PELANGGAN kelihatan sudah semakin berkurangan. Ejaz bingkas ke ruang pejabatnya bagi menyelesaikan tugasan yang masih tertangguh. Usai melabuh duduk, jari-jemarinya laju menari di atas papan kekunci komputer. Meneliti segala data berkaitan perniagaannya. Argh, penatnya melihat angka! Gerakan jarijemarinya itu tiba-tiba terhenti tatkala renungannya terbias lama di skrin komputer itu. Sayu. Perasaan itu tiba-tiba bertamu. Di dada skrin komputernya itu wajah Diana terpamer tiba-tiba. Wajah yang hanya mengimbaskan semula ingatan Ejaz terhadap seseorang, sedangkan ingatan itu ingin dipadam terus dari memorinya. Diana... Tiba-tiba saja dia muncul di dalam hidup Ejaz. Walaupun mukanya begitu berbeza, namun senyuman Diana semanis senyuman Ratna. Bekas isterinya yang seboleh mungkin namanya itu enggan disebut lagi. Isteri yang telah memahatkan titik hitam dalam hatinya. Biarpun darah dari lukanya itu telah pun kering, namun parutnya itu kekal akan Bab4dibawa hingga ke hujung hayat. Ejaz mula terganggu dengan kisah silamnya itu. "Ratna tak peduli! Ratna tetap nak bercerai dengan abang! Untuk apa kita terus hidup bersama kalau Ratna dah tak cintakan abang lagi? Takkan abang nak biarkan Ratna terus tanggung dosa sebab cintakan lelaki lain?" jerit Ratna dengan begitu beremosi. Bersungguh-sungguh dia meminta agar dilepaskan. Ejaz benar-benar bungkam. "Ratna, takkan sampai macam ni sekali? Ratna bergurau, kan?" soal Ejaz. Menempuh detik yang terlalu memeritkan itu tak pernah dijangka olehnya. Lebih-lebih lagi masjid yang mereka bina itu masih lagi baru untuk diruntuhkan. "Ratna serius, bang. Lepaskan Ratna. Ratna dah tak ada langsung perasaan sayang pada abang. Abang pun tentu tak nak jadi lelaki dayus, kan? Takkan abang nak pejam mata aje dengan kecurangan Ratna?" Kejam ayat yang dihambur. Segala janji dan sumpah setia terus lenyap begitu saja. Koyak perasaan Ejaz. Menggeletar tubuhnya mengenangkan kalimah yang begitu bisa mencarik hati. "Ratna, jangan macam ni, sayang. Ratna cinta pertama abang. Abang sayang Ratna macam nak mati. Kalau Ratna tak puas hati dengan abang, kita boleh bincang. Kita betulkan mana yang tak kena," usul Ejaz masih berharap peluang untuk mereka terus kekal sebagai suami isteri masih ada biarpun dia sedar bagaimana nekadnya Ratna sekarang ini. "Tak, bang. Ratna dah buat keputusan. Ratna tak nak teruskan lagi hidup Ratna dengan abang." Pujuklah walau bagaimana sekalipun. Ratna tidak akan berpaling lagi dengan keputusannya. Raziq sedang menantinya. Curang. Dia tahu. Dosa, membeban bahunya. Namun, nafsu dan keinginannya mengatasi hukum. "Ratna, apa salah abang? Kenapa Ratna sanggup buat abang macam ni?" soal Ejaz tak berdaya. Pecah kolam matanya dengan butiran jernih yang tak mampu ditahan lagi. "Ratna tahu abang sayangkan Ratna. Tapi Ratna sebaliknya, bang. Untuk apa kita teruskan perkahwinan kita sedangkan kita takkan bahagia? Ratna tak boleh hidup tanpa Raziq. Ratna minta maaf sebab tak mampu setia dengan abang. Ratna tak boleh langsung lupakan Raziq." Pedih! Umpama belati merobek hati. Dia tak percaya. Cinta Ratna selama ini palsu belaka. Ya Allah, kejamnya! "Selama kita kahwin, abang layan Ratna dengan begitu baik. Abang layan Ratna