MELUKAKAN hati lelaki merupakan agenda utama hidupnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dosa mahupun pahala, Diana tidak peduli. Yang penting, insan yang bernama lelaki itu berjaya disakitinya. "Lantak kau oranglah! Kalau nak frust menonggeng sampai runtuh langit sekalipun aku peduli apa? Tak ingin aku nak serius dengan kau orang tu," celoteh Diana di depan cermin. Rambutnya yang lurus melepasi bahu itu dikuak sambil melentok-lentokkan kepalanya. Tersenyumsenyum ulas bibirnya yang merah muda itu membelek kecantikan diri, anugerah Tuhan yang sering disalahgunakan olehnya itu. Acap kali dia menjadi pujian. Senyumannya yang menggoda menjadi penyeri wajah. Sekali Diana menjeling manja, bagai hendak pecah getaran hati sang lelaki. "Siapa suruh kau orang tu gatal sangat, kan? Aku senyum aje sikit, dah kau orang nak angau. Sampai nak ajak aku kahwinlah. Nak belikan aku itulah, inilah. Kau orang Bab1ingat aku teringin sangat nak kahwin dengan kau orang?" Omelan Diana terus berpanjangan. Untuk menawan hati lelaki, terlalu mudah baginya. Usai berjaya mendapatkan mereka, pelbagai janji palsu Diana taburkan. Tanpa rasa tanggungjawab, selepas itu mereka ditinggalkan begitu saja, meratap dan merana menagih cinta palsunya. "Agak-agaknya, macam manalah keadaan Syimmir sekarang? Tentu tengah frust gila. Pandan muka kaulah, Syimmir. Misi aku sekarang ni, cari mangsa baru." Terkumat-kamit bibirnya lagi. Namun, keterujaannya itu mati di situ tatkala perasaan bersalah menghambat diri. Sampai bila dia harus berterusan begini sedangkan apa yang dilakukannya itu di luar kerelaan hatinya? Diana sengsara. Setiap kali berjaya melukakan lelaki, dia seakan-akan rasa terhukum. Merana dan meratap pada setiap perbuatan jahatnya. "Argh!" Raungan kuat pecah dari celah bibirnya. Diana terus melorotkan tubuhnya di tepi katil. Menderu air matanya kerana semua mangsanya begitu jujur dengan cinta mereka terhadap dirinya. Membalas ketulusan mereka dengan kecurangan, azabnya begitu menyakitkan. "Macam ni la kau, Diana. Sendiri cari penyakit, lepas tu nak sedih-sedih. Entah sampai bilalah baru kau nak berubah." Bebelan Aimi teman serumahnya itu menjamah cuping telinga Diana. "Sudah-sudahlah tu kau menangis. Kalau kau tak nak berubah, macam ni la kau kena hadap hidup kau harihari." Diana lekas-lekas mengesat air mata lalu pandangannya dialih ke arah Aimi yang sudah melabuh duduk di sebelahnya itu. "Kau ni tak sudah-sudah kerja mengintip aku. Penyibuk!" Marahnya terus dilepaskan. Selepas ini sudah pasti bernanah telinganya dengan khutbah Aimi. "Macam ni la kau. Aku sendiri dah tak tahu nak nasihat kau macam mana lagi dah. Bercakap dengan kau ni, macam bercakap dengan dinding rumah." Kan, dah kata. Menggerutu saja hati Diana dengan leteran Aimi itu. "Bila kau tension, bila kau sedih, kau cari aku. Kau luah macam-macam perasaan kesal kau tu. Esoknya, kau buat lagi. Macam tu la kau selama tiga tahun ni," lanjut Aimi lagi seraya menggeleng. Menasihati Diana tak ubah bagaikan mencurah air ke atas daun keladi. Entah apa yang ada dalam fikiran Diana sebenarnya, hanya Tuhan yang tahu. "Tapi aku tak cari kau pun. Kau yang tiba-tiba masuk bilik aku," tempelak Diana semula. Lurus tubuhnya disandar di tepi katil mempamerkan gaya tidak endahnya terhadap Aimi. "Memanglah kau tak cari aku hari ni. Tapi sebelumsebelum ni, kau lupa ke? Menangis-nangis masuk bilik aku luah perasaan. Lagi nak sindir orang..." "Hmmm..." Diana pekakkan telinga. Sedepa bibirnya