BAB 7

148 4 0
                                    

BURUNG hantu yang bertenggek di dahan pohon kekabu bising mengeluarkan bunyi. Mungkin sedang memanggil pasangannya. Bulan yang hanya menampakkan dirinya separuh memberikan sedikit cahaya malap. Tanah berdebu yang penuh dengan semut merah menjadi tilam buat Mawar malam itu. Kerana terlalu letih, Mawar terlelap buat seketika.

"Mari ikut Kak Surti. Akak ada penawar untuk hentikan semua kesengsaraan yang Mawar hadapi ini. Mari..."

Mawar terjaga daripada tidur. Rasa sakit dan pedih di bahagian betis serta pahanya akibat digigit semut merah mengganggu lenanya tadi. Tergaru-garu Mawar di bahagian itu sehingga kulitnya terluka sedikit kerana kukunya yang agak tajam. Sambil itu dia teringat akan mimpinya sebentar tadi. Mimpikan Surti yang selama ini memberi mimpi buruk kepadanya. Mawar berfikir sejenak.

"Adakah mimpi tadi adalah petunjuk untuk aku? Mungkin benar hanya dengan bantuan Kak Surti sahaja yang dapat keluarkan aku dari perkara buruk ini." Mawar bertambah yakin kerana malam itu ialah malam Jumaat.

Dia pernah terbaca satu buku koleksi ibunya Kebenaran Mimpi. Salah satu daripada tulisan yang tercatat di dalam buku itu ialah mimpi itu kemungkinan adalah benar jika bermimpi pada malam Jumaat. Entah benar atau tidak, Mawar tetap yakin mimpi tadi adalah benar.

Berat juga kaki Mawar mahu melangkah ke rumah Surti. Dengan nafas yang dalam Mawar tetap memberanikan diri ke sana. Bermula hanya berjalan sahaja lama-kelamaan Mawar berlari supaya lebih cepat sampai ke rumah Surti. Kakinya sudah lebam dan berdarah sana sini kerana dia hanya berkaki ayam. Sekali-sekala dia tersepak batu di jalanan. Pedih dan nyilu. Tetapi Mawar tidak peduli. Emosinya lebih tenat berbanding kesakitan di kakinya.

"Huh!" keluh Mawar selepas tiba di hadapan rumah Surti.

Gelap seperti tiada sesiapa di dalam rumah itu. Surti sudah tidur barangkali.

"Selamat datang Mawar. Aku tahu kau akan kembali ke sini." Surti sudah siap berdiri bersilang tangan di dadanya.

Bibirnya menjuih sedikit meludah air liurnya ke tanah. Mahu menanda kawasan seperti kucing jantan menanda kawasan tawanannya. Surti memang begitu. Menyangka bahawa semuanya adalah miliknya.

"Benarkah kau mampu hentikan semua ini?" tanya Mawar bersungguh-sungguh.

"Soalan jenis apakah itu? Sudah tentu. Bukankah kita sama-sama berada di sana sewaktu aku mulakan upacara. Kau yang lari menghilangkan diri."

"Tapi aku belum sempat buat apa-apa. Kenapa dia tetap ganggu aku sebegini rupa."

"Dia dewa sakti yang datang jauh dari negara seberang. Sudah pasti dia akan mengganggu kau sebab dia penat datang ke sini tapi kau tiada. Dia marah." Surti cuba menakutkan Mawar.

"Tolonglah. Aku dah tak sanggup lagi hidup macam ni," rayu Mawar.

"Boleh. Tapi harini kita tak boleh mulakan sebab bahan-bahan tak cukup. Kau jangan risau dalam rumah aku ni benda-benda tu semua tak berani masuk. Kau rehatlah dulu," kata Surti dan terus berlalu ke biliknya.

Mawar mengekori Surti ke bilik.

"Kenapa kau ikut aku? Pergilah ke bilik kau sendiri."

"Boleh tak kalau aku nak tidur dekat bilik kau? Aku takut."

"Tak boleh." Surti segera menutup pintu biliknya.

Mawar masih tercengang di luar bilik. Mahu tidak mahu terpaksalah dia ke biliknya sebelum ini. Tiada perubahan di dalam bilik tersebut. Tetapi semua pakaiannya sudah tiada lagi di situ. Habis semuanya hilang. Tiada satu pun yang tertinggal. Mawar kembali ke bilik Surti. Niatnya mahu bertanya ke manakah semua barang-barang yang dia tinggal sebelum ini.

Tok! Tok! Tok!

"Surti... Surti..." panggil Mawar berselang-seli dengan ketukan yang tidak henti.

