ISNIN. Cuaca mulai terik. Mungkin sudah mencecah 38 darjah Celcius. Berpeluh tubuh Shin. Rasanya bukan Shin seorang saja yang berpeluh satu badan, Shin yakin pelajar yang lain pun rasa apa yang Shin alami sekarang. Bukti paling dekat mestilah Jaja. Jaja kawan Shin. Perhatikan keadaan Jaja sekarang, tangannya tak berhenti berkipas.
"Panasnya! Bila perhimpunan ni nak bubar? Bila ustaz nak baca doa? Aku dah cair ni." Jaja merungut. Hari pertama mereka berkawan, Shin sudah tahu Jaja suka merungut.
Meskipun begitu, Shin suka berkawan dengan Jaja. Sebab Jaja hatinya bersih. Jaja tak kisah berkawan dengan Shin. Bukan Shin tak tahu, Jaja itu anak orang 'ada-ada' dari kota besar Kuala Lumpur. Bukan macam Shin yang tidak diketahui asalnya dari mana.
"Sekejap lagi, Jaja."
Lengannya tiba-tiba ditepuk oleh Jaja.
"Masin mulut kau, Shin. Tu ustaz dah mula nak baca doa."
Cukup lebar cara Shin tersengih. Sejenak kemudian, terdengar suara Ustaz Amri mula mengalunkan lafaz bismillah dan seterusnya doa untuk hari ini.
"Kenapa tak tadah tangan? Tangan tu berat sangat ke sampai angkuh nak bermohon dekat Allah?"
Laju Shin menoleh. Shin kenal siapa yang menegurnya. Namanya Fahri. Orang kampung Shin juga. Cuma Shin tak pernah berbual dengannya dan dia pun tak pernah tahu kewujudan Shin.
"Tunggu apa lagi?" Naik tinggi suara Fahri, tetapi Shin sedikit pun tak gentar. Tenang pandangan mata Shin membalas pandangan mata Fahri.
"Dia bukan Muslim. Sebab tu dia tak tadah tangan baca doa." Suara Jaja memberi penjelasan. Ketika Shin menoleh pada Jaja, Shin hanya mampu menggelengkan kepalanya. Nampaknya, Jaja yang baru berpindah sekolah ke sini, sudah terjerat dengan aura Fahri. Melihat pipi kemerah-merahan Jaja, sudah memberi jawapan bahawa Jaja sedang dilamun cinta.
"Awak jangan nak kelentong saya."
Shin kembali berpaling. Suara Fahri, suara orang marah. Raut wajahnya bukan main serius.
"Tak. Saya tak tipu. Nama saya Jaja. Jangan lupa tau nama saya tu. Nama kawan saya ni pula Shin. Muka dia memang tak macam Cina, tapi mak bapak dia Cina."
Senafas Jaja bercerita. Shin yang mendengar hampir tergelak. Sempat lagi Jaja perkenalkan diri pada Fahri.
Melihat raut wajah Fahri semakin bengis, Jaja menyiku Shin. Namun matanya tak pernah beralih dari memandang Fahri, biarpun Fahri tidak memandangnya. Fahri terlalu sibuk menilik Shin atas dan bawah, seolah-olah Shin adalah penjenayah yang paling dikehendaki.
"Shin, keluarkan buku latihan kau sekarang. Cepat!"
Apabila Shin lambat memberikan respons, Jaja sendiri yang menyelongkar beg sekolah Shin. Satu buku latihan milik Shin diambil lalu diserahkan kepada Fahri. Kemudian dia menyelongkar pula beg sekolahnya sendiri.
"Ni pula buku latihan saya. Tengok nama saya..." Ayat Jaja mati. Figura Fahri sudah tidak ada.
"Mana dia?"
"Dah pergi sana."
"Hah! Kenapa kau tak tahan? Alah... Aku belum tanya nama dia lagi. Kau pun satu, kenapa tak cakap sekolah ni ada pengawas yang handsome nak mampus?"
Shin menyimpan kembali buku latihannya. Selepas itu, tumpuannya kembali pada Jaja.
"Nama dia Fahri. Ketua pengawas merangkap ketua pelajar sekolah ni. Aku tak cakap sebab aku ingat mata kau dah nampak Fahri tu."
"Fahri... Wah, sedapnya nama dia. Baiklah, Shin... Mulai saat ini, detik ini, aku nak pikat Fahri tu sampai dapat."
Shin menyembunyikan gelaknya. Shin doakan Jaja berjaya dalam misinya, sebab mengikut rekod Fahri yang lepas-lepas, belum ada lagi pelajar perempuan yang berjaya dinaik taraf jadi kekasih Fahri.
YOU ARE READING
Namaku Khadijah
General FictionTajuk: Namaku Khadijah Penulis: Pena Kayu Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-125-7 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mei 2019 DAPATKAN SEKARANG DI APLIKASI ATAU PM MAKCIK KARYASENI DI FACEBOOK DAN NIKMATI DISKAU...