macam menatang minyak yang penuh." "Ya, Ratna tahu. Selama ni segala apa yang Ratna nak, abang akan usaha sungguh-sungguh untuk penuhkannya. Walau Ratna isteri abang, abang tak pernah serah bulat-bulat urusan rumah tangga hanya pada Ratna. Tapi..." "Habis tu kenapa Ratna sanggup buat abang macam ni? Ratna tahu macam mana sayangnya abang dengan Ratna selama ni." Pandangan Ejaz begitu lesu. Melepaskan isteri yang terlalu dicintai buat lelaki lain, umpama lenyap udara yang wujud di alam ini. Terhenti nafasnya hingga seakan-akan mati jiwanya. "Ratna tak nafikan abang seorang suami yang sangat-sangat baik. Tapi hal ni sekarang melibatkan perasaan Ratna, bang. Ratna tak boleh paksa diri Ratna untuk cintakan abang. Bukan abang lelaki yang Ratna mahukan, tapi Raziq, bang. Raziq!" Ungkitlah apa sekalipun Ratna sudah tidak peduli lagi. Ejaz sememangnya baik. Seorang suami yang hebat. Namun, segala kebaikannya itu tetap tidak mampu menyingkir perasaan cinta Ratna terhadap Raziq. "Kalau Ratna tak cintakan abang, kenapa Ratna nak kahwin juga dengan abang dulu?" soal Ejaz dengan perasaan yang tidak puas hati. Dia benar-benar rasa tertipu! Rasa dipergunakan demi kepuasan hati Ratna yang tak ikhlas mencintainya. "Memang Ratna cintakan abang. Ratna memang nak kahwin dengan abang. Tapi bila Ratna jumpa balik dengan Raziq tiga hari sebelum majlis kita, perasaan Ratna mula berbelah bagi. Ratna tak pasti sama ada nak teruskan pernikahan kita atau tak," jelas Ratna enggan menyembunyikan apa-apa lagi. Ejaz terus terduduk. Lesu. Diperlakukan sebegini oleh perempuan yang paling dicintainya, peritnya tak terzahir dengan kalimah di bibir. Apatah lagi dirinya dulu begitu digilai Ratna. Cintanya dirayu. Kasihnya diburu. Hingga akirnya dia jatuh jua ke dalam genggaman Ratna. Allah... Betapa Ejaz kecewa. "Ratna tak ada pilihan, bang. Segala persiapan dah dibuat. Nak tak nak, Ratna tetap kena teruskan pernikahan kita. Ratna janji untuk berusaha lupakan Raziq, tapi Ratna tak mampu. Sebab tu Ratna tak nak mengandung. Bukan abang atau Ratna yang ada masalah, tapi Ratna sendiri yang buat pencegah kehamilan sebab Ratna tak nak mengandung anak abang." Ejaz terasa bagai hendak menjerit. Ayat yang meniti bibir Ratna tadi terlalu kejam. Buk! Dinding biliknya ditumbuk geram. Bergetar bibirnya menahan amarah yang berkecamuk. Dua tahun Ratna berpura-pura bahagia di depan Ejaz. Di belakangnya, diam-diam dia menjalinkan hubungan sulit dengan Raziq. Mantapnya lakonan Ratna hingga Ejaz langsung tidak mampu menghidu kecurangannya itu.BAM!Tumbukan padu yang dihempas ke dinding menyedarkan Ejaz daripada lamunannya. Lekas-lekas dia meraup mukanya. Memori pahit itu telah berjaya dilupakan. Tiba-tiba saja kehadiran Diana menghidupkannya semula. Astaghfirullahalazim... Ejaz bingkas berdiri. Dia tidak mahu terus terganggu dengan bayangan Diana mahupun Ratna. Keduadua wanita itu tiada kepentingan langsung di dalam hidupnya. Buru-buru Ejaz melangkah keluar untuk menuju ke surau di pusat membeli-belah yang terletak di tingkat yang sama dengan premis perniagaannya itu. "Hai, Ejaz!" Satu suara kedengaran menyapa. Lembut dan manja nadanya. Ejaz terpempan. Baru sebentar tadi dirinya diganggu oleh