NIAT Ejaz hendak membuka pintu Toyota Fortunernya terus tergendala tatkala dia terasa seakan-akan ada jari-jemari mulus yang sedang menyentuh bahunya. Haruman Burberry turut merentasi rongga hidungnya. Wangi! Ejaz terus berpaling. Dia terpempan saat melihat Diana sedang berdiri begitu rapat di belakangnya. Senyuman gadis itu terus merekah indah buatnya. "You?" Merah padam riak muka Ejaz. Lekas-lekas bahunya ditarik dari sentuhan Diana. "Hai, Ejaz..." Tanpa riak bersalah, Diana menyapa manja. Tubuhnya sengaja dirapatkan lagi kedudukannya dengan Ejaz hingga hampir berlaga pipi kedua mereka. Ejaz panik. Diana terlalu berani baginya. Pantas tubuhnya digerakkan ke kiri bagi menjarakkan kedudukan mereka berdua. Reaksi Ejaz itu benar-benar menggeletek hati Diana. Senyuman mengejek terus terukir di bibir merahnya. Haish, mamat ni... Tak mudah 'makan' godaan Bab5rupa-rupanya. Pencetus ummah sungguh! Mengekek-ngekek ketawa Diana dalam hati. "Ada apa you ikut I sampai dekat parking ni?" soal Ejaz dengan agak tegas. Perasaan bengang begitu terasa. Dia tahu Diana cuba hendak meleser dengannya. Entah apa yang bersarang dalam benak gadis seksi tersebut hingga tak berkesudahan dirinya cuba didekati. Digoda gadis seksi itu, sumpah Ejaz tak rela! "Tadi I nak jumpa you. Tapi tak sempat sembang lama sebab you rushing nak ke surau. Masa I dekat Watsons tadi I nampak you turun escalator. Jadi, I ikutlah you ke sini," terang Diana, bersahaja. Ejaz betul-betul rimas. Dia tidak selesa dihimpit gadis itu. Benar-benar tak selesa! "Okey, Diana. Sebenarnya apa tujuan you ikut I ke sini? I rasa kita tak ada sebarang urusan pun sampai you perlu nak jumpa I. Lagi satu, tolong jangan sentuh I lagi macam you buat tadi. Kita bukannya mahram." Kata-kata Ejaz itu terus meledakkan tawa Diana. Tawa yang sengaja dibuat-buat demi menyakitkan hati lelaki di depannya itu. "Hei, coollah, Ejaz. I bukan nak buat apa-apa pun. Takkan nak kawan dengan you pun tak boleh?" ujar Diana, menggedik sehingga mual Ejaz dengan gelagatnya itu. Ejaz ketap bibir. Dia yakin bukan mudah untuknya melepaskan diri dari gadis itu. Dia juga yakin Diana punya tujuan tertentu untuk mendekatinya. Yang pasti tujuannya itu tidak jujur. "Diana, I tak tahu macam mana gaya hidup you. I takkan persoalkan. I hormat cara you. I harap you juga hormat cara I," tegasnya. "So?" soal Diana seraya membuat mimik muka. Mimik seakan-akan mempersendakan kata-kata Ejaz tadi. "Untuk makluman you, tak semua lelaki dekat KL ni sosial dan tak kesah disentuh perempuan. Tak semuanya open minded, ambil mudah dengan cara pergaulan hidup dia orang. I, termasuk dalam golongan tu," tegas Ejaz. Kali ini nadanya kedengaran keras. Oh, my God! Mamat ni... Muak sungguh Diana dengan pengakuan Ejaz itu tadi. Hendak berlagak suci konon! "Alim juga you ni, ya? Setahu I, kaum lelaki ni pantang ada peluang. Nak aje menyentuh perempuan. Lagi seronok kalau perempuan sendiri yang sentuh dia. Pelik jugalah you cakap macam ni. Kiranya, you ni tergolong dalam jenis lelaki berimanlah ni? Haish! Setahu I, pak-pak lebai ni la yang kuat menggatal. Sebab tu sanggup kahwin ramai!" Selamba sahaja Diana 'menembak'. Dia tidak pernah percaya dengan lelaki. Arwah ayahnya sebagai bukti. Fuh! Mendidih darah Ejaz. Sesedap rasa