KETIKA subuh masih hening, emak dengan bapak sudah sampai di rumah Pak Cik Mustaqim. Emak menangis sebaik saja tubuh Shin berada di dalam pelukannya. Emak memarahi Shin. Emak marah bersama titisan air mata. Shin juga yang dilanda rasa bersalah.
"Jangan buat macam ni lagi. Mak boleh mati."
Berkali-kali Shin anggukkan kepala. Shin sudah buat keputusan. Pak Cik Lee kata apa pun selepas ini, Shin tak akan ambil kisah. Sial dan malang itu perkara tahyul kata emak. Shin pegang kata-kata emak.
Hampir satu jam juga emak dan bapak menghabiskan masa di rumah Pak Cik Mustaqim. Kemudian barulah bapak meminta diri untuk pulang.
"Lepas ni Shin jangan segan singgah rumah pak cik lagi."
Kata-kata Pak Cik Mustaqim, Shin balas dengan senyuman tipis. Sampai mati pun Shin akan ingat kebaikan Pak Cik Mustaqim sekeluarga.
"Mak, tunggu sekejap. Shin nak pulangkan buku ni." Shin membuka beg pakaiannya. Buku berjudul Khadijah milik Fahri dikeluarkan. Kemudian dia menghampiri Fahri dengan senyuman paling lebar. Berbaloi dia menggosok pakaian seragam pengawas Fahri semalam. Buku Khadijah ini sangat bagus.
"Saya nak pulangkan buku ni. Saya dah habis baca. Sikit lagi saya terbawa balik. Nasib baik teringat."
Fahri menaikkan keningnya.
"Awak dah habis baca buku Khadijah tu?"
"Dah."
"Betul awak dah habis baca?"
Lain macam saja gaya soalan Fahri. Suaranya juga boleh tahan kuat. Semua mata sekarang memberi tumpuan pada Shin dan Fahri. Membahang pipi Shin.
"Betullah, saya dah habis baca. Takkan saya nak tipu pula?"
"Awak yakin dengan jawapan awak tu?"
Soalan Fahri sekarang ada gaya soalan rancangan Wheels of Fortune. Tak fasal-fasal Shin berdebar tidak menentu. Diibaratkan nyawa Shin berada di hujung tanduk.
"Awak tak ada talian hayat."
Buku berjudul Khadijah itu terus diletakkan di tangan Fahri. Banyak cakap pula Fahri ni. Itulah, inilah. Fahri bernasib baik sebab Shin datang dari keluarga orang baik-baik. Kalau jahat, memang Shin tak pulangkan buku tersebut. Shin jadikan harta sendiri terus.
"Shin."
Niat Shin untuk pergi mati. Dia kembali mencari sorotan mata Fahri.
"Siapa nama emak dan ayah Khadijah?"
Soalan cepu emaskah ini? Minta maaf sebab Shin lupa. Jadi Shin tidak ada jawapan.
"Tak tahu, kan? Ambil balik buku ni dan baca betul-betul."
Buku berjudul Khadijah itu sekali lagi berada dalam tangan Shin. Terkebil-kebil mata Shin. Fahri pula sudah masuk ke dalam rumah.
"Tu cara Fahri nak beritahu, yang buku ni dia beri pada Shin. Shin simpan, tak perlu pulangkan."
Melopong pula mulut Shin mendengar penjelasan Pak Cik Mustaqim. Mustahil Fahri murah hati. Kalau murah hati pun, pasti penuh dengan muslihat. Murah hati Fahri jauh dengan frasa ikhlas.
"Shin."
Bapak sudah memanggil dari dalam lori tannya. Bergegas Shin masuk ke dalam lori kecil tersebut. Tangannya dilambaikan pada Pak Cik Mustaqim dan isterinya.
DUA hari kemudian, Shin sudah hafal semua fakta penting tentang susur galur keluarga Khadijah. Sejarah kehidupannya juga Shin telah hafal. Nanti Fahri tanyalah soalan apa pun, Shin pasti boleh menjawabnya tanpa salah.
YOU ARE READING
Namaku Khadijah
General FictionTajuk: Namaku Khadijah Penulis: Pena Kayu Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-125-7 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mei 2019 DAPATKAN SEKARANG DI APLIKASI ATAU PM MAKCIK KARYASENI DI FACEBOOK DAN NIKMATI DISKAU...