Jam Swatch silver yang melilit pergelangan tangan kiriku itu dikerling. Tak payah tengok pun dah boleh agak, beberapa minit selepas tujuh? Matahari masih menyorok di sebalik langit gelap. Selepas salam tangan mak, kakiku melangkah laju ke stesen bas. Kerap kali aku menyuruh mak balik tanpa menunggu aku naik bas tetapi Mak tetap dengan pendiriannya di seberang jalan. Sesekali AhSoo Ooi ada meneman mak sambil menunggu bas sekolah anaknya, tetapi pagi ini kelibat Ahso dan anaknya Yoke Ying masih tidak kelihatan. Cuti sekolah dah bermula ke? Hatiku tertanya.
Bas 203 ke Terminal Gombak tiba sebelum sempat panas punggungku di bangku. Setelah sebulan menjadi pengguna tegar pengangkutan awam ini, aku sudah menghafal jadual bas yang tepati masa. Terutamanya sewaktu waktu kemuncak manusia berpusu-pusu untuk ke pejabat atau memulakan urusan pagi. Dahulu, kerap aku terkejar-kejar menaiki bas dan kadang-kadang hanya mampu melihat bas berlalu di depan mata.
Aku tersengih-sengih melambai mak selepas sentuh kad di mesin bas. Untungnya rumah di penghujung stesen, aku sentiasa dapat tempat duduk. Perjalanan dari Gombak Permai ke Terminal Gombak selalu mengambil masa 30 minit hingga 40 minit. Dan inilah masa aku melelapkan mata, terlalu awal untuk melepaskan masa tidur.
Body clock! Itu yang aku rasa setiap kali aku terjaga saat bas sudah sampai di terminal. Bas padat dengan pelbagai manusia yang berkejaran untuk mencari nafkah. Semua orang segak lengkap berpakaian, berbau wangi dan mekap yang terang. Situasi ini tak akan sama bila waktu balik nanti, masing-masing sudah bermandi keringat. Kakiku deras menaiki LRT yang tiba di platform.
"Encik!" dua tiga kali aku memanggil manusia yang sedap melayan mimpi. Bahunya kutolak perlahan, berharap dia sedar. Wanita berusia yang duduk disebelahnya turut memanggil tetapi tiada respon. Aku semakin panas bila dia membuka mata buat seketika dan kembali tidur selepas mengucapkan dua perkataan. Dengan berang aku memijak kaki mamat itu dengan kasut tumit tinggiku. Lelaki tersebut terkejut lantas berdiri menahan sakit kakinya. Cepat-cepat aku menyuruh wanita mengandung disebelahku duduk. Merah muka mamat tu menahan marah. Belum sempat dia membuka mulut, wanita mengandung tadi sudah meminta maaf.
"Maaf ye encik. Saya rasa tidak sihat tadi" ujar wanita tadi sambil mengurut dadanya.
"Tak ape puan. Memang tempat duduk ini khas untuk pregnant lady. Saya hanya membantu bagi yang memerlukan" sengaja aku kuatkan perkataan 'pregnant' untuk didengari. Beberapa pasang mata melihat kami seketika, kemudian kembali ke telefon dan tablet masing-masing. Ini lah ragam manusia zaman sekarang, langsung tak ambil peduli.
"Terima kasih cik, terima kasih encik" ucap wanita itu lagi. Aku hanya tersenyum sahaja, tak berani nak pandang mamat mangsa Carlo Rino aku tu. Kang ada pulak yang bertengkar pagi-pagi ni.
Selang beberapa stesen wanita itu sampai di destinasinya. Beberapa kali dia mengucapkan terima kasih sambil memegang tanganku. Macam lah aku selamatkan dunia ini, aku tersengih-sengih bangga. Common sense sahaja nih, kalau tak adap sesama Melayu, adap sesama manusia juga. Mataku mencari-cari kelibat mamat tadi, rasa bersalah pula mengingatkan aku men'cedera'kan sesama manusia. Tetapi tidak kelihatan.

YOU ARE READING
9AM 6PM
Roman d'amourYoung hot-blooded worker unexpectedly met at train and fall-in-love.