BAB 4

175 5 0
                                    

USAI majlis solat hajat malam itu, Syasya terus melangkahkan kaki ke halaman rumah. Ingin mengambil angin malam dan menenangkan hati yang penuh dengan kerisauan. Risau... Ya, memang itu yang dirasakannya ketika ini. Papa... Syasya minta maaf. Syasya tak dapat nak tunaikan janji Syasya. Setitis air mata menitis jatuh ke pipi apabila teringatkan papanya. Semakin ditahan, semakin esak tangisnya menjadi-jadi. Sedih... Ya, memang hatinya sedang dilanda dengan kesedihan yang amat. Adh... Kenapa kau tak pernah cakap yang kau dah bertunang? Kenyataan itu sangat pahit untuk aku telan, Adh. Hati sedang berbolak-balik. Apatah lagi apabila teringatkan pertemuan di antara dia, Nana, dan juga Kak Dee selepas Maghrib tadi. "Hei, perempuan tak guna! Aku nak kau batalkan perkahwinan esok. Kalau kau teruskan juga perkahwinan esok, bukan saja hati kau yang akan terluka. Tapi hati yang jauh lebih baik berbanding kau. Kau tengok sendirilah beza kau dan Kak Dee. Kak Dee jauh lebih layak untuk menjadi isteri Abang Adh." Kata-kata Nana itu cukup terkesan dalam hatinya. Ya, dia memang sangat jauh bezanya berbanding tunang Adh itu. Tunang Adh memang seorang wanita yang cukup sempurna. Baik, sopan santun, penuh dengan kelembutan, dan bertudung cantik. Semua itu tidak ada pada seorang Syasya Lyana. "Ya, aku memang akan cari perempuan yang lebih layak berbanding kau untuk dijadikan seorang isteri. Malah, aku akan cari seorang isteri yang jauh lebih sempurna berbanding kau." Sakit sungguh perasaannya apabila teringatkan kata-kata Adh itu. Patutlah Adh bersungguh-sungguh sangat cakap macam tu. Rupa-rupanya dia memang dah ada calon yang sesuai dan lebih sempurna berbanding aku. "Syasya... Kenapa duduk kat sini?" Teguran seseorang mematikan lamunan Syasya. Kepala ditoleh sekilas lalu. "Saya baru tahu yang Adh dah bertunang sebelum ni." Lain yang Rash tanya, lain pula yang Syasya luahkan. Ketika ini, dia memang ingin bercerita dengan seseorang tentang perkara itu. Mustahil baginya untuk meluahkan semua itu kepada mama. Dia tidak mahu merisaukan hati tua itu pada saat-saat akhir sebelum majlis perkahwinannya. Rash melabuhkan duduk di sebelah Syasya. "Macam mana awak tahu pasal tu?" "Saya ada jumpa tunang dia tadi." Syasya berterus terang. "Maksud awak, Dee ada datang jumpa awak?" teka Rash pula. Syasya menggeleng. Dia tidak mahu memburukburukkan sesiapa pun. "Jadi, macam mana awak tahu dia tunang Adh?" "Tuhan tunjukkan jalan sebelum saya tersilap membuat keputusan." Syasya tersenyum hambar. "Saya tak percaya. Mesti ada seseorang yang bagitahu awak pasal tu, kan?" Rash merenung lama seraut wajah di sisinya. "Kenapa semua orang mesti berahsia dengan saya, Rash? Kalaulah saya tahu Adh dah bertunang, saya tak akan terima amanah arwah Haji Ibrahim. Saya tak nak jadi perampas tunang orang," luah Syasya tanpa menjawab pertanyaan Rash. "Syasya... Tolong jangan ubah keputusan di saatsaat akhir. Majlis perkahwinan awak akan berlangsung esok. Jangan kerana awak tahu Adh pernah bertunang, awak nak batalkan pula majlis esok. Mak su tahu ke pasal ni?" Rash mula diterpa kebimbangan. "Tak." Sepatah jawapan Syasya. Rash menghelakan nafas kelegaan. Terdiam seketika sebelum dia membuka mulut, bercerita tentang Adh. "Kalau awak nak tahu, keputusan untuk putuskan pertunangan mereka, Adh sendiri yang buat. Dia bertegas untuk tunaikan amanah arwah Haji Ibrahim." Syasya mengangguk perlahan. Kali ini senyuman hambar mula meniti pada ulas bibirnya. "Saya tak tahu Rash sama ada keputusan saya ni betul ke tidak. Macam-macam perkara yang berlaku pada hari ini, dan saya dapat tahu sesuatu yang tak pernah saya tahu selama ini. Saya takut sekiranya saya membuat keputusan yang salah," luah Syasya lagi. "Syasya... Jangan ragu-ragu lagi. Hanya beberapa jam sahaja lagi awak dan Adh akan diijab kabulkan," pujuk Rash pula. "Apa yang paling saya takut adalah kecewa, Rash. Saya dan Adh baru saja kenal. Hanya sekali jumpa, terus bersetuju untuk tunaikan amanah arwah Haji Ibrahim. Saya bimbang perkahwinan ini akan menghumban saya