JAM di pergelangan tangan dipandang lagi. Langkah kakinya dilajukan menuju ke sebuah restoran. Peluh dingin yang memercik pada dahi sempat dilap dengan menggunakan sapu tangan. Sesekali nafas dihela panjang untuk menghilangkan rasa penat. Fuh, sampai berpeluh dibuatnya! Berpeluh kerana menahan debar di dalam dada. Juga berpeluh kerana terkejar-kejar dari tempat kerja, meredah kesesakan jalan raya untuk sampai ke restoran yang agak jauh dari tempat kerjanya. Tiba di restoran seperti yang dijanjikan, anak matanya mencari seraut wajah. Seseorang yang sudah lama tidak ditemuinya. Entah otak kecilnya masih mengingati pemilik wajah itu ataupun tidak, dia tidak pasti. Kali ini Adh main redah saja. Apa yang dia tahu, Syasya ada bagitahu dia memakai baju berwarna merah. Ada beberapa orang pengunjung restoran yang memakai baju berwarna merah. Yang sebaya Syasya cuma dua orang saja. Anak matanya tidak berganjak dan berterusan memandang kelibat seorang perempuan yang memakai blouse berwarna merah dan mengenakan skirt labuh berwana hitam. Wanita itu duduk di sudut yang paling hujung, membelakanginya. Hati kecilnya yakin, wanita yang dilihatnya itu adalah Syasya Lyana. Walaupun masih teragak-agak, Adh tetap mengatur langkah untuk menyapa. Agak-agak dah lama ke dia tunggu? "Assalamualaikum," sapa Adh sambil mencari sepasang anak mata gadis itu. Adh masih ingat, sepasang anak mata Syasya Lyana berwarna kebiruan. Asli tanpa memakai contact lens. Mungkin mewarisi sepasang anak matanya bapanya yang berdarah kacukan. "Waalaikumussalam," balas gadis itu seraya menoleh. Adh mengukirkan seulas senyuman. Tepat sangkaannya. Anak mata gadis itu memang berwarna kebiruan. Yakinlah hatinya bahawa gadis berbaju merah itu adalah Syasya Lyana. "Dah lama tunggu?" Adh memulakan perbualan sambil melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan gadis itu. "Hmmm..." Sepatah jawapan gadis itu. Wajah dingin tanpa segaris senyuman itu membuatkan hati Adh terusik. Nampaknya, hanya dia seorang sahaja yang teruja dengan pertemuan ini. Gadis di hadapannya ini pula seperti tidak sudi untuk memandang wajahnya. Adakah hatinya juga sedingin wajahnya? Benarkah? Hati kecil Adh meneka lagi. Lima minit berlalu begitu sahaja. Masing-masing saling diam tanpa sepatah bicara. Adh pula berterusan memandang wajah putih bersih yang sebeku ais itu. Tidak betah diam seperti itu, dia memulakan bicara lagi. "Kau okey ke?" Cepat sahaja gadis itu mengangkat wajahnya. Sejenak, renungan berbalas renungan. "Tak perlu tanya sama ada aku okey ataupun tidak. Kita datang untuk berbincang." Adh sekadar mengangguk. Ya, wajahnya sedingin hatinya. Nampaknya, Syasya benar-benar tidak suka dengan percaturan ini. Ini bukan satu percaturan, Syasya. Tapi satu amanah yang perlu ditunaikan. Jika diikutkan hatinya, dia juga tidak suka dengan perkahwinan yang diatur seperti ini. Mereka sedang mempertaruhkan masa depan mereka kerana sesuatu yang dipanggil amanah. Amanah arwah Haji Ibrahim. "Apa pasal? Aku tak pakai baju ke sampai kau pandang macam tu sekali?" Kali ini bukan soalan dingin yang menyapa pendengarannya, tetapi soalan yang cukup kedengaran kasar. Adh sekadar mengukirkan senyuman hambar. "Just straight to the point, Syasya." Kedinginan Syasya dibalas dengan kedinginan juga. Jujur, dia juga rasa malas mahu berlama-lama dengan wanita ini. Penat bekerja sehari suntuk masih belum hilang lagi. Ditambah pula terpaksa meredah kesesakan