"LAMA aku tunggu kau," cemberut wajah Sei ketika mereka berpandangan.
Mischa mengukir senyum. Dia rindukan tempat ini. Tempat yang menyejukkan hati gundah miliknya. Terfikir-fikir juga dia, apa yang membuatkan dia merasa sedih begitu. Ah, sukarnya untuk diingat.
"Sei, aku rasa aku tengah sedih," beritahu Mischa dengan wajah yang suram.
Sei berhenti memakan lolipop. Dipandang wajah sayu Mischa. Pertama kali dia melihat gadis periang itu muram sedemikian rupa. Dia mula berfikir cara hendak menghiburkan temannya itu.
"Eh, esok hari lahir Deanne la!" Ujar Mischa teruja sambil meneliti tulisan di dalam buku merah itu.
'Sei, esok 29 Feb. Ulangtahun kelahiran Dea yang ke 22. Jangan lupa bagi hadiah pada Mischa ya sebab hari lahir aku, hari lahir dia juga.'
Sei tergelak membaca tulisan Deanne yang kemas itu. Dia mula terfikirkan sesuatu.
"Jom."
"Ke mana?" Mischa bertanya.
"Kita tak pernah terfikir untuk buka pintu yang membawa kita ke sini, kan?" balas Sei sambil berdiri dan mengibas-ngibas punggungnya yang dicemari tanah. Tangannya dihulurkan pada Mischa yang masih tercengang mencerna kata-katanya namun disambut jua huluran tangan Sei.
"Kat mana ya pintu itu?" Sei menggaru kepala dengan sebelah tangan bercekak di pinggang.
"Kita berlumba cari pintu itu. Siapa kalah, dia kena jadi tukang jawab dalam permainan 26 Cubit!" cadang Mischa, teruja. Hilang terus rasa suramnya.
"Permainan apa tu?" Hendak tergelak Sei mendengar nama permainan yang tidak pernah didengarnya.
"Permainan ini akan dimainkan secara berdua. Seorang tukang soal, seorang tukang jawab. Tukang soal akan sebut huruf A hingga Ź dan tukang jawab kena sebut perkataan bagi setiap huruf yang disebut. Sepanjang bermain, tukang soal akan mencubit lengan tukang jawab. Lambat tukang jawab menjawab, makin lamalah dia kena cubit," jelas Mischa, panjang lebar.
Dia menjungkit kening dan Sei terus bersetuju sambil terangguk-angguk menghadam kata-kata Mischa. Dia terbayang betapa seronoknya dia dapat mencubit lengan Mischa hingga bengkak.
Mereka berpecah dengan pantas mencari pintu tidak kelihatan itu. Entah di mana kerana tempat yang asalnya hanya putih kini sudah dipenuhi tumbuhan. Tangan mereka tergawang-gawang ke depan mencari-cari pintu yang misteri namun pasti ada.
"Ouch!" Mischa terduduk apabila terlanggarkan sesuatu yang tidak kelihatan. Berpinar matanya namun kesakitannya hilang apabila dia sedar dia berjaya mendahului Sei. Dia sudah menemui pintu itu!
"Yeay!" Mischa meloncat riang manakala Sei hanya mampu memuncungkan bibir tanda tidak berpuas hati. Mereka mengambil keputusan untuk menanam pokok bunga di situ sebagai batu penanda.
"Sudah bersedia?" soal Sei sambil menoleh ke sisi, memandang Mischa yang nampak gementar.
Mischa mengangguk perlahan. Entah apa yang ada di sebalik pintu misteri itu. Walaupun mereka tidak bersuara namun masing-masing pasti perasaan mereka sama. Sama-sama merasa bimbang andainya jika mereka melangkah ke luar pintu itu, mereka tidak akan dapat kembali. Dengan tautan tangan yang menggigil, Sei memulas tombol yang tidak kelihatan itu dan mereka melangkah bersama dengan mata yang terpejam.
"Satu, dua... tiga."
Serentak mereka membuka mata.
Mischa tergamam.
Sei tercengang.
Mereka berada di tengah-tengah suasana kampung yang dikelilingi hutan dan bukit bukau. Pemandangan yang cukup indah dan mempesonakan.
YOU ARE READING
Our Whispers (Completed)
FantasyShort story : Max dan Deanne melarikan diri dari kenyataan hidup selepas bertemu di 'alam' mereka, The Best. Pertemuan demi pertemuan mengeratkan hubungan mereka hingga tanpa sedar ianya mengikis semangat mereka dari meneruskan kehidupan sebenar. M...