BAB 1

122 2 0
                                    

YUSMAL memandang Fuad. Tawaran yang dinyatakan oleh lelaki berusia lingkungan lewat 30-an itu kedengaran terlalu bagus. Kerja untuk mematikan sebuah sistem di dalam projek terbengkalai dengan bayaran yang lumayan.

Namun, Yusmal sedikit curiga. Apatah lagi Fuad memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kerajaan yang berjaya menemui mereka berlima melalui rakan Yusmal yang sudah hampir 10 tahun menyepi.

"Nama dia Yusuf. Dia berpaling tadah selepas kami tak setuju dengan cadangan dia untuk teruskan bandar tu. Dan sekarang, dia menahan dua daripada jurutera kami untuk bantu dia siapkan projek tu. Saya dah tak tahu macam mana nak buat. Ya, kami memang ada alat untuk mengakses bandar tu, tapi alat yang kami ada tak mampu melawan virus yang Yusuf cipta." Fuad meneruskan penerangan.

"Virus apa?" soal Azil.

"Lamela. Kalau Lamela dilepaskan, kemungkinan besar ia akan merosakkan beberapa bahagian sistem sehingga lumpuh dan Bandar Silang Maya akan terkunci secara automatik."

"Maknanya..."

"Orang luar tak dapat masuk. Orang kat dalam pun tak dapat keluar. Dwitiga akan menutup Bandar Silang Maya yang berkeluasan hampir 25 kilometer per segi selama-lamanya dan akan lenyap daripada jaringan satelit sedia ada."

Fuad menggeleng lemah. "Entah berapa minggu baru kami dapat mengesan kedudukan mereka semua kat dalam tu."

"Apa nama bandar tu tadi?" soal Nori.

"Bandar Silang Maya. Tujuan asal bandar ni dicipta adalah untuk mewujudkan satu sistem di mana setiap perkara diuruskan oleh Leona, robot AI yang dicipta oleh Yusuf untuk menguruskan bandar tu. Tugas Leona asalnya untuk memudahkan urusan manusia.

"Misalnya, urusan pembelian dalam Internet. Selain sistem berjalan secara automatik, penghantaran juga akan dilakukan tanpa pemandu. Tak perlu servis mana-mana syarikat penghantaran dan pengeposan. Leona akan melakukan kesemuanya. Pendek kata, negara ni akan jadi sebuah negara yang beroperasi sepenuhnya secara digital. Penggunaan tenaga manusia juga akan dapat dikurangkan."

"Macam mana pula manusia yang tak wujud, nak uruskan kesemuanya sekali gus, untuk manusia yang betul-betul wujud?" soal Nadir yang masih waswas.

Agak sukar untuk membayangkan apa yang diceritakan Fuad.

"Saya bagi contoh sistem pengangkutan. Leona akan mengawal kenderaan yang bergerak sewaktu melakukan penghantaran. Leona mampu menggandakan diri. Jadi, sistem pengangkutan awam juga akan jadi lebih sistematik dan mudah. Cara operasinya lebih kurang sama seperti Transit Elevated Bus atau Straddle Bus di China. Di sini juga, robot AI yang uruskan, bukan manusia."

Azil senyum senget. "Boleh menggandakan diri? Macam Naruto."

Nori menumbuk bahu Azil dan tersenyum.

"Apa yang menjadi masalahnya sekarang, Leona mula menunjukkan tanda-tanda pelik bila ia tidak mengikut arahan yang telah ditetapkan. Lebih pelik, selepas melakukan penggandaan tubuh, ia bercakap sesama sendiri dalam bahasa AI yang kami tak faham."

Nori memetik jari. "Sama macam kes Facebook dulu. Robot AI yang bercakap sesama sendiri."

Fuad mengangguk.

"Kami dah mohon supaya projek ni dihentikan, tapi Yusuf tak mahu. Katanya, dah banyak masa dan tenaga dia habiskan untuk siapkan bandar tu dan kalau dihentikan macam tu saja, segalanya akan jadi sia-sia."

"Kalau aku pun, aku sayang juga nak hentikan projek sebesar ni macam tu saja. My beloved baby kut. Bertahun-tahun juga nak hasilkan sistem sebaik ni."

Nori kerut muka dan mencebik kepada Nadir. "My beloved... baby?"

"Saya tak dapat nak jelaskan secara terperinci. Awak perlu tengok sendiri macam mana sistem tu beroperasi. Kalau awak semua sanggup dan terima tawaran saya, boleh datang jumpa saya."

MANIPULASIWhere stories live. Discover now