BAB 7

17 1 0
                                    

NADIR memandang jerat berbentuk tali tangsi yang nipis. Kakinya hampir tersadung sebelum sempat melihat regangan tali tersebut. Dia menoleh ke pintu di belakang yang sudah tertutup.

Nadir mencari arah dari mana datangnya tali seperti perangkap itu. Hujung tali berkenaan dililit pada sebatang tiang besi manakala hujung satu lagi dililit pada sebilah paku yang ditanam rapat di dalam tanah.

Nadir menyentuh permukaan tanah di tepi kaki dengan hujung kakinya yang berkasut. Dia terkejut apabila tanah di situ terjerlus menampakkan sebuah lubang yang besar dan muat untuk seorang lelaki dewasa.

Nadir menelan liur apabila mendapati di dalam lubang berkenaan diletakkan ceracak kayu yang sangat tajam hujungnya. Jika sesiapa terjatuh ke situ, nasib mereka sama ada cedera parah atau mati.

Nadir mula panik memandang sekitar. Bimbang hendak menggerakkan kaki. Sesiapa saja yang membina perangkap sebegitu, hanya mahu mangsanya mati. Perjalanannya sudah menghampiri koordinat tujuh.

"Syukur aku masih hidup," katanya perlahan.

Tidak mempedulikan perangkap tersebut, dia memberanikan diri untuk terus berjalan. Mulai saat ini, Nadir semakin peka dengan keadaan sekeliling dan ke mana kakinya berpijak. Boleh jadi perangkap lain berbentuk seperti lain pula.

"Yus."

Nadir kerut dahi mendengar suara Yusmal yang tercungap-cungap seperti sedang berlari.

"Yus, kau okey ke tu?"

"Aku okey! Tapi ada anak panah nak tikam aku! Banyak! Aku tak tahu siapa yang lepaskan! Dia orang lepaskan dari atas! Aku tengah cari tempat sembunyi!" Sekali nafas Yusmal bersuara.

Nadir terhenti menapak. Anak panah?

Pantas dia mendongak. Hatinya mula berasa tidak sedap. Seolah-olah ada perkara buruk bakal berlaku. Dia membuka langkah semula walaupun teragak-agak hendak terus berjalan kerana bimbang akan jerat dan juga anak panah yang dikatakan oleh Yusmal.

Langkah Nadir terhenti sekali lagi. Dia menoleh ke kanan. Satu kelibat manusia berada di situ, entah muncul dari mana. Nadir mengamati susuk tubuh seorang perempuan yang berpakaian sut getah serba hitam itu. Setelah diamati betul-betul, perempuan berambut hitam dan panjang mencecah pinggang itu berbentuk hologram.

"Leona?"

Nadir terundur sedikit apabila perempuan yang disangka Leona itu tiba-tiba menapak ke arahnya. Dia menelan liur. Semakin dekat langkah perempuan itu, semakin jelas kelihatan susuk tubuhnya adalah animasi tiga dimensi berbentuk hologram.

"Memang Leona." Nadir memerhatikan perempuan itu dari atas ke bawah sekali lagi.

Ketinggian, bentuk tubuh, saiz muka, kesemuanya menyerupai manusia sebenar. Leona hasil ciptaan yang termasuk dalam projek Bandar Silang Maya ini kelihatan sungguh sempurna. Kayan juga tidak dapat menandingi Leona.

Nadir membetulkan kedudukan Panca pada matanya. Senjata milik Kayan adalah sejenis virus yang dinamakan Belerang. Fungsi Belerang yang asalnya hanya untuk menembak dan mempertahankan diri, telah ditambah baik oleh Azil dengan beberapa fungsi baru.

Nadir mengaktifkan Kayan Belang. Serta-merta pandangan melalui Panca menayangkan keadaan seperti yang ada pada skrin komputer.

"Kau cantik. Sayangnya kau robot." Nadir tersenyum sinis.

Leona pantas menyerang. Tembakan Leona tepat mengenai dada Kayan Belang. Namun, Nadir sedikit pun tidak berganjak, hanya melihat bahagian dadanya sendiri melalui Panca. Skrin memaparkan bahagian dadanya yang juga dada Kayan Belang sedikit terjejas.

MANIPULASIWhere stories live. Discover now