"PANAS! Panas! Sakit!" rintih Mawar seorang diri di tepi jeti.
Dia menangis dan terus menangis menahan sakit dan pedih. Luka-luka di badannya begitu menyakitkan dan memeritkan. Dia menjadi lemah tidak berdaya. Dia sendiri tidak tahu mengapa Surti sanggup melakukan perkara sebegitu terhadap dirinya. Dia nekad untuk tidak kembali lagi ke rumah itu. Dia gerun apabila teringatkan rumah ungu milik Surti yang telah memberi luka dalam terhadap emosinya.
"Kamu buat apa malam-malam begini dekat sini?" tanya satu suara pada kiraan Mawar seperti pernah dia dengar sebelum ini.
"Pak cik tolong saya pak cik," rayu Mawar apabila dia mendapati orang tua itu ialah pak cik yang membawanya ke Kampung Ulu Jawa tempoh hari.
"Apa sudah jadi ni? Kenapa badan kamu ada luka-luka dan darah macam ni sekali?"
"Kak Surti... Kak Surti..." jawab Mawar dalam tangis.
"Sudah. Ikut pak cik ke rumah pak cik," ajak pak cik itu.
Mawar menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia masih tahu hukum-hakam agama. Mana mungkin dia akan pergi ke rumah lelaki yang baru dia kenali tidak lebih dari 24 jam. Walaupun lelaki itu sudah berusia, segala kemungkinan buruk masih boleh berlaku.
"Jangan kamu risau. Di rumah nanti ada isteri pak cik. Jangan fikir bukan-bukan. Sudah lewat malam ni. Bahaya duduk dekat sini seorang diri." Pak cik tadi masih berusaha memujuk Mawar untuk ke rumahnya.
Dia akan berasa bersalah jika dia meninggalkan gadis malang itu sendirian di situ. Dia tahu, di kawasan itu selalu ada manusia-manusia yang tidak berupa manusia mencari mangsa. Nasib baik dia terlebih dahulu terjumpa Mawar sebelum manusia keparat yang durjana.
Mawar hanya menurut ajakan pak cik itu selepas dia berasa yakin untuk mengikuti orang tua itu. Mereka berdua masuk ke dalam kereta usang milik pak cik itu. Mawar memilih untuk duduk di bahagian belakang. Dia masih berjaga-jaga. Pak cik tua itu seakan-akan faham keadaan Mawar hanya membiarkan Mawar begitu.
Perjalanan yang agak singkat itu sunyi sekali. Mawar masih menangis teringatkan tindakan bodohnya yang mahu menjadi seperti Surti. Jika dia tidak menyuarakan hasratnya itu pasti perkara begini tidak berlaku. Dia terkejut melihat kelakuan Surti yang berubah serta-merta ketika itu. Surti seperti orang lain. Orang asing yang cuba melakukan onar terhadap dirinya yang suci.
"Nak, kita dah sampai."
Rumah papan yang masih kukuh berdiri menjadi tatapannya kini. Seorang wanita yang berusia mungkin di dalam lingkungan 50-an menyambut mereka dengan wajahnya yang penuh dengan tanda tanya.
"Siapa ni bang?" soal wanita itu.
"Kita masuk ke dalam dulu. Nanti kita bincang pasal hal ni," jawab sang suami dengan suara yang kendur.
Mawar tertunduk malu. Malu dengan keadaannya yang bakal menyusahkan pasangan tua yang baru dikenalinya.
BILIK yang penuh dengan kegelapan itu diisi dengan api kemarahan yang meluap-luap. Dadanya turun naik menahan geram. Surti tidak menyangka bahawa Mawar berjaya meloloskan diri semudah itu. Segala mantera telah dia bacakan namun masih belum mampu mematahkan kudrat Mawar agar tunduk kepadanya.
"Kau tunggu Mawar! Kau takkan terlepas dari kekuasaan aku. Sekarang kau boleh lari. Tetapi, tak selamanya engkau selamat!" gertak Surti.
"Aku nak kau musnahkan hari-hari bahagia Mawar. Engkau buatlah apa pun sehingga dia terseksa dan kembali ke rumah aku," arah Surti kepada satu lembaga yang tidak berjasad.
Tiada jawapan daripada makhluk itu kerana dia belum mendapatkan santapannya hari itu. Surti tahu akan kemahuan belaannya. Dia terus melemparkan ayam hutan yang mati tadi. Makhluk itu melahap makanannya tanpa meninggalkan sedikit pun sisa dan lesap menghilangkan diri begitu sahaja.
Surti berjalan menuju ke arah cermin di biliknya. Mukanya sudah menampakkan diri yang sebenar. Kedut-kedut mula kelihatan di seluruh tubuhnya. Surti tersenyum sekilas. Ditelek-telek wajahnya yang memburuk. Lalu dia mengambil bekas kaca yang berisi darah.
Campuran darah-darah yang dia berjaya kumpulkan selepas dia membunuh beberapa orang mangsa yang pernah datang ke rumahnya. Salah satu mangsanya ialah sepasang suami isteri yang datang beberapa hari yang lepas. Dia menyapu darah itu ke seluruh tubuhnya. Selepas beberapa minit, Surti kembali muda seperti seorang anak dara.