jalan raya untuk ke tempat ini. Kepenatannya semakin terasa dengan sikap endah tak endah wanita di hadapannya ini. Bakal isterinya, Syasya Lyana. "Hah, memang itu pun yang aku nak cakap tadi! Jadi, tolong jangan pandang-pandang aku macam tu. Aku tak suka!" Adh senyum lagi. Senyuman yang nyata kelihatan tidak ikhlas. "Tak perlu kut kau nak marah-marah. Lepas dah jadi isteri aku nanti, lebih daripada tu pun aku akan pandang kau, Syasya." "Shut up! Aku benci kau cakap benda-benda pelik macam tu!" marah Syasya lagi. Adh menjongketkan kedua-dua belah bahunya sambil mencebik. "Terpulanglah kau nak cakap apa pun." "Dengar sini baik-baik, Encik Adh Khusyairi bin Azhan!" "Not bad! Kau ingat nama penuh aku ya, Syasya? Aku sukalah! Cuba kau sebut sekali lagi?" Adh masih berani mengusik walaupun dia sudah nampak wajah kemerahan yang sedang menahan amarah milik gadis itu. "Huh, kau tak payah nak bangga sangatlah! Aku ajak kau datang sini bukan sebab nak tengok kau riak. Aku cuma nak cakap, aku tak akan kahwin dengan kau kalau kita tak bertunang. Itu saja." "Kau merepek apa ni, Syasya? Kenapa kau tak bagitahu awal-awal lagi? Kau tahu tak majlis kahwin kita berapa lama lagi?" Nada suara Adh mula berubah serius. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan baris ayat yang baru sahaja menyapa pendengarannya. Namun, sedaya upaya dia cuba mengawal riak amarahnya supaya tidak jelas kelihatan. "Aku dah bagitahu awal-awal lagi. Apa pun yang berlaku, aku tetap nak kita bertunang. Kenapa susah sangat kau nak faham?" "Bertunang apa lagi? Majlis tu hanya sebulan saja lagi. Sudah-sudahlah merepek, Syasya. Aku tahu, kau sengaja mencari alasan untuk batalkan majlis perkahwinan kita." "Itu bukan alasan, Adh. Tapi kau tak pernah pun nak dengar cakap aku, kan? Ini kita belum lagi sah menjadi suami isteri. Lepas kita dah kahwin nanti, apa lagi yang kau akan buat? Aku hanya perlu ikut cakap kau, macam tu?" luah Syasya lagi. Kali ini suaranya sudah bergetar menahan amarah. "Aku dah janji yang aku tak akan paksa kau ikut cakap aku lepas kita kahwin nanti. Lagipun perkahwinan ini untuk menunaikan amanah arwah Haji Ibrahim. Lepas kahwin nanti, kita buat hal sendiri. Jadi, apa masalahnya sekarang?" "Masalahnya sekarang, kau asyik ikut apa saja yang famili kau cakap. Kau tak pernah pun nak fikirkan apa yang aku nak. Macam mana kita nak hidup bersama kalau macam ini gayanya, Adh?" "Jaga sikit mulut kau tu, Syasya. Jangan asyik nak salahkan aku dan famili aku saja. Umi dah berbincang dengan mama kau. Dan mereka sama-sama bersetuju untuk teruskan perkahwinan ni tanpa ikatan pertunangan." Syasya menghelakan nafas panjang. Jemarinya naik memicit kepala yang tiba-tiba terasa pening. "Masalahnya yang nak kahwin tu aku, Adh. Bukan umi kau ataupun mama aku. Apa salahnya kalau kita bertunang dulu?" Syasya masih ulang permintaan yang sama. "Dah tak sempat, Syasya. Salah kau juga. Siapa suruh kau menghilang macam tu saja lepas kau tahu pasal amanah arwah Haji Ibrahim? Sedangkan masa tu kau tahu tempoh yang arwah berikan hanya enam bulan. Macam mana nak berbincang dengan kau kalau asyik lari daripada masalah macam tu?"
YOU ARE READING
SAMA SEPERTI SAYANGMU
RomanceKerana amanah arwah Haji Ibrahim, Syasya Lyana dan Adh Khusyairi disatukan sebagai pasangan suami isteri. Permulaan kisah mereka penuh drama. Ada saja perang dingin dan angin ribut taufan yang membadai. Malah, mereka saling membenci dan menyakiti. "...