saja mulut Diana bila bercakap. "I tak kesah you nak cakap apa, Diana. You boleh samakan I dengan lelaki yang you sebut tu. I tak peduli. Sebab, I tahu I ni lelaki jenis yang macam mana. Nak menggatal dengan perempuan, itu bukan I. I tak kemaruk sangat, okey?" Bahang panas nampak ketara dari cara pertuturan Ejaz. Sebelum kemarahan Ejaz meletup, nampak gayanya Diana perlu meredakannya secepat mungkin. "Sorry kalau I buat you tak selesa. Lupakan apa yang I cakap tadi. I terlepas cakap aje. Sebenarnya I nak bagi something dekat you. Sebab tu I ikut you ke sini. Bukannya I ada maksud lain." Alasan. Sengaja Diana reka. Nak mengurat lelaki itu, tipu sajalah apa-apa. "Nak bagi something?" soal Ejaz seakan-akan tidak percaya. Diana baginya penuh dengan helah. "Sebagai ucapan terima kasih sebab bawa I pergi hospital hari tu. Itu aje. Bukannya I ada niat buruk dengan you pun," jelas Diana bersahaja. Diana fikir Ejaz akan percaya? Caranya sahaja sudah cukup menzahirkan niat sebenarnya. Ejaz terus melepas keluhan. Panjang dan agak dalam tanda dia bosan dengan perlakuan Diana itu. "Takkan you tak sudi?" giat Diana lagi. "Terima kasih sajalah. You tak perlu susah payah bagi I apa-apa sebagai balasan. I tak harap apa-apa sebab I buat semua tu atas dasar perikemanusiaan. Lagipun, you tumbang dalam kedai I. Dah tentu I kena bertanggungjawab. Takkan I nak biarkan you pengsan macam tu aje? Lagipun..." Buk! Tak sempat Ejaz menyempurnakan bicaranya itu, sebiji penumbuk tiba-tiba menyinggah di mukanya. Padu hingga terdorong tubuhnya ke arah pintu pacuan empat rodanya itu. "Damn!" jerit Ejaz. Tak ada angin, tak ada ribut, tak pasal-pasal dia kena penumbuk. Ini dah lebih! Sakit hati Ejaz seraya memegang pipinya. Perit! Berdiri di depannya Syimmir sedang mengepal buku penumbuknya. "Kurang ajar kau! Patutlah kau beria-ia pertahankan dia ni hari tu. Rupa-rupanya kau ada affair dengan dia!" Membahang kemarahan Syimmir dilepaskan. Sekali lagi buku penumbuknya cuba dilayang ke muka Ejaz. Dengan pantas Ejaz mengelak. Buk! Ejaz membalas semula pukulan Syimmir itu dengan menghadiahkan sebiji penumbuk ke mukanya. Padu, hingga berpinar pandangan Syimmir. "Hello brader! Kalau ya pun nak tunjuk lelaki, siasatlah dulu hal sebenar. Jangan nak main pakai belasah orang aje ikut suka hati kau tu!" bentak Ejaz. Kemarahannya begitu bersemarak hingga naik turun nafasnya. Diana terkedu. Tak sangka Syimmir akan mengekorinya hingga ke basement ini. Pucat lesi wajah Diana kerana dia yakin bakal ada lagi insiden tak baik yang akan terjadi. Lebih-lebih lagi bila dilihatnya kemarahan Syimmir seakan-akan menggila. "Aku tak tahu apa masalah kau orang berdua! Tibatiba aje aku dilibatkan sedangkan aku tak tahu siapa dia ni! Kalau kau orang ada masalah, settle sajalah berdua! Jangan nak kaitkan aku sekali!" bentak Ejaz melepaskan radangnya. Diserang tanpa usul periksa membuatkan darah Ejaz menggelegak bagaikan minyak panas. Seumur hidup, belum pernah dia 'makan' penumbuk sesiapa. "Kau tak payah nak berdalihlah! Kalau kau dengan dia ni tak ada apa-apa, kenapa aku tengok kau orang asyik berkepit aje? Sampai ke basement ni! Tentu kau nak angkut dia balik rumah, kan?" Melulu saja tuduhan Syimmir itu membuatkan semakin mendidih darah Ejaz. Lurus jari telunjuknya