dan dia ke lembah derita." "Jangan cakap macam tu, Syasya. Cinta boleh dipupuk. Asalkan awak yakin akan bahagia bersama Adh. Saya kenal Adh tu macam mana orangnya. Dan saya yakin, dia akan membahagiakan hidup awak, Syasya." Syasya mengukirkan senyuman hambar. Rash nampak terlalu yakin. Tetapi tidak baginya. Keyakinannya terhadap Adh sudah semakin tipis. Apatah lagi dengan apa yang terjadi sepanjang hari ini. Dan sepasang telinganya mendengar sendiri pengakuan Adh siang tadi. "Saya pernah melihat penderitaan mama setelah ditinggalkan oleh ayah kandung saya. Perkahwinan tanpa cinta yang membawa dia ke lembah derita. Saya melihat sendiri bagaimana mama saya bersusah payah merawat hatinya, dan membesarkan saya tanpa seorang ayah. Jadi, macam mana saya nak percaya perkahwinan tanpa cinta akan membawa kepada kebahagiaan?" "Maksudnya, papa Syasya tu bukan ayah kandung Syasya?" tanya Rash bersama riak terkejut. Selama ini dia tidak pernah tahu tentang hal itu. Adakah Adh juga tidak tahu tentang hal ini sama seperti dia? "Bukan, Rash. Mama saya pernah bercerai. Alhamdulillah, Tuhan masih mengizinkan dia bahagia walaupun hanya untuk lima tahun sahaja," cerita Syasya lagi. "Kedua-dua ayah dan papa Syasya meninggal?" Syasya mengangguk. "Ayah kandung saya meninggal dua tahun yang lepas kerana kemalangan. Manakala papa pula baru saja beberapa bulan meninggal. Selepas dapat tahu atuk meninggal, mama terus buat keputusan untuk balik dan menetap semula di Malaysia." Rash terdiam lama. Sepertinya dia terkejut apabila mendengar semua cerita tentang seorang Syasya Lyana. Betapa selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang semua itu. "Awak lihat sendiri apa yang terjadi siang tadi kan, Rash?" tanya Syasya tanpa memandang wajah di sisinya. Ya, lelaki itu ada di sisi uminya ketika perbalahan di antara Syasya dan Adh tercetus siang tadi. Rash hanya mengangguk. "Awak tahu kenapa saya beria-ia sangat nak bertunang dulu sebelum majlis perkahwinan berlangsung?" tanya Syasya lagi. Kali ini nada suaranya berubah sebak. Sedih apabila teringatkan apa yang terjadi siang tadi. Rash menggeleng pula. "Kerana janji." Sebaris ayat itu membuatkan dahi Rash berkerut. "Maksud awak?" "Janji di antara saya dan arwah papa saya. Dia adalah lelaki yang paling baik pernah saya jumpa di dunia ini. Dia sangat jauh berbeza dengan ayah kandung saya." Bercerita tentang papanya, hati Syasya semakin diterpa kesedihan. Rash memilih untuk menjadi pendengar. "Pada mulanya, saya memang menentang keras apabila mama cakap dia nak kahwin lagi. Saya takut perkara yang sama akan berulang. Saya takut lelaki yang mama pilih sama seperti ayah kandung saya." Syasya mula membuka cerita tentang keluarganya. "Bila mama bertegas untuk kahwin dengan papa, saya merajuk lama. Saya tak balik ke rumah dan tinggal bersama kawan baik saya. Dan awak tahu apa yang jadi lepas tu?" tanya Syasya walaupun dia tahu Rash mungkin masih tidak faham dengan ceritanya. Tanpa suara, Rash hanya menggeleng. "Papa adalah orang yang bersungguh-sungguh memujuk saya. Macam-macam cara dia buat untuk pujuk saya balik ke rumah. Dia adalah orang yang berusaha keras memulihkan semula hubungan saya dan mama. Kesabaran dan keikhlasan hati dia memang berjaya melembutkan hati saya." Sambil bercerita, sambil itulah Syasya mengelap air matanya yang mula menitis. "Telahan saya terhadap papa selama ini silap. Bila saya dah kenal dia dengan lebih rapat, saya tahu dia adalah lelaki yang baik. Jauh lebih baik berbanding ayah kandung saya. Cara dia menjaga dan melindungi mama dan saya dah buat saya rasa sayang sangat dengan papa." Walaupun tiada apa-apa balasan daripada Rash, Syasya tetap menyambung ceritanya. "Berkali-kali hati saya tertanya-tanya, kenapa Tuhan temukan mama dengan orang yang salah terlebih dahulu. Kenapa Tuhan tak jodohkan mama dan papa saya lebih awal lagi. Sekurang-kurangnya mama tak akan pernah rasa sakit dan menderita hidup bersama ayah kandung saya." "Tuhan ingin menguji mak su. Sebab itulah Tuhan temukan dia dengan orang yang salah terlebih dahulu. Dan kemudian Dia menggantikan