Tulisan asal : ANDY Sulaiman
"Eh jom ikut aku jap," ajak aku pada Amir.
"Mana?" soal Amir.
"Rumah aku. Nanti aku cerita. Haji, ni duit!" kata aku sambil tinggalkan duit 5 ringgit atas meja warung Haji Mahad.
Amir tak banyak soal, terus membonceng di belakang dan aku terus bawa dia ke rumah.
"Yah! Ayah!" panggil aku sebaik saja sampai ke rumah. Tiada jawapan.
"Mak! Ohh Mak!" aku panggil mak aku pulak.
"Apa dia Rul, terjerit-jerit ni? Tanya mak aku sebaik keluar dari dapur.
"Ayah mana mak?"
"Ke kebun. Kenapa? Ni siapa pulak?" tanya mak aku selepas dia melihat Amir.
"Mak tak kenal ke? Amir. Kawan orang masa sekolah rendah. Anak Pak Basir kerja pejabat tanah dulu tu. Mak dia kan kawan mak jugak, Acik Ramlah tu. Tak ingat?" satu persatu aku bagitau mak.
Mak aku renung je Amir. Lepas tu dia melangkah beberapa tapak ke depan merapati Amir.
"Betul ke Amir ni Rul?" tanya mak aku.
"Betul lah mak. Kawan orang, orang kenal lah," jawab aku.
"Mak bukan apa. Kau tahu kan apa jadi kat kita semalam. Aina, bukan Aina. Kak Su, bukan Kak Su. Jadi mak risau lah kalau kau bawak balik ni bukan Amir," kata mak.
Nak tergelak pun ada juga aku tengok mak waktu ni. Fobia dia. Kesian pun ada juga.
Tak nak buang masa, aku terus bawa Amir ke kebun. Amir, masih lagi bingung apa tujuan aku bawa dia ke hulu ke hilir ni. Berkali-kali juga dia tanya aku masa atas motor. Malas aku nak cerita.
Sampai je kat kebun ayah aku, aku tengok motor Wak Man pun ada. Hah, elok. Biar Wak Man pun tahu siapa Amir jumpa malam tadi waktu dia masuk ke kampung ni.
Aku park motor, terus heret Amir masuk kebun ayah aku. Kalau Wak Man ada, tak ada tempat lain dah ni. Pondok kecik hujung kebun lah port diorang berdua. Kami terus ke sana.
Tepat tekaan aku. Tengah santai layan rokok daun mereka berdua masa tu. Ayah dengan Wak Man pun sama macam mak aku. Tak cam Amir.
Terpaksa aku ulang skrip sama yang aku cakap kat mak tadi kat rumah. Siapa ayah Amir, mak Amir.
"Ohhhh cucu Ya Lembu. Lama tak nampak kau..Bapak kau sihat?" tanya Wak Man.
Ya Lembu. Arwah atuk Amir. Dapat jolokan lembu tu sebab arwah atuk dia dulu tokey lembu. Nama sebenar arwah atuk dia, Zakaria.
"Dah tu, ada apa cari ayah sampai ke kebun ni?" tanya ayah aku.
"Ada benda tak kena kat kampung kita ni yah, Wak," kata aku.
"Tak kena apa pulak kau ni?" tanya Wak Man.
"Mir, kau cakap Mir. Siapa kau selisih masa masuk kampung ni malam tadi," arah aku pada Amir.
"Mak Jah," jawab Amir dengan wajah yang penuh kekeliruan.
Wak Man dan ayah saling berpandangan.
"Apa, betul orang yang kau tengok tu Mak Jah? Kau tak salah orang?" tanya Wak Man.
"Betul Wak. Saya cam dan ingat lagi muka Mak Jah macam mana. Tapi, kenapa ya? Apa yang gempak sangat selisih dengan Mak Jah ni?" tanya Amir. Wajah stress lagi merimaskan mula terpamer di wajahnya.
Aku pun cerita lah. Mak Jah sudah meninggal dunia. Dia tak percaya pada mulanya. Lepas tu cerita aku disokong penuh oleh ayah aku dan Wak Man. Barulah dia percaya.