BAB 6

15 1 0
                                    

AZIL sudah tiba di penghujung lorong menghampiri koordinat 15. Baru hendak melepasi pintu gerbang, dia terkejut apabila ada pergerakan bayang-bayang melintas di atas tembok berhampiran dengan pintu berkenaan. Azil menurunkan Panca dan memandang ke atas. Dia berdiam seketika sebelum membuka langkah semula.

Berharap itu hanya perasaannya atau mungkin burung yang terbang di situ. Walau apa pun, dia tidak boleh menunggu lebih lama. Langkah dilajukan sehingga dia melepasi pintu gerbang.

Sebaik pintu di belakang tertutup rapat, Azil menapak perlahan dan memakai Panca semula. Terdapat tiga lagi lorong yang boleh dilalui untuk meneruskan perjalanan, namun dia mahu berhenti di simpang ini. Melalui Lang Merah tadi dia melihat dan yakin bahawa di situ terdapat salah satu menara yang sedang dicari.

Azil menghampiri dinding besi di sebelah kanan. Kod bar pada lengan kirinya bertukar kepada warna biru dan garisan hologram kelihatan pada dinding besi. Serentak itu, dinding berkenaan bergerak sehingga terbuka seperti pintu gelangsar. Azil berkira-kira hendak melangkah, namun dia tetap menapak melepasi dinding tersebut.

Seperti yang dilihat melalui Lang Merah, di situ terletak bangunan-bangunan kayu setinggi lapan tingkat dengan susun atur seakan-akan sebuah sekolah. Tidak pasti seluas mana kawasan itu, dia perlu mencari dewan atau bangunan seperti yang dilihat sebelum ini.

Azil yang baru hendak membuka langkah, terhenti apabila dinding besi tertutup semula. Dia panik seketika, namun langkah tetap diteruskan.

"Abang Yus, saya rasa saya dah jumpa menara yang pertama."

Panggilan Azil tidak bersahut.

"Abang Nadir."

Senyap.

Azil kerut dahi, berhenti melangkah sekali lagi, menyentuh alat pendengaran di telinga sebelah kanan. "Abang Yus?"

Dia meneliti ikon satelit yang masih ada di bahagian atas skrin Dwitiga Padang, namun suara Yusmal, Nadir atau apa jua hingar seperti sebelum ini sudah tidak kedengaran.

Azil menyelongkar kandungan Dwitiga Padang, tapi tidak ada apa-apa yang lain di dalamnya. Hanya ikon satelit, pengoperasian Kayan dan penunjuk arah kiblat di bahagian tepi.

"Abang Yus! Abang Nadir!" Suaranya bergema di sekitar kawasan hadapan bangunan di situ.

Azil akhirnya diam dan memikirkan jalan sendiri. Nampaknya dia hanya boleh mara untuk mencari mereka memandangkan jejaknya sudah sampai sejauh itu. Dengan menggunakan Lang Merah, Azil mencari arah ke dewan berpandukan titik merah yang bergerak.

Hampir dua minit berlalu, lokasi dewan itu berjaya dikesan.

"Raja, Salju masuk." Antara dengar dengan tidak, suara perempuan bergema melalui alat pendengaran yang diselit di dalam lubang telinga sebelah kiri.

Azil mengamati suara itu.

"Raja, Salju masuk."

Dia tersenyum lega apabila suara Nori kedengaran sekali lagi. Telefon pintar dikeluarkan. Azil menaip sebaris mesej sebelum diterjemah ke dalam bahasa Belantik Lima dan dihantar kepada Nori.

"Azil! Lega Kak Nori baca mesej awak!" Suara Nori yang turut diterjemah daripada bahasa asal kepada Belantik Lima dan kembali kepada asal sebelum sampai kepadanya itu, kedengaran teruja bercampur lega.

Azil terpejam sebelah mata dan tergelak kecil dengan jeritan Nori.

"Kenapa lambat sangat balas mesej? Ada gangguan apa kat dalam tu?"

Azil menaip mesej balasan. Mereka saling berbalas pesanan sebelum masuk ke topik utama.

"Jadi, Raja dah berjaya masuk salah satu menara? Kugar dan Belang dah tahu?"

MANIPULASIWhere stories live. Discover now