Bab 9

919 24 0
                                    

MATA Fahri jatuh pada keluarganya dan kemudian pada keluarga Ariana. Dua buah keluarga berbeza susur galur sedang bersidang tentang niat Fahri mahu menjadikan Ariana sebagai isteri. Fahri dilarang membuka mulut. Fahri cuma perlu bersetuju dengan segala kata putus yang bakal mereka ambil.

"Akar memanjat pohon ara,

Nampaknya cantik berseri laman,

Besarnya hajat tidak terkira,

Hendak memetik bunga ditaman."

Tenang alunan suara pak long menuturkan pantun. Fahri harap keluarga Ariana tidak membalas pantun tersebut. Fahri harap keluarga Ariana hilang kata dan seterusnya majlis pertunangan ini dibatalkan.

"Nampak cantik berseri laman,

Tempat bertandang beruk dan kera,

Hendak menyunting bunga ditaman,

Sudahkah cukup syarat dan kira?"

Malangnya harapan Fahri tidak kesampaian. Balasan pantun keluarga Ariana dibalas senyuman paling lebar pak long. Fahri rasa, sekarang juga dia mahu angkat kaki. Fahri sesak nafas dan dia perlu keluar sekarang untuk mendapatkan udara segar.

"Fahri nak ke mana?" Pak anjang memandangnya dengan tajam. Kemudian Fahri rasa, semua mata ahli keluarga sedang terarah tepat matanya. Perlahan-lahan Fahri kembali duduk.

"Kalau padi katakan padi,

Tidaklah kami tertampi-tampi,

Kalau sudi katakan sudi,

Tidaklah kami ternanti-nanti."

Nampaknya, senyuman keluarga Ariana lebih lebar. Fahri pula sudah lupa bagaimana caranya untuk tersenyum. Jasad Fahri saja yang tertinggal, jiwanya sudah melayang entah ke mana.

"Pohon cempedak di tepi titi,

Pohon nangka buah sebiji,

Kalau sudah berkenan di hati,

Marilah kita mengikat janji."

Tawa senang dua buah keluarga kembali bersatu. Dan seperti ada tusukan keris sewaktu keluarganya dan keluarga Ariana telah sepakat memilih tempoh enam bulan dari sekarang sebagai tarikh pernikahannya dengan Ariana. Fahri rasa hidupnya semakin kosong. Tanpa warna dan suara.

Sewaktu melihat emaknya bangun untuk menyarungkan cincin tanda di jari manis Ariana, Fahri hampir bersuara untuk melarang. Mujur warasnya masih ada. Keinginan itu dimatikan serta-merta. Fahri belum berhasrat menyandang gelaran Si Tanggang moden yang menderhaka terhadap emaknya.

Setengah jam kemudian, Fahri bersendirian menjamah nasi hujan panas yang disediakan oleh keluarga Ariana. Fahri paksakan diri untuk menelan sesuap dua nasi hujan panas tersebut. Rasanya memang sangat sedap. Rempah ratusnya sempurna. Sayang, Fahri tidak dapat menikmati kesedapan hidangan tersebut. Hati Fahri sedang luka.

"Mak beritahu, Fahri sendiri yang pilih cincin ni."

Sekilas Fahri menoleh ke sisinya. Disebabkan teruk sangat mengelamun, Fahri sampai tidak sedar Ariana sudah duduk di sebelahnya. Manisnya Ariana tidak perlu dipertikaikan lagi. Sewaktu matanya pertama kali melihat Ariana lebih lapan bulan lalu, hatinya memang memuji dalam diam. Darah Filipino Ariana yang diwarisi daripada emaknya, menjadikan Ariana cantik dalam darjahnya yang tersendiri.

"Minta maaf, saya panggil emak awak mak, walaupun kita ni belum kahwin lagi."

"Tak apa, Ariana. Saya tak kisah."

Kata setujunya membuatkan dia menerima senyuman terindah Ariana. Segala yang ada pada Ariana, segalanya adalah kelas pertama. Raut wajahnya, senyumannya, budi bahasanya dan malah kerjayanya. Fahri yakin, ramai lelaki di luar sana patah hati apabila mendapat tahu si dara cantik bernama Ariana ini, bakal menoktahkan zaman daranya. Fahri yakin, pasti ramai juga lelaki diluar sana yang cemburu dengan keberuntungan Fahri.

