Hampir dua minggu Ayu tinggal di rumah Siti. Kini tibalah masanya untuk dia pulang ke rumah. Walaupun hatinya belum puas mahu mengenali Firdaus dengan lebih dekat. Tapi apakan daya bila Mak Wati dah bising menyuruh anak daranya pulang.
"Assalammualaikum." Ayu menjenguk kepalanya sekeliling rumah mencari semua orang. Sunyi je.
"Mak, ooo mak." Ayu mencari Mak Wati di dapur. Tak ada.
Di bilik pun tak ada. Mana semua orang ni. Keluar jalan-jalan tak bagitau pun. Nak merajuk lagi boleh tak?
"Ha Ayu. Dah lama sampai." Tiba-tiba Mak Wati muncul dari pintu dapur. Mungkin Mak Wati baru selesai urusan dengan pokok bunganya di belakang.
"Baru je. Ayu ingatkan mak tak ada dekat rumah. Senyap sunyi je. Ni kalau ada pencuri masuk sorang pun tak perasan. Habislah semua barang kemas mak lesap macam tu je." Bebel Ayu.
"Eleh pandai pulak nak mengajar kita." Mak Wati membasuh tangannya yang melekat tanah di sinki.
"Itu atas meja ada cucur udang. Makanlah." Muncung mulut Mak Wati menunjuk ke arah meja makan.
Tanpa banyak bunyi Ayu membuka tudung saji. Kecur air liur melihat cucur udang dan kuah kacang kegemarannya.
"Mak nak tanya ni. Kamu buat apa lama-lama dekat rumah Siti tu?"
"Saja." Ayu menjawab pendek. Tak kan bagitahu yang dia tengah mengorat duda sebelah rumah Siti pulak.
"Ye ke saja. Takkanlah suka-suka kamu nak duk dekat rumah orang lama-lama. Ni mesti ada benda yang kamu buat mak tak tahu ni. Baik kamu cakap cepat."
Ayu menelan air liurnya. Buat masa sekarang dia masih belum sedia nak bagitahu perkara sebenar.
"Mak ni Ayu cakap betullah. Ye lah Siti kan tinggal sorang. Pagi dia pergi kerja tengah hari balik. Jadi Ayu saja la nak temankan dia dekat rumah."
Mak Wati memandang Ayu lama mencari kejujuran. Bukan dia tak tahu perangai Ayu yang nakal ni.
"Okaylah kalau kamu cakap macam tu. Tapi ingat jangan buat benda tak elok belakang mak dengan ayah. Kalau ada apa-apa bagitahu dekat mak dan ayah. Jangan nak berahsia pulak."
"Baik mak." Mak Wati masuk ke biliknya meninggalkan Ayu di dapur.
Fuh selamat. Berpeluh dahinya cuba menyimpan rahsia daripada emaknya.
Lepas makan Ayu lekas-lekas masuk ke dalam bilik. Dia baru teringat yang dia masih belum solat asar lagi.