BAB 3

28 0 0
                                    

PELUPUK matanya dibuka perlahan. Liar anak matanya memerhati ruang bilik itu. Dia yakin sekarang ini dia sedang berada di hospital. Ingatannya kembali menyinggah terhadap insiden yang berlaku di EHA Bookstores tadi. "Aduh!" rengeknya seraya mengusap pipinya yang masih terasa perit itu. "Cik dah sedar?" Satu suara parau menyapa lembut cuping telinganya. Diana terus berpaling. Berkerut-kerut mukanya memerhati figura yang sedang duduk di atas kerusi di tepi katilnya itu. "You? Mamat kedai buku tu, kan?" soal Diana lalu bingkas bangun dari perbaringan. Ejaz sekadar tersenyum. Lega tatkala melihat Diana telah pun membuka mata. Sudah agak lama dia berada di situ. Namun, memikirkan keadaan gadis itu bersendirian, Ejaz memutuskan untuk menunggu hingga Diana sedar. Bab3Lagipun, dia yang bertanggungjawab membawa Diana ke sini tadi. "You ke yang bawa I ke sini?" soal Diana lagi. Ejaz mengangguk bersama senyuman nipis yang diukir. Manis dan mata hitamnya pula seakan-akan bercahaya terang. Buat pertama kali dalam hidupnya, perasaan Diana sesak seketika dengan senyuman lelaki itu. "Cik pengsan tadi," katanya lagi. Cara pertuturan Ejaz tenang dan nampak beradab lakunya. Perwatakan yang membuatkan Diana terpesona biarpun dia tidak pernah mengizinkan sama sekali ruang hatinya untuk dihuni oleh mana-mana lelaki. Namun, lelaki di depannya itu berbeza sekali. "Sorrylah. Disebabkan I, kecoh tadi dekat kedai you. Tentu pelanggan dekat kedai you terkejut, kan?" bicara Diana seraya mengintai sekilas raut wajah lelaki itu. "Tak apalah. Perkara dah nak jadi. Nak buat macam mana?" Tenang saja bicara Ejaz itu, langsung tidak menampakkan riak marah sedangkan insiden itu berlaku di premis perniagaannya. Kalau orang lain, sudah berbakulbakul makian yang Diana bakal terima. "Dah berapa lama I dekat sini?" "Adalah beberapa jam. Sekarang dah pukul 9.00 malam dah," beritahu Ejaz. "Huh, dah malam rupa-rupanya." Keluhan kecil Diana lepaskan lalu dia cuba mengintai ke luar dari celah langsir yang terselak itu. Kepalanya dipalingkan semula memandang Ejaz. Lama anak matanya meneliti raut wajah lelaki berdagu runcing itu. Kulit muka yang cerah kemerahan, dihiasi misai nipis serta janggut yang dijaga rapi, lelaki itu kelihatan kacak dan macho. Benak Diana mula menerawang jauh. Wajah lelaki itu terus diterokanya lagi hingga Ejaz tidak senang duduk. Gaya renungan Diana seolah-olah ingin menggodanya. Sesak seketika perasaannya yang tenang tadi. "Hmmm... Macam ni la, cik. Memandangkan cik dah sedar, saya ingat nak minta diri dulu. Lagipun, doktor dah check tadi. Dia kata tak ada apa-apa yang serius berlaku pada cik. Cik cuma pengsan aje." Tidak mahu terperangkap dengan godaan Diana, Ejaz lekas-lekas meminta diri. Tak dinafikan, renungan yang begitu menggoda mampu meremangkan bulu romanya. "Takkan you dah nak balik? Tak sempat I nak berkenalan dengan you. Yalah, tentulah I nak ucap terima kasih dan kenal dengan orang yang dah tolong I, kan?" Belum sempat Ejaz hendak bangun, Diana pantas menghalang. Lelaki itu perlu dikenali. Kemudian dipikat hingga menjadi mangsanya. "I Diana." Seraya mengulum senyuman, Diana terus memperkenalkan diri. "You?" giat Diana lagi hingga Ejaz serba salah jadinya. "Ejaz." Mahu tidak mahu, Ejaz memperkenalkan juga dirinya agar tidak dikatakan sombong pula nanti. "You ada hal ke? Tunggulah sekejap. Sorrylah, sebab dah