BUNYI enjin kereta di halaman rumah menyebabkan Mawar berhenti memasak buat seketika. Dia terus ke depan pintu rumah apabila tetamu di luar tidak berhenti memberi salam.
"Assalamualaikum." Suara tetamu itu lagi, suara lelaki.
"Waalaikumusalam. Encik dan puan cari siapa ya?" tanya Mawar. Dia tidak mengenali dua figura di hadapannya ini.
"Kami nak berjumpa dengan Surti. Kami dah buat temu janji," jawab wanita yang berada di sebelah lelaki yang memberi salam tadi.
Barulah Mawar teringat akan tetamu yang diberitahu oleh Surti. "Marilah masuk dulu. Kak Surti ada di dalam bilik. Nanti saya panggil dia," ajak Mawar sambil mempelawa dua orang tetamu itu untuk duduk sementara dia memanggil Surti yang masih berada di dalam bilik.
Lelaki dan wanita itu mungkin berusia awal 30-an. Nampak masih muda tetapi wajah masing-masing kelihatan agak gundah. Mungkin ada masalah yang perlu mereka selesaikan bersama Surti nanti.
Mawar menghidangkan teh O panas bersama jemput-jemput.
"Jemput minum. Kejap nanti Kak Surti datang. Dia sibuk siapkan barang-barang dalam bilik," kata Mawar seraya duduk bertentangan dengan tetamunya itu.
Lelaki dan wanita itu hanya mengangguk kecil. Teh O panas dicicip perlahan. Mawar jadi buntu. Dia tidak tahu perkara apa yang perlu dia bualkan sekarang ini.
"Err... encik dan puan ni memang selalu datang sini ke?" tanya Mawar sekadar mengisi kesunyian.
"Tak, ni kali pertama kami datang sini. Lagipun, kami dapat tahu yang Surti ni pandai berubat. Sebab tu kami datang hari ni." Lelaki itu menjawab sambil menggenggam tangan wanita itu. Barangkali isterinya.
"Dari mana tahu yang Kak Surti pandai berubat." Sengaja Mawar cuba mengorek sedikit rahsia.
"Mawar! Panggilkan tetamu kita masuk ke dalam bilik." Belum sempat lelaki itu menjawab soalan Mawar, suara Surti memanggil membantutkan sesi perbualan itu tadi.
"Kak Surti dah panggil. Masuklah." Mawar menunjukkan arah ke bilik rahsia itu. Mawar hanya mengekor dengan lirikan matanya sahaja.
Mawar tidak mahu ambil peduli akan hal itu. Dia segera mengemas cawan-cawan dan pinggan lalu dibawa ke dapur.
CUACA tidak menunjukkan sebarang tanda mahu hujan. Angin lalu hanya datang sekejap-sekejap saja. Namun begitu, kain jemuran di ampaian tetap diangkat apabila sudah dipastikan semuanya sudah kering sepenuhnya. Mawar kumpulkan semua pakaian itu ke dalam bakul rotan sederhana besar. Hanya pakaiannya sahaja yang tersidai di situ.
Tidak nampak pula pakaian milik Surti. Mawar malas mahu mengambil tahu akan hal itu kerana dia lebih memikirkan di mana Surti berada sekarang. Sudah tiga hari mereka tidak bersua muka. Sungguh membimbangkan kerana Surti menghilang begitu sahaja.
Kali terakhir mereka berjumpa apabila datang sepasang suami isteri yang membuat rawatan bersama Surti tiga hari lepas. Kehilangan Surti itu membuatkan dia memikirkan perkara yang bukan-bukan. Dia teragak-agak mahu mencari Surti kerana dia tidak pasti di manakah sepatutnya dia mula mencari. Mawar semakin risau walaupun dia tahu bahawa Surti itu bukanlah budak kecil lagi. Kalau sesuatu perkara buruk terjadi bagaimana?
Pakaian tadi dilonggokkan di satu sudut di ruang tamu. Dia tidak berniat mahu melipat semua baju-baju itu buat masa ini. Mawar terduduk di sofa sambil tangannya ligat membetulkan kain batik arwah ibunya yang sedang dipakainya. Dia termenung jauh dan terus mencari idea di manakah harus dia mulakan pencarian untuk mencari Surti. Selalunya di manakah Surti selalu berada? Di dapur? Mana mungkin kerana selama ini Mawar sahajalah yang selalu ke sana. Di belakang rumah? Mungkin tidak, kerana buat apa Surti ada di sana. Mawar buntu. Dia terlalu risaukan keadaan wanita itu.
YOU ARE READING
MAWAR
Mystery / ThrillerTajuk: MAWAR Penulis: ANIS AKHIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-47-9 POS PERCUMA 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 WALK-IN ke Kedai Buku DearNovels potongan se...