YUSMAL berjalan sudah agak jauh. Mungkin telah melebihi separuh daripada jarak ke koordinat 19. Sejak menanggalkan Panca, dia tidak risau kemunculan Leona, sebaliknya sentiasa berjaga-jaga sekiranya diserang dengan anak panah lagi. Terasa diri sungguh dungu kerana takut kepada robot AI yang tidak mampu menjejaskan manusia.
"Nadir, kau kat mana?"
Panggilan Yusmal tidak berbalas.
Dia yakin, Nadir juga sudah terputus hubungan dengannya sama seperti Azil. Mereka hanya perlu mara untuk mencari setiap menara. Kini, masing-masing perlu bertindak sendiri tanpa mengetahui situasi antara satu sama lain.
Yusmal memandang kiri dan kanan. Di sebelah kanan adalah kawasan hutan manakala di sebelah kiri lorong terdapat sungai dengan binaan titi gantung yang sangat panjang di atasnya.
Yusmal terhenti seketika apabila terdapat hingar melalui alat pendengaran. Dia mengamati bunyi tersebut. Seakan-akan siaran radio tanpa isyarat dan sesekali kedengaran suara manusia berselang-seli dengan hingar tersebut.
Yusmal memandang sekeliling kemudian mendongak. Tidak ada apa-apa di ruang udara di atas sana melainkan pemandangan langit yang biru tanpa tompokan awan putih. Sejak memasuki bandar itu, ini kali pertama dia menerima gangguan tersebut.
Yusmal meneruskan langkah sambil cuba mencari arah tertentu supaya isyarat tersebut jelas. Namun, ia mulai perlahan dan akhirnya hilang begitu saja. Pergerakan kakinya dilajukan. Mungkin itu gangguan Leona. Mungkin Yusuf sedang melakukan sesuatu supaya dia berlawan dengan robot AI berkenaan.
Hakikatnya, mereka tidak tahu di manakah Yusuf sebenarnya.
Lelaki bernama Yusuf yang tidak diketahui wajah dan rupa parasnya itu mungkin bersembunyi di mana-mana. Mungkin dia sedang berada berdekatan mereka. Mungkin juga sedang memantau pergerakan mereka dari luar Bandar Silang Maya melalui kamera litar tertutup. Mungkin mereka bertiga sahaja yang berada di situ terpaksa berdepan dengan sekumpulan manusia yang dihantar oleh Yusuf.
Semua itu hanya kemungkinan.
Langkah Yusmal berhenti hampir di hujung lorong. Jurnal Yusuf dikeluarkan. Dia meneliti peta Bandar Silang Maya buat sekian kalinya. Koordinat 19 berada di depan mata. Jika dia memasuki titik pada simpang tersebut, bermakna dia telah sampai di tempat di mana simbol bintang ditandakan pada peta.
Yusmal kurang yakin dan sedikit teragak-agak. Tetapi dia tiada pilihan. Dia mesti masuk. Jurnal Yusuf ditutup dan disimpan. Yusmal berhenti di hadapan pintu gerbang, memandang sekitar sebelum melangkah dari situ. Pintu tersebut segera tertutup.
Sama seperti di simpang bertanda T8 tadi, di sini juga terdapat tujuh lagi lorong untuk dia pilih dan masuki. Namun, di ruang tengah yang luas pada titik pertemuan lapan lorong ini, terdapat sebuah binaan berbentuk bulat seakan-akan menara condong di Teluk Intan, Perak. Ia boleh dikatakan diperbuat sepenuhnya daripada kayu dan diwarnakan dengan cat berwarna coklat kehitaman.
Yusmal mendongak untuk melihat setiap tingkat. Terdapat kira-kira 10 tingkat di mana setiap tingkatnya ditambah pula dengan beranda mengelilingi bangunan itu. Dia menghampiri tangga untuk memasuki bangunan tersebut. Lapan anak tangga didaki dan pergerakan Yusmal berhenti di hadapan pintu masuk berbentuk bulat. Sebaik kakinya menjejak lantai hadapan pintu, daun pintu automatik terbuka seperti pintu masuk di pusat beli-belah.
Tanpa menunggu lagi, Yusmal melangkah masuk. Aroma wangian sitrus menusuk ke rongga hidung sebaik dia memijak lantai di dalam. Pada masa yang sama, pintu masuk tertutup semula. Yusmal mendekati pintu, namun tidak seperti sebelumnya, ia sedikit pun tidak bergerak. Dia kerut dahi. Adakah ini perangkap?
Yusmal berpaling semula ke ruang dalam bangunan itu. Ia sangat luas, kosong, tiada sebarang benda seperti perabot, dinding kecil dan sebagainya. Hanya terdapat sebuah pentas berbentuk bulat di tengah-tengah.

YOU ARE READING
MANIPULASI
Fiksi IlmiahTajuk: MANIPULASI Penulis: ZARINI MANSOR Harga: RM24 / RM27 Lelaki bernama Fuad itu muncul dengan tiba-tiba menawarkan Yusmal dan rakan-rakannya untuk memasuki Bandar Silang Maya. Fuad mahu mereka menggunakan kemahiran mereka menggodam kata laluan b...