Tiada jawapan. Tiada sahutan. Mawar hampa apabila panggilannya tidak diendahkan oleh Surti.

Esok ajelah aku tanya, bisik Mawar pada dirinya.

Sebelum dia ke biliknya semula, Mawar ke dapur terlebih dahulu untuk menghilangkan dahaganya. Dia membuka peti sejuk tetapi kosong. Tiada isi. Mawar keluh sekali lagi. Terpaksalah dia meminum air paip kerana dia benar-benar dahaga.

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Mawar terbatuk selepas meminum air paip dengan rakus. Rasanya begitu kelat dan masin sekali. Mawar cuba menghidu air tersebut tetapi tidak sempat kerana dirinya terlebih dahulu rebah jatuh ke lantai. Pengsan tidak sedarkan diri.


ANGIN terlalu sejuk sehingga membuatkan Mawar sakit kepala. Matanya terkebil-kebil menyesuaikan diri dengan cahaya menderang di bilik itu.

"Lama sangat kau tidur Mawar. Bangun! Kita dah tak ada masa ni." Surti bersuara selepas mendapati Mawar sudah terjaga.

Hampir seminggu juga Mawar tidak sedarkan diri akibat terminum air paip.

"Apa sudah jadi dengan aku?" tanya Mawar kerana badannya terasa begitu sakit dan lenguh di bahagian sendi-sendinya.

"Kau pengsan. Dah seminggu kau terlantar dekat sini. Apa yang kau buat sampai jadi macam ni sekali?"

"Aku rasa sebab aku minum air paip kut."

"Ermm... patutlah. Air tu dah tercemar. Kena kencing tikus," jawab Surti sambil tangannya memegang sehelai kertas. Surti menipu. Sebab sebenarnya, itu adalah sebahagian dari air permujaannya.

"Kita kena laksanakan upacara memuja dewa tu hari ni. Jangan nak lengah-lengahkan masa lagi. Kau ikut apa yang aku baca."

"Kejap-kejap aku tak bersedia lagi."

"Sampai bila aku nak tunggu kau bersedia?!" marah Surti.

"Aku nak bersihkan badan dulu. Dah seminggukan aku tak mandi?"

"Yalah, yalah. Cepat sikit."

Mawar tidak mengambil masa yang lama untuk membersihkan dirinya. Sekadar mencuci tempat-tempat yang sepatutnya sahaja.

"Jom Surti," ajak Mawar selepas dia sudah bersedia sepenuhnya.

"Dewa ni dewa dari Thailand. Dia tak faham bahasa Melayu dan aku pula tak pandai berbahasa Thailand. Jadi kita guna bahasa pengantaraan iaitu bahasa F," kata Surti dengan penuh semangat.

"Bahasa F?" tanya Mawar ragu-ragu.

"Kenapa? Senang sikit kau nak ikut apa yang aku baca. Kalau aku pakai bahasa aku nanti kau tak faham pula"

"Bila kita nak mulakan?"

"Sekarang. Kau ikut saja apa yang aku baca. Lepas tu kalau ada apa-apa jadi dekat sini jangan kau nak lari pula." Surti sempat memberi amaran.

Mawar mengangguk tanda faham. Kedua-dua tangannya digenggam erat. Dia perlu habiskan semuanya hari ini juga.

"Afakufu seferufu defewafa sakfaktifi unfutufuk berferdamfamdingfing defenganfan afakufu..." Mawar tekun mengikut setiap ayat yang dibaca oleh Surti sehingga penghabisan.

Suhu bilik itu bertukar-tukar. Kadang-kadang terlalu panas, kadang-kadang terlalu sejuk. Mawar masih utuh bertahan. Dia nekad untuk tidak ke mana-mana sehingga upacara itu tamat. Tubuhnya juga terasa seperti dicakar sesuatu. Pedih. Air mata Mawar mengalir menahan sakit. Tetapi semuanya beransur tenang dan kembali seperti biasa. Mawar membuka matanya dan tersenyum.

"Akhirnya kau berjaya. Selepas ini aku nak kau balik semula ke rumah kau yang dulu."

"Aku sudah tiada rumah di sana." Senyumannya tadi terpadam selepas Surti berkata begitu.

"Kau sekarang dah ada kuasa sakti yang aku turunkan. Kau boleh rampas semula rumah kau tu dengan apa cara sekalipun."

"Betul ke?" Mawar seakan-akan tidak percaya.

Surti tersenyum sekilas sebelum dia beredar dari bilik itu membiarkan Mawar yang masih terpinga-pinga. Mawar membelek-belek kedua-dua belah tapak tangannya.

Aku ada kuasa?

MAWARWhere stories live. Discover now