Fahri sepatutnya bersyukur, tetapi kenapa sebaliknya pula yang dirasanya? Semacam ada kisah silam yang selalu menghimpit Fahri. Kisah silam yang membuat Fahri selalu tawar hati mencari pasangan hidup. Disebabkan itulah emaknya mengambil inisiatif melamar Ariana untuk Fahri.

"Are you happy, Fahri?"

Soalan tiba-tiba Ariana berjaya membuatkan Fahri tercengang. Sempat sorotan matanya bertaut dengan Ariana sebelum Fahri melarikan pandangan.

"Yes, I'm happy." Fahri sedang menjerut leher sendiri. Fahri sedang menipu diri sendiri dan juga Ariana.

"Thank you. I'm glad to hear that. Tadi saya sempat terfikir, mungkin awak tak gembira dengan pertunangan ni."

Ariana bangun selepas itu. Sedikit pun dia tidak berpaling. Lima minit kemudian, Mak Cik Naemah duduk di sebelah Fahri. Raut wajahnya bukan main garang. Fahri tertanya-tanya juga, apa sebab emaknya boleh bertukar karakter.

"Mak dah pesan banyak kali. Kenapa Fahri langsung tak nak dengar cakap mak? Fahri memang tak kisah ke kalau Ariana pulangkan cincin tanda tu pada kita semula?"

Berkerut seribu dahi Fahri. Kurang jelas dengan cerita yang emaknya sampaikan. Tadi elok saja dia berbual dengan Ariana. Apa masalahnya sampai emaknya terlalu negatif?

"Jangan nak buat muka tak bersalah. Mak tahu Fahri dah buat salah besar."

"Mak cakap apa ni?"

"Fahri tahu sebab apa mak cakap macam ni. Dan jangan pula nak tuduh Ariana tu mengadu domba. Tadi mak sendiri yang paksa Ariana buka mulut."

Semakin dalam kerutan dahi Fahri. Fahri memang keliru mendengar lontaran ayat emaknya.

"Mak suka Ariana. Mak tahu Fahri pun suka Ariana. Tapi Fahri tu liat nak kahwin. Mak tak tahu Fahri nak tunggu apa lagi. Umur dah nak masuk 30 tahun. Dah tua bangka pun. Dah layak sangat jadi suami dengan ayah orang."

"Mak, saya tak cakap pun saya tak suka bertunang depan Ariana."

"Memanglah tak cakap. Tapi muka Fahri yang bercakap. Sesiapa yang nampak muka Fahri sekarang pun tahu Fahri tak rela bertunang. Mulut tu cubalah senyum. Jangan asyik masam saja macam dirundung malang. Kalau mak jadi Ariana, mak pun nak pulangkan cincin semula. "

Dalam hati, Fahri mengeluh. Dia bukan manusia hebat, yang boleh melukis senyuman ketika hati tidak gembira. Dan ya, emaknya masih garang seperti dahulu juga. Belum surut lagi sehingga sekarang meski usianya telah menghampiri angka 60 tahun.

"Mak nak pergi pujuk Ariana semula. Kalau Ariana berkeras nak pulangkan cincin semula, mak kerjakan Fahri siap-siap."

Mengeluh Fahri. Wajahnya diraup. Begini salah, begitu pun salah. Semua kesalahan dilonggokkan pada Fahri.

"Mak tak perlu pujuk Ariana."

"Kenapa tak perlu pula?"

"Fahri sendiri yang akan pujuk Ariana."

Fahri bangun lalu emaknya ditinggalkan. Langkah kakinya mencari Ariana. Dia mahu berbincang secara empat mata dengan Ariana. Kalau pun dia tidak rela dengan pertunangan ini, dia masih berpegang pada janji yang telah dimeterai. Enam bulan dari sekarang, mereka berdua akan disatukan. Fahri harap, Ariana tidak berfikir yang bukan-bukan lagi selepas perbincangan mereka nanti.

Namaku KhadijahWhere stories live. Discover now