Bab 4

1K 22 0
                                    

ENAM jam selepas Shin meninggalkan rumah keluarganya, dia mula kelaparan. Duitnya tinggal RM2.60. Dia nekad membeli dua bungkus roti. Satu dijadikan makan malam. Satu lagi untuk makan tengah hari esok. Esok dia akan mencari kerja sampai dapat.

Kemudian masalah timbul lagi apabila hujan turun dengan lebat. Basah kuyup Shin dibuatnya. Payung hitam milik Fahri gagal menjaga Shin dari tempias hujan lebat. Lebih parah, payung hitam itu sempat ditiup angin. Kelam-kabut Shin mengejarnya. Cuak mukanya melihat salah satu besi payung tersebut tercabut dan bengkok. Mana Shin nak cari duit ganti payung Fahri?

Shin enggan berfikir apa-apa lagi. Dia memerlukan tempat perlindungan sekarang. Matanya melihat sebuah masjid. Di depan masjid terdapat tempat berteduh. Shin berharap agar dia tidak dihalau.

"Tunggu siapa?"

Satu suara menegur setelah seminit Shin menumpang berteduh. Serentak kilat memancar. Nampak dengan jelas pemilik suara itu lelaki separuh abad usianya dan berjambang. Umurnya mungkin sebaya bapak.

Shin sudah berkira-kira mahu lari apabila guruh berdentum dan saling bertingkah dengan petir.

"Mak!" jerit Shin. Dia jatuh terduduk. Bertambah lencun bajunya. Namun cepat juga dia bangun semula. Beg sekolahnya dipegang erat. Dia takut dirompak.

"Shin?"

Shin tergamam. Pastilah dia terkejut apabila namanya disebut dengan betul.

"Shin buat apa kat sini? Sejuk ni. Kenapa tak balik rumah? Ah Heng mana?"

Habislah Shin. Pasti lelaki ini kawan bapak. Bukti cukup jelas apabila dia tahu nama Shin dan bapak.

"Shin bawa beg ni, Shin nak ke mana?"

Soalan semakin banyak menerjah telinga Shin. Satu pun Shin belum jawab.

"Shin lari dari rumah?"

Tekaan lelaki tua ini sungguh tepat. Lekas-lekas dia menggelengkan kepalanya. Dia menyusun sepuluh jari sebelum berlutut dalam keadaan basah kuyup.

"Pak cik jangan hantar saya balik. Saya tak nak balik."

"Sebab apa Shin tak nak balik rumah?"

Shin membisu. Kalau dia memberitahu dia lari dari rumah, nanti dia akan dihantar ke balai polis. Secara tak langsung, dia pasti dihantar balik ke rumah keluarganya semula.

"Pak cik yakin, mesti sekarang emak dengan bapak Shin tengah cari Shin. Mereka tentu tengah risau. "

Shin bangun dengan niat mahu lari sekali lagi. Lelaki tua ini seperti dapat membaca apa yang cuba Shin rahsiakan.

"Shin." Lengannya telah ditangkap. Kemas pegangan tangan lelaki tua itu.

"Saya tak lari dari rumah, pak cik. Saya bukan lari. Saya cuma tak nak emak dengan bapak mati sebab jaga saya. Saya ni ada malang."

"Astaghfirullahalazim... Siapa cakap?"

Shin tunduk.

"Shin ikut pak cik balik rumah. Sekejap lagi pak cik telefon Ah Heng supaya jangan risau."

Nampak jelas riak ketakutan Shin. Bukan sebab lelaki tua ini berkata mahu memberitahu bapak lokasi Shin berada sekarang, tetapi sebab Shin tidak mengenali lelaki tua ini. Biarpun wajahnya bersih dan boleh dipercayai, Shin tetap ragu-ragu. Biarpun dia mengenalkan diri sebagai kawan bapak, ketakutan Shin tak juga hilang.

"Jangan risau, pak cik bukan nak culik Shin. Takkanlah pak cik tergamak nak buat kerja jahat tu." Lelaki tua itu ketawa di hujung kata-kata, memaksa Shin sekali lagi menundukkan kepala.

Namaku KhadijahWhere stories live. Discover now