BAB 2

47 1 0
                                    

NADIR melangkah keluar dari bilik tidur sambil mengeluarkan sekotak rokok. Namun, dia menyimpannya semula apabila menyedari Azil sedang mengurut dada dan sesekali terbatuk kecil.

Azil menghidap lelah teruk sejak lahir. Keadaannya semakin baik selepas tamat sekolah menengah tiga tahun lalu. Tapi nampaknya, malam ini Azil diserang asma lagi.

Bumbung bangunan pasar raya mini milik datuk Aireen dan Azil itu menjadi tempat melepak mereka berlima yang bersahabat sejak zaman sekolah lagi. Tetapi, selama beberapa hari ini, mereka berkampung di situ untuk lebih memahami dan membincangkan tentang Bandar Silang Maya yang perlu dimasuki nanti berdasarkan salinan yang diberi oleh Fuad serta jurnal milik Yusuf.

Nadir duduk di sebelah Azil.

"25 kilometer per segi. Luas juga tu." Azil menggosok dagu.

"Kita nak joging dua kilometer pun dah semput. Ini nak cari dua tebusan, hanya kita tiga orang. Bayangkan kita berjoging sampai lima atau sepuluh kilometer."

Nadir mengangkat-angkat kening kepada Azil.

"Rasa macam kita akan masuk ke dunia permainan video. Kena lawan dengan musuh bernama Leona. Ada senjata nama Lamela. Kena selesaikan misi godam kata laluan lima menara. Kena dapatkan botol kaca yang dipanggil Kod Bulan Sabit. Ada mastermind bernama Yusuf."

Azil tersenyum sendiri. "Fuh! Tak sabar!"

Yusmal hanya diam menilik lakaran bentuk Bandar Silang Maya. Selepas melakukan carian di Internet, dia menemui sebuah permainan di atas papan seperti catur. Namun, lakaran di atasnya sedikit berbeza. Catur rimau atau catur perang yang berasal dari Kepulauan Riau. Terdapat juga nama-nama lain seperti dam-daman, sholo guti, damru dan sebagainya.

Bentuk lakaran bahagian Padang dan Rimba pada Bandar Silang Maya dengan satu segi empat sama mewakili Padang dan dua bentuk segi tiga mewakili Rimba, amat menyerupai lakaran pada papan permainan tersebut. Bandar Silang Maya mungkin diinspirasikan daripada permainan catur rimau atau catur perang.

Benar seperti sangkaan Azil, mereka bakal memasuki sebuah permainan video dan tidak mustahil sistem pergerakannya nanti tidak ubah seperti permainan itu.

Nori dan Aireen muncul dari bilik tidur mereka, membawa bersama sebungkus plastik berisi beberapa tin air bergas dan sebalang biskut. Di tangan kiri, Nori membawa sebungkus keropok dan bar coklat kegemarannya.

"Wah..." Nadir yang baru hendak mengambil bungkusan tersebut dari tangan Nori, ditepis oleh Nori. "Kedekutlah..."

Nori hanya menjelir lidah dan duduk di sebelah Azil. Salah satu kepingan bar coklat dihulurkan kepada Azil. Aireen pula melabuhkan punggung di sebelah Yusmal yang leka membelek jurnal milik Yusuf.

"Ada dapat apa-apa daripada jurnal tu?" soal Aireen.

Yusmal hanya menggeleng, diam meneliti lakaran kasar Bandar Silang Maya di dalam jurnal berkenaan. Di bahagian lakaran Padang, Yusuf mencatatkan beberapa perkataan yang sukar untuk difahami. Tiga istilah yang dia tidak faham adalah T8, C dan K.

Puas dia memikirkan maksud huruf-huruf dan nombor berkenaan, namun tidak ada satu klu pun yang muncul. Akhirnya Yusmal menutup saja jurnal tersebut.

Aireen mengambil jurnal itu dan menelitinya pula.

"Apa yang ditulis kat dalam ni, semua ada dalam salinan digital tu. Kecuali tiga huruf dan nombor ni. Apa dia ya?"

Yusmal menggeleng-geleng. "Aku tak ada idea, tak dapat fikir."

Nadir menghampiri dan duduk di sebelah Yusmal. "Kalau tak dapat juga jawapan, kau nak tolak tawaran ni?"

Yusmal membuka mata dan berdiam seketika. Dia kerut kening memikirkan sesuatu tentang Fuad. Yusmal kemudian menegakkan tubuh.

MANIPULASIWhere stories live. Discover now