembali. Bunga dibuka perlahan, pencak diatur cermat, kekuda dipasak tegas. Lembing buluh digapai, pontoh disarung di lengan kanan dan kiri. Dan pabila langkah mula diatur, jatuh tersembam tidak kembali bangun.

"Semangatnya sudah padam".

Dokoh yang bergantungan di persalinan di tepi gelanggang kian hilang sinarnya; hilang seri ditelan air limau yang tidak berganti. Tapak gelanggang yang dahulunya berjaga rapi, kini kian berdebu, meskipun masih ada seguruan yang masih berpencak.

"Semangatnya sudah padam".

Gelanggang itu masih penuh pada jasadnya. Masih dikerumun orang yang mahu mencuba. Masih sesak dengan perguruan yang masih belum putus asa. Tetapi gelanggang itu sendiri telah membawa rasa. Gelanggang itu sendiri yang rohnya telah lari pergi, kerna perguruan yang berpencak kerana rasa, bukan kerana hormat kepada Penjaga.

"Semangatnya sudah padam".

Nude: Stories of a Naked MindWhere stories live. Discover now