Firdaus menutup pintu bas lalu dia berjalan ke sebuah meja di mana rakan-rakannya yang lain duduk berehat situ. Air mineral diteguk untuk menghilangkan haus ditekak.
"Daus, lepas ni pukul berapa pulak?" Osman menyoal Firdaus.
"Hari ni aku dah habis. Esok pulak pukul 1 tengah hari."
"Kau ni balik awal pun nak buat apa? Bukannya kau ada bini pun dekat rumah tu. Baik kau buat OT."
Firdaus senyum sinis. Dia agak terkesan dengam ayat yang dikeluarkan rakannya itu.
"Memang aku tak ada bini. Tapi aku ada anak. Takkan aku nak tinggalkan anak aku. Dia sekolah lagi. Lainlah kalau dia dah besar, dah bekerja." Tegas Firdaus mengeluarkan kata-katanya.
"Daus, kau tak rasa nak cari pengganti arwah isteri kau ke? Bukan maksud aku suruh kau lupakan arwah isteri kau. Cuma bila kau kahwin lain, sekurang-kurangnya ada orang boleh jagakan kau. Boleh uruskan keperluan kau dan anak kau."
"Aku tak rasa nak kahwin lagi sekarang."
"Sampai bila Daus? Kau pun bukannya semakin muda. Takkanlah tak ada mana-mana perempuan yang berkenan dekat kau. Kau ni bukannya tak ada rupa. Elok je aku tengok. Badan pun fit lagi." Kata Osman.
"Kau usha badan aku kenapa? Kau ni lurus ke tak?"
"Aku luruslah bro. Aku ada anak bini. Aku cakap apa yang aku nampak je." Osman tersengih.
"Mana sempat aku nak cari pengganti. Kau pun nampak aku sibuk kerja. Habis kerja aku terus balik rumah."
"Ala Daus. Ke kau ni memilih sangat. Apa yang ada depan mata tu kau ambil je. Ataupun kalau ada mana-mana perempuan yang menyenangkan kau, yang anak kau suka. Kau ambil je buat bini." Osman menambah lagi. Bukan apa dia cuma nakkan yang terbaik untuk kawannya. Dia cuma mahu rakannya ini gembira.
Firdaus tiba-tiba teringatkan Ayu. Ayu agak menyenangkan dia. Walaupun kadang-kadang dia pulak yang rasa segan dengan Ayu. Fahmi pulak nampak gembira kalau berjumpa dengan Ayu.
Adakah Ayu orang yang sesuai?