KUMAT-KAMIT mulut Shin mencarut bahasa paling kotor. Fahri itu kurang ajar. Mentang-mentang dia ketua pengawas, sesuka hati sahaja dia denda Shin. Demi Tuhan, hari ini Shin bukan sengaja datang lambat. Shin menolong emak dengan bapak tadi. Fahri yang macam sengaja cari salah Shin.
Shin perasan, sejak perhimpunan hari itu lagi Fahri seolah-olah mengawasi setiap gerak-geri Shin. Bukan sekali dua Shin menangkap Fahri meniliknya. Cara tilikan Fahri seolah-olah Shin adalah makhluk asing. Sudah banyak kali dia menangkap kegiatan Fahri, sehingga tak terhitung lagi dengan jari.
Shin tak tahu apa salahnya. Shin tak pernah terlibat dengan masalah disiplin kecuali hari ini. Itu pun bersebab, sebab yang sangat kukuh. Selama dia bersekolah di sini, mana pernah dia menimbulkan masalah.
Sewaktu melalui tempat meletak kenderaan, mata Shin melekat pada sebuah motosikal Modenas Kriss warna biru. Kenal sangat Shin dengan motosikal tersebut. Itu motosikal Fahri. Selalu sangat Shin nampak Fahri menunggang motosikal tersebut datang ke sekolah. Shin sudah hafal nombor pendaftaran motosikal Fahri.
Shin mendekati motosikal tersebut. Berdiri di sisi motosikal tersebut. Sempat mata Shin melihat sekeliling. Setelah memastikan tidak ada saksi yang berkeliaran, segaris senyuman jahat mulai nampak di bibirnya.
"Kau dengan tuan kau, sama saja. Boleh jalan dah!"
Motosikal itu ditendangnya sekali. Perlahan saja tendangan Shin. Kemudian ditendang sekali lagi. Kali ini kuat sedikit. Shin melampiaskan rasa geramnya pada motosikal itu. Lebih dahsyat lagi, motosikal Modenas Kriss itu Shin anggap Fahri. Berapi-api hati Shin.
"Geramnya aku!"
Motosikal itu ditendang sekuat hati. Sakit sungguh kaki Shin. Selepas ini, pasti kakinya bengkak. Namun dalam sekelip mata rasa sakit kaki Shin lenyap setelah motosikal milik Fahri itu mulai bergoyang dan terus tumbang. Spontan Shin menekup mulut.
Tidak sampai sepuluh saat, lebih daripada 15 buah motosikal mula berjatuhan seperti daun terup. Semuanya gara-gara dihempap motosikal Fahri yang tumbang.
Sesaat dua Shin hilang suara. Ada keringat halus yang berlumba-lumba di sekitar dahinya. Jelas cuak muka Shin. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian belakang. Alamak, ada saksi pula yang melihat insiden tersebut. Saksi bukan sebarang saksi. Saksi yang melihat adalah Fahri sendiri.
"Shin!"
Habislah Shin hari ini! Tetapi sumpah, niat Shin cuma mahu menendang sedikit motosikal milik Fahri. Shin tak tahu keadaan boleh bertukar jadi buruk. Shin minta maaf!
DISEBABKAN insiden 18 buah motosikal tumbang dan saling bertindihan, Shin didenda membersihkan kawasan tempat letak kenderaan sekolah. Fahri sendiri yang menawarkan diri untuk mengawasi Shin sehingga dia selesai membersihkan kawasan tersebut.
"Sana ada banyak daun. Sapu."
Shin tahu dia salah, maka dia tak akan membantah. Dia menuruti segala arahan Fahri sejak tadi.
"Situ pun sama. Sapu bersih-bersih."
Ya, Shin tak akan buka mulut. Shin akan selalu bersabar.
"Shin, sini pun awak kena sapu."
Mungkin Fahri sengaja hendak menguji tahap sabar Shin. Kalau betul, sukalah Shin khabarkan yang rasa sabarnya mulai menipis.
"Cepat sikit buat kerja tu. Macam mana saya nak balik awal kalau awak buat kerja mengalahkan kura-kura berjalan?"
Shin sedang melakukan kerjanya sehabis laju dan sehabis efisien. Lagipun panas terik sekarang.
"Cepatlah! Panas ni."
YOU ARE READING
Namaku Khadijah
Ficción GeneralTajuk: Namaku Khadijah Penulis: Pena Kayu Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-125-7 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mei 2019 DAPATKAN SEKARANG DI APLIKASI ATAU PM MAKCIK KARYASENI DI FACEBOOK DAN NIKMATI DISKAU...