susahkan you bawa I ke hospital. I pun tak sangka boleh tumbang dekat kedai you tu." "Tak apalah. Nak buat macam mana?" "Sorry, okey." Sekali lagi Diana memohon maaf. Bukan ikhlas pun. Sekadar ingin mengambil hati Ejaz saja. "You tak payah risaulah. Cuma lepas ni, eloklah you lebih berhati-hati. Tak elok bergaduh macam tu depan orang ramai." Nasihat Ejaz kedengaran tulus. Namun, berbalas cemuhan dalam hati Diana. Macam bagus! Baru kenal dah nak nasihat orang! "I tahu apa yang berlaku tu memang memalukan. Tak pasal-pasal you pun terlibat sama. Ini semua, Si Syimmir tu punya pasallah!" Rasa marah terhadap Syimmir membuak semula. Dirinya bukan setakat dimalukan, tetapi dipukul oleh lelaki itu. Hangat perasaannya membibitkan rasa dendam yang begitu membara bukan hanya setakat pada Syimmir, tetapi semua lelaki di dunia ini. Argh, bencinya! "I bukan nak masuk campur sebenarnya. Apa yang jadi tu memang memalukan. Apa pun masalah, elok selesaikan cara baik. Bukan mengaibkan diri masing-masing macam tu," nasihat Ejaz lagi. "Si Syimmir tu memang macam tu. Panas baran. Jenuh I bagi tahu dia yang I tak dapat terima dia jadi boyfriend I, tapi dia tak nak terima. Nak paksa-paksa I pula!" Kecaman Diana itu membuatkan Ejaz tersenyum nipis. Entahlah, hendak percaya atau tidak dengan kata-kata Diana itu dia sendiri tidak pasti. Bukan dia tak dengar pengakuan Diana di depan Syimmir tadi. Enggan terus berlamaan, Ejaz terus meminta diri. "You memang selalu ada dekat kedai buku tu, kan?" soal Diana sebelum Ejaz mengatur langkahnya. Ejaz sekadar mengangguk.Diana terus mengukir senyuman. Manis dan memikat hingga terpanar Ejaz seketika. Tak sedar, bahawa dirinya sudah tersenarai untuk menjadi mangsa Diana yang seterusnya.LEGANYA perasaan Diana apabila dia dibenarkan keluar dari hospital. Masuk saja ke dalam biliknya, terus tubuhnya dihempas di atas katil. Bantal busuknya dipeluk rindu. Tidur di hospital manalah menyeronokkan. Walau biliknya tidak sebesar mana, namun selesa. Matanya dipejam. Ingin menikmati sejuk pendingin hawa biliknya. Aroma bunga ros semerbak mengharum. Aman dan tenang untuk dia beradu. Golek kanan. Golek kiri. Mata tak mampu pejam. Wajah Ejaz datang mengganggu lalu terbuai angannya terhadap lelaki itu. Menunggu hari esok seakan-akan tidak sabar lagi perasaannya. EHA Bookstores, lokasi pertama yang akan dijejaki bagi menemui Ejaz, mangsa terbarunya. "Macam mana kau boleh kena belasah dengan Syimmir? Sampai masuk hospital pula tu." Mimpi Diana tak sempat berpanjangan tatkala Aimi tersembul di muka pintu biliknya. Disebabkan dia pulang ke kampung, maka dia tak berkesempatan untuk menjenguk Diana di hospital. "Kau ni, kan... Kacau daun betullah. Aku baru aje nak bergolek. Dua hari tau, aku tak dapat peluk bantal golek aku ni." Keluhan bengang Diana lepaskan. Wajah Aimi yang bersalut masker itu dipandang bosan. Aimi terus melabuh duduk di hujung katil. Muka Diana yang sembap itu dibeleknya. Kesan merah jelas berbekas di pipi yang gebu itu. "Teruk juga Syimmir pukul kau. Pipi kau ni..." "Aku malas nak cakap pasal orang gila tu. Buat sakit hati!" potong Diana sebelum Aimi menyudahkan ayatnya. Mukanya terus ditarik kelat. Kejadian di EHA Bookstores itu terlalu menyakitkan hati. Melupakan insiden itu walau sedetik dia seakan-akan tidak mampu. Marahnya pada Syimmir berkecamuk teruk dalam hati. "Dah puas aku nasihat kau, tapi kau tak nak dengar. Sekarang kau tengok