Episode 8

6 0 0
                                    

KEPALA TAHI

Episodok Alang bersila di tengah-tengah bilik khas sambil memegang keris pusaka. Dihadapannya, dupa kemenyan mengeluarkan asap. Mulutnya terkumat kamit. Keris dialurkan di atas dupa.

Rasid berada bersama di satu sudut penjuru bilik. Mukanya seakan takutkan sesuatu. Matanya menjegil ke arah Tok Alang yang seperti tak menghiraukan keadaannya. Lututnya dipeluk.

Tok Alang menoleh.

"Apa nak takut. Kamu kemari," gamit Tok Alang.

Seperti terpaksa, Rasid mengensot ke arah Tok Alang. Badannya menggigil dan berpeluh. Dia terus duduk bersila disebelah kanan Tok Alang.

"Malam ni kamu dah sedia?" Tanya Tok Alang, selamba. Dia meneliti mata keris yang dirapatkan ke muka.

Gulp. Rasid menelan air liur. Dia mengangguk.

"Hmmm?" Bentak Tok Alang sambil membeliakkan mata menyorot tajam.

"Iyo, iyo. Den sedio."

"Kalau begitu. Ajar aku bagaimana nak pisahkan kamu dengan jembalang tu. Aku tak percaya pada setan. Aku percaya kamu tahu," arah Tok Alang.

Rasid kaget. Dia terdiam seketika.

"Jadi?!" Tok Alang mula berkeras.

"Baik, baik. Tapi den mintak tulong tuan. Jangan la di ceritokan hal ni kepado isteri-isteri den. Buleh yo tuan?"

Tok Alang mengangguk.

"Aku pun tak berniat begitu. Aku nak membantu. Lepas ni aku nak kamu bertaubat. Boleh?"

Rasid mengangguk sambil tersenyum. Dia membetulkan silanya. Keyakinannya memuncak.

"Ok, dio gini. Kono lotak ancak. Lotakkan kek dalam daun keladi, segenggam beras, tulang anjing hitam dan semangkuk kecil darah, lotakkan kek atas bumbung. Lopeh tu dah bulih tarik keluar ibu kepalo tahi tu menguno eh..apo bondo tu. Hmmm lupo pulak daaahhh."

"Apa dia?"

"Apo eh....haaa, hirisan umbut pisang yang tongah berbuah," ujar Rasid.

"Aku tak nak pegang tulang anjing tu. Banyak lagi benda yang aku boleh pegang. Benda lain?" Bidas Tok Alang.

"Alah, apo susah. Sinin ado tompek melupuskan anjing liar. Caghik kek situ jo la," jelas Rasid.

Tok Alang memikirkan sesuatu.

"Kamu pergi dengan Mat. Pergi sementara siang. Malam karang boleh guna," arah Tok Alang.

Rasid bersetuju. Dia pun bukan nak sangat pegang tulang tu. Tapi jika itu yang diperlukan. Haruslah dia memenuhi tuntutan itu.

*********

Malam itu, suasana agak tenang. Tiada angin, tiada bisikan-bisikan penghuni malam berbisik sesama sendiri. Keadaan hening menyelubungi bulan mengambang.

Sesekali kedengaran lolongan anjing. Mendayu-dayu membawa nada sayu.

"Biar boto, Alang?"

Tok Alang mengangguk.

"Biar aku naik dengan Rasid. Kamu semua tunggu kat luar."

Pak Usop termanggu. Otaknya ligat berfikir. Rasid berdiri di antara mereka seperti orang bodoh. Mengikut sahaja perancangan yang ada.

Mat menghela nafas panjang. Jauh disudut hatinya, dia gembira apabila hanya perlu duduk di luar sahaja. Tak perlulah dia melalui pengalaman-pengalaman yang menakutkan nanti.

"Kau suko eh? Den grip kepalo kau nanti. Baru kau tahu," kata Tok Deris sambil mengerling tajam ke arah Mat.

Mat menelan air liurnya. Masakan Tok Deris seperti tahu apa yang sedang difikirkan.

*KEPALA TAHI* Where stories live. Discover now