HARI ini, tanggal dua belas Disember, tarikh keramat yang akan diingati sampai mati. Hari ini, seorang Syasya Lyana akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang bernama Adh Khusyairi. Hari ini juga, Syasya ikhlaskan hati untuk menerima ketentuan Yang Maha Esa buatnya. Dia yakin, apa yang Tuhan aturkan ini sudah tentu ada hikmahnya. Walaupun agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan arwah papanya, Syasya reda. Malam tadi, di dalam sujud cintanya, dia sudah tekad untuk ikhlaskan hati dengan jodohnya. Doanya tidak akan putus semoga jodohnya akan kekal berpanjangan walau apapun dugaan yang bakal menanti. Nana... Kak Dee... Dua nama yang Syasya tahu akan menjadi batu penghalang paling besar di dalam hidupnya nanti. Biarlah! Datanglah seribu Nana dan Kak Dee yang akan menghalang. Syasya tetap dengan tekadnya untuk meneruskan amanah awah Haji Ibrahim. Kenapa? Kerana amanah adalah sesuatu yang wajib ditunaikan. Jadi, dia akan ikhlaskan hati untuk semua yang bakal berlaku pada hari ini. Tentang Adh Khusyairi pula, biar Tuhan saja yang tentukan semuanya. Sama ada lelaki itu ikhlas menerimanya sebagai seorang isteri atau tidak, terpulang kepada Adh sendiri. Lelaki itu sudah besar panjang, dan boleh berfikir dengan baik apa yang perlu dilakukan. "Mama akan sentiasa mendoakan sejuta kebaikan buat Syasya dan Adh. Walaupun Syasya sudah bergelar isteri orang, Syasya tetap anak mama. Dan mama akan sentiasa ada untuk Syasya selagi Tuhan pinjamkan nyawa kepada mama." Hati anak mana yang tak terusik dengan kata-kata seperti itu? Menangis teruk Syasya tatkala mendengar baris bicara mama. Satu-satunya orang yang dia percaya dalam dunia ini adalah mama. Dan dia lega apabila mendengar katakata mama itu. Sekurang-kurangnya dia tahu, apa pun yang berlaku mama akan sentiasa ada untuknya. Untuk sekian kalinya, wajah di dalam cermin ditatapnya. Cuma solekan nipis yang dipakainya ketika ini. Dan baju pengantin ini adalah hasil tangannya sendiri. Jujur, dia berpuas hati kerana dapat memakai baju hasil tangannya sendiri pada hari perkahwinannya. Sekali lagi anak mata singgah memandang diri sendiri dari dalam cermin. Jemari halus naik menyentuh tudung yang melekat kemas di kepala. Betapa selama ini dia mempunyai keinginan untuk menyarungkan tudung di atas kepalanya. Tetapi keinginan itu asyik terhalang. Perasaan malu dan bimbang dikutuk sentiasa ada. Tetapi hari ini, segala perasaan itu lenyap begitu saja. Yang ada hanyalah sebuah ketenangan. Selepas hari ini, adakah dia mampu untuk meneruskan niat bertudung ini? "Mama suka tengok Syasya pakai tudung macam ni. Kalau Syasya pakai tudung untuk selamanya pun mama suka. Tapi biarlah hati Syasya ikhlas. Lagipun, dalam Islam tak ada paksaan." Senyuman meniti ulas bibirnya apabila teringatkan kata-kata mama. Syasya ikhlas, mama. Kalau tak, takkanlah Syasya sanggup design sendiri tudung ni untuk majlis perkahwinan ni. Cuma Syasya takut orang akan mengata bila Syasya mengenakan tudung selepas hari ini. Kebimbangan apakah seperti itu Syasya? Bukankah menutup aurat itu wajib bagi seorang wanita Islam? Hati sentiasa berbolak-balik. Di saat dia mula tekad, begitu banyak halangan yang muncul. Benarlah kata orang, mujahidah itu pahit kerana Syurga itu manis. Bukan senang nak istiqamah dalam melakukan kebaikan. Hati perlu kebal. Pekakkan saja apa kata orang sekeliling. Insya-Allah, Tuhan itu Maha Penolong. Ya, Syasya mula tekad. Selepas hari ini, dia akan mula bertudung. Dan dia tidak akan berhenti berdoa semoga Tuhan akan kuatkan semangatnya untuk meneruskan niat baik itu. Mati lamunan Syasya tatkala mendengar suara ketawa yang sengaja dibuat-buat dari arah pintu biliknya. Anak mata mencuri pandang melalui cermin besar di hadapannya. Ada wajah Nana yang muncul di hadapan pintu bilik itu. "Tudung tu tak sesuai langsung dengan kau. Ya, tudung putih bersih. Tapi sayang, hati kau tak bersih macam tudung tu. Hati kau tu tak ikhlas pun pakai tudung. Buat syarat saja, kan?" Tuduhan kejam menusuk masuk ke corong telinga Syasya. Nafas ditarik panjang. Dia sudah tekad. Jadi, pekakkan saja telinga apabila mendengar tuduhan kejam itu. Syasya hanya diam dan memerhati tingkah gadis itu. "Umi kata kau design sendiri tudung ni? Kau ingat cantik ke bila kau pakai tudung macam ni? Berserabai aku tengok. Macam nak pergi berperang pula." Syasya tetap diam. Lantaklah nak pergi berperang ke apa! Yang pasti tudung ni aku dah design khas untuk majlis kahwin aku. Lantaklah kau nak cakap apa pun. Hanya hati kecilnya yang bersuara. "Syasya... Dah siap ke?" Syasya cepat-cepat menoleh apabila mendengar suara yang cukup dikenalinya. Penguat semangatnya. Siapa lagi kalau bukan mama. Senyuman terus dihulurkan. "Dah mama. Okey ke Syasya pakai macam ni?" Akhirnya, terlontar juga soalan itu akibat rasa ragu apabila mendengar kata-kata Nana sebentar tadi. "Dah okey sangat. Cantik anak mama ni." Puan Diana sempat memeluk anak gadisnya. "Semua orang dah ada kat depan. Kalau Syasya dah bersedia, mama nak bawa Syasya ke depan. Nanti majlis akad nikah akan diteruskan." Penuh debar, Syasya hanya mampu mengangguk.
YOU ARE READING
SAMA SEPERTI SAYANGMU
RomanceKerana amanah arwah Haji Ibrahim, Syasya Lyana dan Adh Khusyairi disatukan sebagai pasangan suami isteri. Permulaan kisah mereka penuh drama. Ada saja perang dingin dan angin ribut taufan yang membadai. Malah, mereka saling membenci dan menyakiti. "...