"Mawar... Aku tunggu kedatangan kau nanti. Tidak lama lagi nasib kau akan sama seperti nasib ibu kau. Hahaha." Surti ketawa seperti orang kurang siuman.
BAU minyak gamat memenuhi ruang tamu malam itu. Mak Cik Manisah mengurut perlahan betis Mawar yang sudah lebam membiru. Terbit rasa kasihan terhadap anak gadis itu.
"Kenapa kamu sanggup buat semua tu Mawar? Salah di sisi agama. Boleh terpesong akidah kamu." Pak Cik Syam bertanya selepas Mawar menceritakan perkara yang sebenar.
"Saya tahu ini kesilapan besar yang pernah saya buat. Tapi, saya sendiri tak tahu kenapa saya terfikir nak buat semua tu. Hati saya tiba-tiba tergerak nak jadi seperti dia. Dia bagaikan ada pengaruh yang kuat" jawab Mawar perlahan.
"Pak cik dah pernah bagi tahu kamu sebelum ni. Hati-hati dengan dia. Dia selalu ambil kesempatan terhadap orang lain. Kalau kamu nak tahu, orang kampung dah lama cuba nak halau dia dari kampung. Tapi, setiap tindakan orang kampung yang cuba nak halau dia pasti akan berlaku bencana sehingga melibatkan kematian. Usaha mereka tak pernah berjaya sampai sekarang"
"Pak cik harap kematian ibu kamu bukanlah angkara Surti," sambung Pak Cik Syam bersama keluh.
Mawar juga berharap kata-kata Pak Cik Syam tadi adalah benar. Dia tidak mahu kematian ibunya disebabkan oleh perbuatan manusia jahat. Biarlah ibunya meninggal dunia kerana sudah ajalnya yang menjemput.
"Pak cik, mak cik boleh tumpangkan saya di sini untuk semalam dua. Selepas ni saya nak ke kampung saya semula. Biarlah saya ke sana mencari tempat perlindungan saya sendiri. Di sini bukanlah tempat saya," minta Mawar.
"Boleh nak. Kalau kamu nak tinggal dekat sini lebih lama pun boleh. Tunggulah luka-luka kamu sembuh dulu baru kamu pergi dari sini. Lagipun pak cik dengan mak cik hanya tinggal berdua di sini." Mak Cik Manisah menyampuk.
"Terima kasih. Saya harap suatu hari nanti saya dapat membalas jasa baik pak cik dan mak cik."
"Mari mak cik tunjukkan bilik kamu," ajak Mak Cik Manisah.
Mereka berdua ke sebuah bilik yang paling hujung. Terletak betul-betul di sebelah dapur. Ruang bilik itu tidaklah begitu besar dan tidak pula begitu kecil. Sangat sesuai untuk Mawar berehat di situ. Ada sebuah katil bujang bersama almari yang tiada isinya. Melihat almari itu membuatkan Mawar teringatkan sesuatu. Dia tidak mempunyai sebarang pakaian atau apa-apa pun.
Semasa dia melarikan diri tadi, dia hanya berkain batik yang menutupi bahagian dadanya sehingga lutut sahaja. Dia tertunduk malu melihat keadaannya yang tidak menyenangkan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya.
"Jangan risau. Kamu boleh pakai baju mak cik. Masih ada banyak lagi dekat bilik mak cik. Esok kita ke pekan. Cari baju yang sesuai untuk kamu. Sekarang ni kamu pergi bersihkan diri dulu lepas tu berehat. Jangan lupa sapu ubat dekat luka-luka kamu nanti. Cepat sikit sembuh," pesan Mak Cik Manisah penuh kasih sayang sebelum orang tua itu beredar dari situ.
Mawar berasa begitu tenang dan gembira akan layanan Pak Cik Syam dan isterinya. Mawar segera ke bilik mandi. Perlahan-lahan dia meratakan air ke seluruh badannya. Pedih apabila lukanya terkena air kolah yang begitu sejuk.
Plak!
Lampu di bilik mandi terpadam sendiri. Dahinya berkerut memikirkan apakah yang perlu dia lakukan sekarang ini. Mawar meraba-raba mencari pintu bilik mandi.
"Kau tak akan selamat! Kau tak akan selamat! Kau tak akan selamat!" Muncul satu suara yang begitu menggerunkan.
Mawar menggigil ketakutan. Dia terduduk sambil melutut. Matanya terpejam rapat. Dia dapat rasakan tubuhnya dipeluk kuat oleh sesuatu sehingga dia tidak mampu bernafas.
"To... long... to... long." Mawar cuba menjerit tetapi payah.
Tok! Tok! Tok!
"Mawar? Kamu okey ke tu? Kenapa menjerit-jerit?" Kedengaran suara Mak Cik Manisah kerisauan.
Mawar kembali membuka matanya. Tiada perkara pelik yang berlaku di persekitarannya. Melainkan air kolah yang sudah penuh melimpah ke lantai. Mawar menangis semahu-mahunya.
YOU ARE READING
MAWAR
Gizem / GerilimTajuk: MAWAR Penulis: ANIS AKHIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-47-9 POS PERCUMA 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my/+60132588069 WALK-IN ke Kedai Buku DearNovels potongan se...