bayangan wajah gadis itu dan kini figura itu sedang berdiri di depannya. "You?"Diana terus mengorak senyuman. Manis bersama lirikan mata yang begitu menggoda. Fuh! Bergegar naluri lelaki Ejaz dibuatnya. "You terkejut ke tengok I? Macamlah I ni hantu sampai you nak terkejut macam ni," seloroh Diana, lalu melepaskan tawa kecil. Argh, bukan dia tidak tahu Ejaz terpanar. Ejaz tergoda dengan senyumannya. "Tak adalah. I... I tak sangka you boleh ada dekat sini. I ingat you masih di hospital." Lekas-lekas Ejaz mengawal riaknya dengan bernada tenang biarpun gugupnya begitu ketara kedengaran. "Hesy, you ni... I bukannya hidap penyakit kronik sampai nak stay lama-lama dekat hospital tu. Petang semalam lagi I dah keluar." "Oh, okey," balas Ejaz pendek, lekas-lekas dibuang pandangannya ke arah lain tatkala anak matanya terpandang paha Diana yang terdedah. Singkat sangat skirt yang dipakai dan digayakan pula dengan blaus ketat. Seksi gila! Diana perasan dengan lirikan mata Ejaz ke arah pahanya tadi. Sengaja atau tidak, Diana tidak peduli. Yang pasti lelaki itu telah memandangnya lalu berlagak alim dengan mengalih anak matanya ke arah lain. Lelaki tetap lelaki. Tak payah nak berlakon konon tak pandang perempuan seksi macamnya. Diana sudah masak dengan perangai rakus lelaki. "Emmm... You nak ke mana?" soal Diana seraya mendekatkan lagi jarak kedudukan mereka. Anak matanya pula tak berganjak dari memerhati raut wajah Ejaz. Dia perasan sesuatu. Ejaz gugup. "You nampak tergesa-gesa," lanjut Diana merapatkan lagi kedudukannya dengan Ejaz. Ejaz lekas-lekas berundur. Ya Allah, minah ni betul-betul menguji kesabaran. Berpeluh-peluh Ejaz dibuatnya. "You nampak panik. Kenapa?" Semakin gementar Ejaz dengan perlakuannya, semakin galak Diana mengusik. Iman lelaki itu ingin diuji. Jiwanya ingin diganggu. Akalnya ingin dirosakkan Diana dengan memikirkan dirinya setiap detik. "Errr... I nak ke surau. You nak cari buku ke? Staf I ada. You boleh minta tolong dia attend you kalau you perlukan apa-apa." Gelabah Ejaz terpamer jelas dari nada bicara dan riak mukanya. Semakin seronok Diana dibuatnya. "I memang nak cari buku. Tapi I nak you yang attend I. Emmm... Awalnya you nak pergi solat. Solat apa pukul 4.30 macam ni?" soal Diana seraya menjeling jam Guy Laroche di tangannya itu. Ejaz terkedu. Kalau sudah petang sebegini, dengan waktu mencecah 4.30 petang, sudah pastilah solat asar. Takkan solat tahajud pula? "Azan asar baru aje masuk 4.25 tadi," maklum Ejaz perlahan. Sudah mampu mengawal emosinya yang sesak tadi. "Azan subuh masuk pukul 5.45," lanjut Ejaz lagi seraya tersenyum. Sinis hingga berubah riak wajah Diana. Inilah bahananya kalau selama ini dia langsung tidak pernah ambil peduli soal solat. Padan muka kena sindir! Kan, dah malu? "Oh, dah asar ya? I... I tak perasan. Maklumlah tak tengok jam tadi. Awalnya you solat. Punctual betul," seloroh Diana demi menutup malu. "Hmmm... Mungkin sebab dekat shopping mall ni riuh. Azan dekat masjid seberang jalan tu kadang-kadang sampai tak boleh dengar. Sebab tu tak perasan dah masuk waktu. Bukan you aje tak perasan, I pun sama." Tidak mahu memalukan Diana, Ejaz lekas-lekas menuturkan bicaranya dengan mereka alasan sedangkan jarak masjid