Bab 7

947 25 0
                                        

TIDAK sedar ada jatuhan air mata yang membasahi pipi Khadijah. 12 tahun lalu seorang Shin sudah mati. Yang wujud sekarang adalah Khadijah. 12 tahun lalu, tubuhnya teruk menerima pukulan Pak Cik Lee. Sewaktu Khadijah sedar semula, dia sudah ditempatkan di rumah kawan Pak Cik Lee jauh di Pekan Tangkak. Khadijah sendiri tidak tahu berapa lama dia pengsan.

Seminggu kemudian, dia dibawa terbang ke Kota Samarahan. Kawan Pak Cik Lee meninggalkan Khadijah sehelai sepinggang di rumah kebajikan anak-anak yatim di sana. Khadijah cuma ingat kata-kata kawan Pak Cik Lee sebelum lelaki itu angkat kaki.

"Mulai sekarang, kau bukan keluarga Lee. Duduk sini diam-diam! Kalau kau berani datang dekat keluarga Lee lagi, muka kau pecah!"

Seiring terpisahnya Khadijah dengan keluarga angkatnya, begitu jugalah dengan nama Lee Shin Li. Nama Shin, telah ditukar jadi Khadijah. Nama Shin terlalu pahit dan berat untuk dibawa. Genap usianya 21 tahun, secara rasmi Khadijah memilih Islam. Semua yang hitam, telah Khadijah tinggalkan di belakang. Cuma hari ini, setelah bersua semula dengan buku Khadijah milik Fahri, segala yang hitam itu datang menyapa semula.

"Khadijah?"

Namanya dipanggil. Terus saja buku ditangannya ditutup. Bergegas Khadijah membersihkan matanya. Khadijah tidak mahu Jaja melihatnya menangis. Malangnya sudah terlambat. Jaja sudah memeluknya, kemudian memujuknya.

"Aku tunjukkan buku tu, bukan nak kau sedih. Aku tunjuk buku tu, bukan juga sebab nak kau ingat semula fasal pak cik kau. Buku ni hak kau. Pemberian dari Fahri. Aku nak kau ingat yang manis dan indah saja."

Khadijah tahu niat Jaja baik. Cuma otak Khadijah tak mampu dikawal supaya mengingati hal yang manis dan indah saja.

"Dulu sebelum aku pindah ke KL, aku ada tolong pulangkan buku ni pada Fahri, tapi dia tak nak terima. Dia kata buku ni, dia berikan pada kau. Tapi kalau kau nak pulangkan juga, dia minta kau sendiri yang pulangkan. Bila aku cerita pada dia, yang pak cik kau dah bawa kau pindah, dia tak nak terima juga buku ni. Dia pesan, buku ni jadi hak aku kalau aku tak dapat jumpa kau semula. Sebab sekarang aku dah jumpa kau, jadi buku ni kau punya. Terpulang sama ada kau nak simpan atau kau nak cari Fahri dan pulangkan balik pada dia."

Itu dia penjelasan panjang lebar Jaja. Terangguk-angguk kepala Khadijah mendengarnya. Kemudian buku setebal 457 muka surat itu diambil lalu dipeluk dengan erat.

"Buku ni harta. Harta ni mengenalkan aku dengan peribadi Khadijah. Buku ni juga mengajar aku tentang cinta agung Rasulullah pada Khadijah. Tanpa buku ni, Khadijah depan mata kau sekarang takkan wujud. Aku hutang banyak dengan Fahri."

"Memang kau hutang banyak dengan dia. Lepas pak cik kau bawa kau pergi, dia selalu lalu depan kelas kita. Kalau lalu tu, mesti dia pandang tempat duduk kau." Jaja ketawa kecil di hujung ceritanya.

"Aku rasa dia suka kau. Sebab tu bila aku pikat dia dengan macam-macam cara, dia bolayan. Pandang aku dengan dua belah mata pun tak. Sedih tau kena tolak mentah-mentah ni."

Lebar senyuman Khadijah. Awal-awal dulu memang Khadijah dah ingatkan Jaja tentang perangai khas Fahri. Jaja yang keras kepala, nak juga mencuba nasib. Padanlah muka kena tolak mentah-mentah.

"Taklah, dia bukan suka aku. Aku ni kan pelik. Mata aku saja lain, tak sama dengan orang lain."

"Sebab 'pelik' itulah kau selalu jadi perhatian mata dia."

Aduh Jaja, merah pipi Khadijah dibuatnya.

"Aku doakan dia bahagia sekarang walau di mana dia berada."

"Aku pun sama. Dan kalau dia belum berjumpa jodoh, aku harap ALLAH bawa dia datang pada kau. Aku dah penat tengok Nizam asyik datang merayu kau balik semula pada dia."

Namaku KhadijahWhere stories live. Discover now