dituding tepat ke muka Syimmir. "Cakap tu jangan ikut sedap mulut aje! Kau ingat aku ni lelaki jenis apa main nak angkut perempuan balik rumah senang-senang macam tu? Aku kenal perempuan ni pun secara tak sengaja. Itu pun, sebab kau hentak dia dekat kedai aku. Kau ingat aku kemaruk sangat dengan perempuan macam dia ni?" hambur Ejaz kembali. Syimmir tidak percaya. Dia sudah terkena dengan Diana. Baginya penjelasan Ejaz itu sekadar alasan. "Diana ni perempuan gatal! Dengan semua lelaki nak melayan. Entah dah berapa ramai lelaki dah jadi mangsa dia ni! Tak pelik, kalau kau pun ada niat macam tu!" ujar Syimmir. Kewarasannya seakan-akan lenyap. Dengan begitu beremosi tangan Syimmir terus menyergap kasar rambut Diana hingga tersenget tubuhnya. Lebih-lebih lagi, dia berkasut tumit tinggi. "Aduh!" Seraya menahan perit, Diana mengongoi kesakitan. "Lepaskan I, Syimmir! Lepaskan!" jeritnya tatkala cengkaman Syimmir semakin kuat. "You ingat I akan lepaskan you macam tu aje, hah? Dah puas you sakitkan hati I, lepas tu you nak buat macam tak ada apa-apa berlaku. You ingat, I akan biarkan you hidup tenang? You silap orang, Diana. Mungkin dengan lelaki-lelaki sebelum ni, dia orang tak pernah balas. Tapi bukan I, Diana! I sangat menghargai cinta dan I takkan lepaskan orang yang khianati cinta I!"Syimmir mula menggila. Tubuh Diana ditolak ke lantai lalu dibelasahnya. Pipi Diana ditampar kiri dan kanan. Jeritan Diana sudah tidak dipedulikan. Iblis terus merasuk. Biarlah. Mati pun, Syimmir sudah tidak kesah. Tidak sanggup membiarkan perempuan selemah Diana dibelasah lelaki sedayus Syimmir, Ejaz terus mengambil steering lock dari dalam Fortunernya. "Kalau kau tak nak kena hentak dengan aku, lebih baik kau berhenti belasah perempuan ni!" ugut Ejaz seraya menayangkan steering lock tersebut tepat ke muka Syimmir. Tindakan yang hanya menyemarakkan lagi api kemarahan Syimmir. Muka Ejaz dipandang dengan perasaan tidak puas hati. "Kau nak protect dia ni? Jadi, memang sah kau berdua ada affair, kan? Kau nak belasah aku? Kau ingat aku takut ke, hah?" Syimmir terus meluru ke arah Ejaz. Kakinya melayangkan sebiji sepakan. Dengan pantas, Ejaz mengelak. Steering lock tersebut lalu diayun kuat ke kaki Syimmir. Buk! Syimmir terus terduduk di atas lantai. Kakinya berdenyut dengan begitu kuat. Kesempatan itu pantas direbut Ejaz dengan mencengkam leher baju Syimmir. Buku penumbuknya pula dihala tepat ke muka Syimmir seraya mempamerkan wajahnya yang menyinga. "Aku tak nak cari gaduh dengan kaulah, woi! Tapi kalau orang mula cari pasal dengan aku, takkan aku nak diam aje? Kau dulu serang aku, lepas tu kau belasah perempuan ni! Takkan aku nak senyap aje? Kalau kau nak gaduh sangat, aku pun tak kesahlah, woi! Kau ingat aku penakut?" Ejaz terus melepaskan tumbukan ke muka Syimmir. Perit! Diana semakin takut. Sekali lagi berlaku pergaduhan di antaranya dengan Syimmir. Malangnya, Ejaz yang tidak ada kena-mengena dengan masalah mereka turut terlibat tanpa sengaja. "Apa hal ni?" Hadif yang baru muncul terus bertanya. Bukan main terkejut lagi Hadif tatkala melihat Ejaz terlibat dengan pergaduhan. Selama ini sepupunya itu begitu penyabar dan lembut orangnya. "Laaa... Dia orang ni lagi?" Membundar luas anak matanya tatkala terpandang Diana dan juga