Bab 12

22 2 0
                                    

Maka pada malam itu Cinderella dibawa pulang ke istana oleh putera mahkota yang tidak sabar mahu mempersembahkan bakal isterinya kepada kedua bonda dan ayahandanya. Cinderella dibawa menunggang kuda putih yang gagah bersama-sama putera sementara bontel pakaiannya yang besar dibawa oleh ketua askar.

Apabila tiba di istana dan dipersembahkan kepada raja dan permaisuri, kedua pasangan itu amatlah berkenan dengan peribadi Cinderella yang sopan dan sedikit kelakar walaupun pada waktu itu Cinderella busuk dan selekeh kerana belum mandi sejak pagi.

Maka, dipendekkan cerita akhirnya tiba juga hari perkahwinan Cinderella dan putera Daniel. Majlis perkahwinan Diraja itu diadakan selama 2 hari 2 malam. Hari yang pertama keluarga Diraja menjemput kerabat-kerabat raja dari negara luar untuk meraikan majlis anak tunggal mereka. Majlis tari menari dan jamuan bertaraf tujuh bintang di jamu kepada para kerabat.

Pada hari kedua, keluarga raja menjemput seluruh rakyat jelata pula untuk sama-sama meraikan hari berbahagia itu. Seperti biasa acara tari menari, tepung tawar, perarakan askar-askar, jamuan besar-besaran, pertunjukan jet pejuang di udara dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Mempelai Diraja itu juga diarak menggunakan tandu di sekeliling istana.

Walaupun kebanyakan gadis di dalam negeri kecewa kerana mereka tidak dipilih menjadi isteri putera, tetapi mereka tetap datang meraikan satu-satunya putera raja di negeri mereka. Ya lah, nak tunggu keluarga Diraja buat majlis besar-besaran seperti itu lagi, entah bila. Dari belalang gorang kunyit sebagai pembuka selera, lembu golek, ayam kari hijau, air pancuran coklat hinggalah lempeng durian yang menjadi kemuncak hidangan jamuan; semuanya disediakan.

Kehadiran Cinderella sebagai menantu di dalam istana itu sangatlah disenangi raja dan permaisuri. Bahkan dayang-dayang istana dan askar juga seronok dengan kehadiran Cinderella yang rajin berbual dan bertanyakan khabar mereka. Yang paling gembira tentulah ketua askar bermisai lentik, kerana Cinderella melayannya lebih mesra kerana ketua askar pernah membantu Cinderella semasa majlis tari menari dahulu.

Cinderella pula pada awalnya terasa agak sukar untuk membiasakan diri tinggal di istana. Selalunya dia buat semua kerja sendiri. Tetapi apabila di istana dia dikelilingi oleh dayang-dayang yang bertindak seperti tangan kanan dan kirinya. Bukan setakat mandi, sikat rambut, bahkan nyamuk gigit pun digaru dayang. Hinggalah satu hari Cinderella menyatakan kerimasan itu kepada suaminya, barulah Cinderella dapat bernafas, korek hidung dan kentut dengan selesa.

Pernah satu hari dapur istana kecoh apabila Cinderella dilihat masuk ke sana dan memasak. Dayang-dayang dan tukang masak istana sangat takut akan hal itu diketahui raja, pasti raja akan murka. Tetapi Cinderella tetap berdegil mahu memasak untuk keluarga kecilnya itu, malah dengan yakin turut menyediakan hidangan untuk raja dan permaisuri juga.

Sangkaan mereka tepat sekali. Pada hari itu, teruk tukang masak istana kena marah dengan raja dan permaisuri kerana hidangan yang Cinderella masak sangat sedap mengalahkan tukang masak istana sendiri. Sejak hari itu, Cinderella dibolehkan untuk memasak pada bila-bila masa yang dia suka. Al maklumlah, ternyata ini semua bakat memasak yang datang dari arwah daddy Cinderella.

Satu pagi, Cinderella dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu di bilik tidurnya. Apabila dia membuka mata, ternyata suaminya tiada di sisinya. Yang ada hanyalah patung Doraemon yang merupakan salah satu hantaran kahwin tersengih baring di bantal putera. Cinderella bergegas membuka ambal pintu dan mendapati dua orang dayang terpacak di depan pintu sambil memegang baju kembang cantik berwarna emas.

“Tuanku puteri. Tuanku putera sedang menunggu tuanku untuk bersantap pagi”, kata salah seorang dari dayang.

Cinderella menyambut baju di tangan dayang dan segera mandi di bilik mandi yang terletak di dalam bilik mereka. Setelah bersiap, dia berlari anak turun ke bawah. Kelihatan putera Danny sedang menghirup minuman dari cawan yang diperbuat dari perak. Putera memandang Cinderella yang kelihatan kalut sambil tersenyum.

Cinderella dan selipar jepun (Complete)Where stories live. Discover now