Hari ini Firdaus kerja shift pagi. Jadi seawal pukul 7 pagi dia sudah bersiap hendak kerja. Kerja pemandu bas awam memang tak menentu. Kadang-kadang awal pagi keluar rumah. Kadang-kadang lewat malam baru balik.
"Fahmi dah siap ke?" Firdaus mengintai anaknya di dalam bilik. Fahmi sedang menyikat rambut.
"Dah nak siap dah ayah." Sekali lagi dia menilik wajahnya di cermin
Setelah berpuas hati, Fahmi keluar bilik bersama beg sekolahnya.Pagi ini entah apa angin Firdaus, dia mahu menghantar Fahmi ke sekolah. Balik sekolah nanti Fahmi akan naik bas sekolah atau membonceng motor kawannya saja.
Baru saja Firdaus mahu menghidupkan enjin motor, dia mendengar ada orang menegurnya. Lantas kepala ditoleh ke kanan. Tiba-tiba senyumannya terukir apabila melihat Ayu yang sedang memegang penyapu itu tapi cepat-cepat disembunyikan senyumannya.
"Encik nak pergi kerja ke?" Ramah Ayu menanya.
Firdaus hanya mengangguk. Gadis itu dari semalam asyik ajak berbual. Tapi disebabkan semalam dia sudah lambat pergi kerja, jadi dia tinggalkan gadis itu begitu saja.
"Hai kak Ayu. Selamat pagi." Fahmi menegur Ayu.
"Hai Fahmi selamat pagi. Macam mana dengan kuih akak semalam. Sedap tak?"
"Sedap sangat kak. Fahmi suka. Ayah pun suka. Semalam ayah makan banyak kuih akak buat tu."
Firdaus menjeling Fahmi. Malu apabila Fahmi cakap macam tu.
Lebar senyuman Ayu apabila kuihnya dipuji. Betullah kata Siti nak pikat hati orang kena pikat perutnya dulu. Nak pikat ayah, kena pikat anaknya dulu.
"Betul ke sedap? Kalau macam tu petang nanti akak hantar lagi kuih ke rumah Fahmi. Fahmi nak makan kuih apa pulak? Minta je akak bolehkan."
"Betul ke kak? Wah ini yang tak sabar nak balik sekolah cepatni. Ayah, ayah nak makan kuih apa petang ni?"
Kini pandangan Ayu tertumpu kepada Firdaus pula. Menanti-nanti perkataan yang bakal keluar dari mulut Firdaus.
"Aku nak qasidah."
Mata Ayu terbuntang apabila mendengar nama kuih yang disebut. Qasidah, kuih yang seakan-akan seri muka tapi tiada pulut. Berwarna kuning. Berasa manis dan nak lagi sedap taburkan bawang goreng di atasnya.
Dulu Mak Wati selalu buat kuih itu. Cepat saja habis dimakan Ayu. Qasidah merupakan salah satu kuih kegemaran ayu. Tak sangka lelaki dihadapannya ini pun suka kuih qasidah.
"Akak boleh tak buatkan kuih tu?"
"Eh boleh sangat. Akak pun selalu buat kuih tu dengan mak akak. Okay petang ni akak hantarkan ke rumah Fahmi." Jawab Ayu yakin. Kenalah yakin sebab nak pikat duda di depannya ini.
Firdaus senyum sikit. Dia pulak jadi tak sabar hendak balik awal petang ini mahu merasa kuih buatan Ayu.
Qasidah juga antara kuih kegemarannya. Arwah isterinya juga sering membuat kuih itu dulu.
"Dah Fahmi jom. Lewat pulak kamu ke sekolah nanti."
"Okay ayah. Bye kak, Fahmi pergi sekolah dulu." Fahmi melambai ke arah Ayu.
Ayu membalas lambaian bersama sebuah senyuman. Nampak macam si ibu melambai kepada anaknya. Mungkin suatu hari nanti?