Syimmir. "Aku pun tak tahulah, kenapa setiap kali dia orang berdua ada problem, setiap kali dia orang bergaduh, aku yang tak ada kena-mengena dengan dia orang ni diseret sama dalam pergaduhan dia orang! Dahlah aku tak kenal langsung siapa dia orang ni!" Bergema kuat suara Ejaz memecah gegendang telinga Hadif. Kecut perutnya. "Aku harap, ini kali terakhir kau orang libatkan aku dalam masalah kau orang! Aku tak ada kaitan dalam cerita kau orang. Aku tak nak ambil tahu dan tak nak masuk campur urusan kau orang!" Syimmir terkulat-kulat memandang Ejaz. Hendak melawan, dia sudah tidak berdaya. Kuat sungguh pukulan Ejaz tadi, hingga berbirat betisnya. "Kau! Kalau ya pun marah dengan dia ni, kawallah sikit baran kau tu! Jangan nak jadi lelaki bacul, belasah perempuan. Aku tahulah kau lelaki. Kudrat kau kuat. Setakat nak tunjuk kuat dengan perempuan, tak guna, bro! Buat malu kaum lelaki aje belasah perempuan!" Ejaz betul-betul panas hati. Kenal atau tidak dengan Syimmir, dia tidak peduli. Tak pasal-pasal, Syimmir kena ceramah percuma dengannya. "Kau ingat, kau dah hebat sangatlah? Warrior? Ahli gusti? Gengster Kampung Dusun?" Khutbah Ejaz belum terhenti. Dia belum puas. Sakit hatinya masih terasa dan dia perlu menghambur keluar segala perasaan marahnya itu. "Kalau nak buktikan sangat yang kau ni anak lelaki, pergilah Palestine tu. Lawan Israil kalau dah berani sangat!" lanjut Ejaz lagi. Hadif di sebelahnya terus terdiam. Belum pernah dia melihat Ejaz sebaran ini. "Yang kau!" Dituding pula jari telunjuknya ke arah Diana. "Kalau dah perempuan tu, buat cara perempuan! Jagalah maruah sikit. Jangan murah sangat sampai jadikan diri tu macam tak ada nilai langsung! Kalau kau tak buat hal, mesti lelaki ni takkan belasah kau! Kau ingat dengan menyakitkan hati orang lain, kau akan bahagia?" Diana yang terjelepok di atas lantai itu pula menerima khutbah daripada Ejaz. Dia hanya mampu menunduk. Tidak tahu kenapa perasaannya luluh. Diana betul-betul rasa teruk. "Sekarang kau happylah. Dapat guna kecantikan kau tu untuk permainkan lelaki. Esok lusa, belum tentu kau bahagia dengan apa yang kau buat. Kau ada mak ayah, kan? Kau tak kesian ke dekat dia orang buat perangai macam ni? Dahlah pakaian tak senonoh! Koyak sana sini!" Ejaz sudah tidak peduli. Diana nak terasa hati ke atau tak, dia tak peduli. Saat ini, dia hanya ingin 'membasuh' Diana cukup-cukup. Biar dia sedar diri. "Kalau mak ayah kau dah tak ada, ini ke sedekah jariah yang kau sumbang pada dia orang dekat dalam kubur? Ini ke balasan yang patut dia orang dapat, bersusah payah lahirkan kau? Besarkan kau? Kenanglah sikit jasa mak kau tu! Jaga perangai. Kalau kau tak nak jaga maruah diri kau, sekurang-kurangnya jagalah maruah mak bapak kau!" Berbuku-buku kemarahan Ejaz lepaskan. Mereka bertiga senyap tak terkata. Lebih-lebih lagi Diana. Pelupuk matanya telah berkaca dengan butiran jernih. "Kau beringatlah sikit, dekat kiri kanan kau tu ada malaikat yang hari-hari duk catat dosa pahala kau. Kau ingat muka kau lawa, kau boleh goda semua lelaki? Kau ingat, Allah bagi muka cantik macam tu untuk kau salah gunakan? Itu semua hanya ujian daripada Tuhan aje, faham!" Hadif turut menikus. Hendak mencelah, dia takut. Nanti, tak pasal-pasal dengan dia sekali kena khutbah dengan