sesuatu yang buruk dengan sesuatu yang lebih baik." Rash bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Syasya mengangguk perlahan. Ada senyuman kecil yang terlakar di wajahnya. "Papa juga berikan jawapan yang sama, Rash." Rash turut mengukirkan senyuman kecil. "Sebelum papa meninggal, dia pernah kata yang dia nak tengok saya kahwin dulu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Tapi Tuhan lebih sayangkan dia. Saya tak sempat tunaikan permintaan dia tu." Syasya mengetap bibir kuat. Sedih sungguh hatinya bila bercerita tentang permintaan arwah papanya itu. "Walaupun papa bukan orang Melayu, dia pernah berpesan, kalau saya nak kahwin ikutlah adat orang Melayu. Merisik, bertunang, dan berkahwin. Sebab itulah saya nak sangat bertunang sebelum berkahwin, Rash." "Kenapa papa awak buat permintaan macam tu?" Rash seperti ingin tahu semuanya. "Sebab saya dan mama memang berdarah Melayu. Papa memang berkenan sangat dengan adat orang Melayu yang penuh dengan tertib. Itu salah satu sebab kenapa papa pilih mama sebagai permaisuri hidupnya." Hanya anggukan yang Rash berikan sebagai jawapan. "Jadi, saya dah berjanji dengan papa yang saya akan tunaikan permintaan dia yang satu itu. Tapi sayang, sampai ke hari ini pun Adh tak nak tunaikan permintaan saya. Dan awak sendiri jadi saksi apa yang berlaku siang tadi, kan?" Rash tidak memberikan apa-apa reaksi. "Kalau awak yang berada di tempat saya siang tadi Rash, apa yang awak rasa? Sakit, kan? Terluka, kan?" Menitis lagi air mata ke pipi Syasya apabila mengingatkan semua yang terjadi siang tadi. "Saya tak minta intan dan permata pun. Saya cuma mahukan ikatan pertunangan. Bukan dengan cara yang Adh buat siang tadi. Tapi mengikut adat orang Melayu. Susah sangat ke dia nak tunaikan permintaan saya tu?" Selepas meluahkan baris ayat itu, Syasya mula menekup muka dengan tapak tangannya. Esak tangisnya mula berlagu pilu. Kali ini dia benar-benar sebak. Dia benarbenar tidak mampu mengawal perasaan sedihnya.

ADH menyandarkan tubuh pada daun pintu bilik setelah menutup pintu itu rapat-rapat. Nafas panjang dihelakan perlahan-lahan. Entah mengapa, ketika ini ruang dadanya terasa sesak secara tiba-tiba.Sesekali wajahnya diraup kasar. Ada rasa sesal juga yang sedang bertamu dalam hatinya ketika ini. Sungguh, ketika nampak Syasya dan Rash berbual mesra sebentar tadi, darah merah tiba-tiba sahaja menyerbu kepalanya. Perasaan sakit hati dan cemburu tiba-tiba sahaja memenuhi jiwa. Hati tertanya-tanya, kenapa Syasya boleh bercakap baik-baik dengan orang lain? Kenapa bila bercakap dengannya, ada saja perkara yang tidak kena? Ada saja perkara yang hendak dimarahkan? Akibat rasa cemburu, dia terus mengatur langkah untuk menghampiri kedua-dua mereka. Namun, langkahnya terhenti apabila sepasang telinganya menangkap esak tangis gadis yang sedang membelakanginya itu. Bakal isterinya. Tubuh disandarkan pada tiang. Dan hatinya tibatiba sahaja rasa serba tidak kena. Jadi, dia memilih untuk mendengar perbualan Syasya dan Rash. Sesuatu yang langsung tidak disangka akhirnya menyapa corong telinganya. Syasya bercerita tentang kisah hidupnya kepada Rash. Syasya bercerita tentang papanya juga. Ketika itu juga Adh mula tahu sebab musabab kenapa Syasya beria-ia sangat nak bertunang sebelum mereka diijab kabulkan. Satu persatu perkara yang berlaku siang tadi kembali memenuhi benak fikiran. Seribu penyesalan mula menerpa ke sudut hati yang paling dalam. Syasya... Kenapa kau tak berterus-terang dengan aku? Kalau dari awal lagi kau berterus terang, semua ni tak akan jadi, Syasya. Esok... Hanya beberapa minit sahaja lagi jarum jam akan melepasi angka dua belas tengah malam. Hanya beberapa jam sahaja lagi mereka akan diijab kabulkan. Kenapa kau buat macam tu, Syasya? Kenapa kau tak boleh nak bercerita baik-baik macam tu dengan aku? Kenapa dengan Rash boleh? Kalaulah dari awal lagi kau berterus terang, semuanya tak akan jadi macam ni. Aku tak akan lukakan perasaan kau. Aku akan tunaikan permintaan kau tu. Sekarang, semuanya sudah terlambat, Syasya.

SAMA SEPERTI SAYANGMUWhere stories live. Discover now