akibatnya." "Kau boleh tak jangan nak membebel? Rimaslah aku!" Leteran Aimi itu pantas dipintas. Perasaannya sedang berserabut dan dia tidak mahu ia semakin bertambah dengan bebelan kawan baiknya itu. "Kau ni..." Aimi terus menggeleng. Sepi seketika tatkala semakin mencuka wajah Diana. Tanda dia benarbenar tidak mahu mendengar bebelan Aimi lagi. "Kau marah aku?" soal Aimi perlahan. Risau andai Diana terasa hati dengannya. "Taklah. Buat apa aku nak marah kau? Kau kawan baik aku, Aimi. Setakat mulut pot pet kau tu, macam air aje keluar dari telinga aku ni." Aimi terus tersenyum. Diana sememangnya begini. Mulut saja lepas, tapi tidak mudah berkecil hati. "Dahlah, aku nak tidur ni. Aku nak mimpikan seseorang," ujar Diana. Melebar senyumannya seraya membayangkan raut wajah Ejaz. Wajah kacak yang membuatkan hatinya bergetar tidak berhenti-henti. Namun, ditepis getaran itu demi dendam terhadap ayahnya yang bakal dilepaskan terhadap lelaki itu pula. Aimi terus mengeluh. Dari gaya percakapan Diana, dia yakin Diana sudah menemui pengganti Syimmir. Entah siapalah lagi lelaki yang bernasib malang itu. "Mangsa baru kau?" soal Aimi ingin tahu. "Ejaz." "Apa yang Ejaz?" "Nama mamat tu, Ejaz. Owner kedai buku. Dialah yang bawa aku ke hospital," jelas Diana. Terserlah keceriaan pada riak wajahnya tatkala bercerita tentang lelaki itu. "Diana, tolonglah jangan buat hal lagi. Kau tak serik ke apa yang Syimmir dah buat dekat kau? Kau nak tambah lagi bala?" soal Aimi seakan-akan mendesak. Mendesak agar Diana menghentikan niatnya itu sebelum padah lain pula yang menyapa ke dalam hidupnya. "Si Ejaz ni lain dari yang lain." "Tak kesahlah apa persepsi kau pasal dia. Stop it sebelum terlambat." "No way aku nak lepaskan dia! Selagi aku tak dapat dia, selagi tu aku takkan menyerah kalah. Aku nak dia." Nekad Diana itu betul-betul keterlaluan bagi Aimi. Entah bila keinsafan akan mengetuk pintu hati kawannya itu. "Kau nak dia untuk kau permainkan. Lepas tu kau tinggalkan dia, kan?" soal Aimi dengan agak kesal. Diana sekadar tersenyum nipis. Katalah apa saja, nama Ejaz telah tersenarai untuk didekati olehnya. "Sudahlah tu, Diana. Dia dah buat jasa dekat kau. Takkanlah kau tergamak nak kenakan dia?" nasihat Aimi lagi biarpun dia tahu setiap patah kata-katanya langsung tidak berbekas dalam hati Diana. Dendam terhadap lelaki sudah begitu sebati dalam jiwanya hingga dia terlupa tentang dosa dan pahala. Lupa dengan setiap perbuatan salahnya itu bakal membawa padah pada kemudian hari. "Aku 'kosong' sekarang ni, Aimi. Tak sangka lepas aku putus dengan Syimmir, aku akan jumpa mamat ni. Dahlah handsome. Perwatakan dia... Aku rasa aku suka. Nampak macam susah nak tackle. Tapi aku yakin dia mesti jatuh hati dengan aku. Ini Dianalah..." Bongkak percakapan yang meniti di bibir Diana membuatkan Aimi terus beristighfar panjang. "Kau rasa kau hebat sangatlah sebab selama ni lelaki ramai masuk perangkap kau? Itu yang kau yakin sangat kau dapat goda dia? Sudah-sudahlah tu, Diana. Tuhan ada dan Dia sentiasa melihat setiap perbuatan kau tu." Perasaan yang masih belum tenang itu seakan-akan berbahang semula. Wajah Aimi direnung tajam sebagai isyarat agar Aimi berhenti dari terus membebel. Aimi yang seakan-akan faham terus mengangkat kaki, keluar dari bilik itu dengan perasaan kesal kerana dia yakin Diana bakal membilang derita lagi di dalam hidupnya

#TEARS BIDADARI YANG DIRINDUWhere stories live. Discover now