sepupunya itu. "Sekarang kau cantik, bolehlah kau permainkan ramai lelaki. Kau goda dia orang. Kau jangan bangga sangat dengan anugerah Tuhan pada kau. Bila Dia nak tarik balik, kau sendiri akan takut tengok muka kau tu dekat dalam cermin!" Diana malu. Belum pernah seumur hidupnya dia dimarahi dengan begitu teruk oleh dua lelaki secara serentak. Berderai-derai air matanya, semakin hiba hatinya. "Sekarang ni kau orang berdua berambus kalau tak nak kena hentak dengan aku!" halau Ejaz seraya menggawangkan steering lock tersebut di depan muka kedua-dua mereka.Seraya mengusap pipi, Syimmir bingkas berdiri. Dengan kaki yang terhincut-hincut dia melangkah pergi dari situ. Dari kata-kata Ejaz itu, dia tahu dia telah tersalah sangka dengan lelaki itu. Mungkin benar, Ejaz tidak ada sebarang hubungan dengan Diana. Diana masih lagi terduduk di atas lantai. Deraian air matanya semakin melebat. Tangisannya itu bukan kerana kesakitan akibat dibelasah oleh Syimmir tadi. Tangisannya itu berkait rapat dengan kata-kata Ejaz. Kata-kata yang benar-benar merentap tangkai hatinya yang berlumuran dengan dosa. "Jom, Dif! Kita blah sebelum minah ni bagi masalah lagi dengan kita." Bang! Pintu pacuan empat rodanya itu ditutup kasar. Hadif menurut sahaja. Sempat lagi dia mengerling ke arah Diana yang sedang tersedu-sedu itu. Perasaan belas menggamit hati. Biar sebesar mana kesilapan gadis itu, dia tetap seorang perempuan yang perlu diberi perlindungan. Namun, Hadif tidak berani berbuat apa-apa. Nanti tak pasalpasal buku penumbuk Ejaz pula mencium bibirnya.BERKALI-KALI stering kereta ditumbuk, melepas geram yang membuku terhadap Diana. Syimmir benar-benar kecewa. Sejak bertemu dengan Diana, dia rasa begitu bahagia. Perasaannya sering terbuai dengan kemanjaan Diana. Segala janji manis Diana, tak terbilang banyaknya. Dialah nyawa. Dialah syurga hati Diana. Tapi semuanya itu bohong belaka."Kau memang jahat, Diana! Kau memang jahat!" tempik Syimmir sekuat hati. "Sampai hati kau buat aku macam ni! Sampai hati kau permainkan perasaan aku!" hamburnya lagi dalam emosi yang sudah tidak mampu dikawal. Basah pelupuk matanya dengan butiran jernih hingga mengganggu pemanduannya. Fokusnya sudah tidak ada di jalan raya. Yang difikirkan hanyalah Diana. "Diana! Please come back, sayang!" Esaknya tak henti-henti. Terhuyung-hayang kereta yang dipandu di atas jalan. Tak sedar sebuah kereta sedang meluncur laju ke arahnya. "Allah!" Jeritan kuat kedengaran pecah dari bibirnya. Syimmir lekas-lekas memusingkan stering untuk mengelak dari berlaku perlanggaran. Namun, takdir yang tertulis buatnya tak dapat dielakkan. Bam! Bunyi dentuman kuat menggegar alam. Kereta yang dipandu Syimmir terlanggar tiang lampu! Dahinya mula terasa basah. Pandangan bertukar menjadi kabur. Argh, peritnya yang dirasai waktu ini. "Diana..." bisik bibir Syimmir perlahan sebelum matanya terus terpejam lalu tidak sedarkan diri.
![](https://img.wattpad.com/cover/213564185-288-k38151.jpg)
YOU ARE READING
#TEARS BIDADARI YANG DIRINDU
RomanceBenarlah hidayah itu milik Ilahi. Hidayah yang diperolehi Diana membuatkan dia serta-merta meninggalkan kehidupan lamanya yang penuh dengan dosa. Dek penghijrahannya itu, Ejaz terbuka hati untuk menyunting Diana menjadi bidadari dalam hidupnya. "I n...