dengan pusat membeli-belah tersebut lebih kurang 5km jauhnya. "Aaa... Betul tu. Riuh sangat." Sepantas kilat, Diana menyokong. "Tapi..." Tatkala perkataan tapi itu meniti bibir Ejaz, wajah Diana terus berkerut seribu. "Jam kan, ada. Handphone pun dah canggih. Daripada asyik berselfie, lepas tu kerja edit gambar bagi cantik, kan lebih baik install aje Muslim Pro. Boleh tahu bila masuk waktu solat." Selepuk kata-kata Ejaz seakan-akan mengena Diana. Sentapnya! "Melewat-lewatkan solat dengan sengaja ni tak baik. Sebaiknya, sebelum azan lagi kita dah standby dengan wuduk. Dah ada atas sejadah," lanjut Ejaz biarpun dia tidak ada niat langsung untuk mengenakan Diana. Kata-kata yang dituturkan itu jujur demi mengingatkan Diana agar tidak lagha. "Awal ke lewat, janji solat juga, kan?" kata Diana. Masih degil enggan membenarkan pendapat Ejaz. Walhal dahinya itu tak pernah mencecah sejadah walau sekalipun. "Biasalah sifat manusia. Selalu ambil mudah soal masa." Sekali lagi riak wajah Diana berona merah padam. Nampak gayanya lelaki yang bernama Ejaz itu sedang cuba hendak berkhutbah padanya."Manusia ni bila melibatkan urusan dunia lebihlebih lagi membabitkan soal duit, masa terus jadi terlalu penting. Tapi bila berkait rapat dengan kepatuhan terhadap Tuhan, ambil mudah aje soal tu." Panas telinga Diana tiba-tiba. Selama bergaul dengan lelaki belum ada seorang pun yang berani berceramah sebegini dengannya. Ejaz merupakan lelaki pertama dan setiap bait ucapan yang ditutur agak menyakitkan hatinya. "Ejaz, you tahu kan, ketaatan seseorang terhadap Tuhan tu tak perlu dihebohkan. Solat tu urusan seorang insan dengan Tuhannya. Sama ada awal atau lewat, belum tentu Tuhan terima. Entah-entah, yang solat awal waktu tu sebab ada hal. Kalau tak, zuhur dengan asar dijamak sekali." Hujah Ejaz bijak dibidas. Untuk beralah dengan lelaki itu tidak sama sekali. Ulas bibir Ejaz terus pecah dengan senyuman nipis. "Sebaik-baik solat adalah solat pada awal waktu. Mendahulukan Allah tu wajib dari segala perkara. Lebih-lebih lagi, perkara lagha. Diterima atau tak solat seseorang tu, hanya Allah yang tentukan. Tapi sebagai seorang hamba, kita kena berusaha untuk memberikan yang paling terbaik kepada Tuhan." Tarbiah sentap! Fuh... Panas! Diana mula rasa semacam. Seakan-akan pendingin hawa di pusat membelibelah itu telah terhenti fungsinya. Nampak gayanya lelaki di depannya itu bukan sembarangan. "Tak apalah. Dah lambat ni. I nak ke surau dulu," ujar Ejaz. Enggan berlamaan lagi melayan Diana yang tak akan berhenti berhujah demi menegakkan pendapatnya itu. Terkulat-kulat anak mata Diana memerhati susuk tubuh Ejaz yang semakin menjauh. Betapa lelaki itu berbeza dari kesemua lelaki yang pernah dikenalinya. Keterujaan untuk memiliki Ejaz semakin kuat menghimpit hati. Sama ada untuk mempermainkan lelaki itu atau sebaliknya, Diana tidak pasti. Yang jelas, dia benar-benar mahukan Ejaz.
YOU ARE READING
#TEARS BIDADARI YANG DIRINDU
RomanceBenarlah hidayah itu milik Ilahi. Hidayah yang diperolehi Diana membuatkan dia serta-merta meninggalkan kehidupan lamanya yang penuh dengan dosa. Dek penghijrahannya itu, Ejaz terbuka hati untuk menyunting Diana menjadi bidadari dalam hidupnya. "I n...