dijuih tanda protes. Tanda malas hendak melayan bebelan Aimi itu. "Kau ni sampai bila nak hidup cara macam ni? Kau tak rasa bersalah ke pada lelaki-lelaki yang kau permainkan? Lepas satu, satu jadi mangsa kau," soal Aimi seraya menggeleng. Diana terus mengeluh. Air matanya yang telah pun kering tadi terus berganti dengan perasaan hangat. Hangat dengan leteran Aimi yang tak berhenti-henti. "Boleh tak kau berhenti membebel? Muak tahu tak aku asyik dengar mulut kau duk pot pet, pot pet. Mengalahkan orang tua berleternya!" Mencuka wajah Diana menjeling Aimi. Cukup-cukuplah memekak! Letih telinganya nak dengar. "Aku bukan nak ceramah kau, Diana. Sebagai kawan, aku kesian dengan kau. Aku tak fahamlah, kenapa kau suka sangat buat dia orang semua macam tu? Nak kata kau kikis duit dia orang nak hidup senang-lenang, tak ada pula aku tengok." "Hesy... Lagi disuruh diam, lagi panjang pula dia membebel!" Menggerutu bibir Diana seraya menyerlahkan riak bosan. "Aku cuma nak pesan, Diana. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Tentu kau biasa dengar, kan? Kau tak takut ke, kalau suatu hari nanti ada salah seorang mangsa kau tu balas dendam dengan kau?" tekan Aimi sebagai mengingatkan Diana agar tidak terus hanyut dengan kesilapan demi kesilapan yang sedang dilakukannya itu. "Huh! Pakar motivasi tak bertauliah betullah kau ni!" hambur Diana seraya menggaru tepi telinganya itu. "Aku tak kesahlah kau nak cakap aku apa. Sebagai kawan, aku akan terus nasihatkan kau. Kau sendiri kena ingat, tindakan lelaki ni tak boleh dijangka. Jangan sampai dia orang buat macam-macam untuk balas dendam dengan kau sudahlah, Diana." Diana teguk liur. Hendak memberi nasihat sememangnya mudah. Aimi tidak mengerti, kerana dia tidak pernah merasai apa yang dilaluinya. Kecurangan ayah terhadap emak terlalu menyakitkan. Hidup mak tak ubah bagaikan neraka gara-gara perbuatan ayah, membawa sengsara hingga ke hujung nyawa. Walau sekelumit perasaan marah terhadap ayahnya tak pernah terhakis, lalu lelaki yang tak berdosa menjadi mangsa dendaman Diana. "Kau senanglah cakap. Cuba kau letak diri kau dekat tempat aku. Kau tak tahu macam mana sakitnya bila tengok mak sendiri kena layan macam kain buruk. Dipijakpijak suami sendiri macam tak ada nilai langsung sebagai isteri!" hambur Diana, meluah perasaan geram yang membuku. "Diana, apa yang jadi pada arwah mak kau dulu tu aku cukup faham macam mana peritnya yang kau rasa. Tapi kau tak boleh hukum semua lelaki dekat dalam dunia disebabkan perbuatan ayah kau tu. Itu tak adil dan kejam namanya!" tegas Aimi. Betapa geramnya dia apabila Diana terus cuba menegakkan hujah songsangnya itu sedangkan Aimi tahu, Diana sedar apa yang dilakukannya sekarang ini sememangnya salah. "Entahlah, Aimi. Bagi aku semua lelaki sama aje. Jahat! Kejam! Dan aku benci dengan dia orang semua!" Pendirian Diana terhadap lelaki sudah tidak boleh diubah. Lelaki jahat! Titik. Aimi sekadar mengeluh. Jauh dalam sudut hati, dia tidak pernah lekang berdoa agar Diana menamatkan perbuatannya itu. Dia tidak mahu suatu saat nanti, Diana terpaksa memamah derita hasil dari perbuatan salahnya. Diana, berhentilah. Jangan terus bermain api...
YOU ARE READING
#TEARS BIDADARI YANG DIRINDU
RomanceBenarlah hidayah itu milik Ilahi. Hidayah yang diperolehi Diana membuatkan dia serta-merta meninggalkan kehidupan lamanya yang penuh dengan dosa. Dek penghijrahannya itu, Ejaz terbuka hati untuk menyunting Diana menjadi bidadari dalam hidupnya. "I n...